Thursday, January 1, 2009

Ceramah pembuka tirai tahun baru 1430H / 2009


Ceramah Tahun Baru 1430H yang diadakan di Dewan Serbaguna Kediaman Menteri Besar Perak, anjuran Datin Seri Fatimah Taat selaku tuan rumah mendapat sambutan ramai.

Ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Azmi Bin Abdul Hamid (Presiden Teras) berkisar tentang pengisian makna hijrah kedalam kehidupan seharian insan yang beragama Islam. Juga dikupas adalah bagaimana setiap saat kita dilalaikan dengan pelbagai unsur-unsur hiburan negatif dan cara hidup barat agar jati diri Islam di dalam diri kita cair sehingga tidak dapat membezakan yang mana betul dan salah juga yang mana halal dan haram.

Kesedaran juga diterapkan agar kita mengenal diri sendiri yang dijadikan mulia semulia-mulianya oleh Allah Taala. Namun, saban hari kita terjerumus kedalam kehidupan yang hina sehina-hinanya lalu jauh menyimpang daripada jalan Allah.

Tuan Haji Azmi juga mengucapkan tahniah kepada MB suami isteri kerana menganjurkan majlis ceramah sebegini dikediaman mereka, tidak seperti pemimpin-pemimpin yang sebelumnya.

Sebelum Tuan Haji Azmi menyampaikan ceramahnya, Menteri Besar Perak, DS Hj Nizar menyampaikan sedikit kata-kata aluan pembuka majlis dengan mengupaskan beberapa potong ayat daripada Surah Al-Mulk. Kerajaan negeri Perak katanya, akan cuba sedaya-upaya membuka lebih ruang agar rakyat dapat mendekatkan diri dengan Allah manakala segala ruang untuk rakyat membuat maksiat serta menjauhi daripada Allah akan ditutup satu persatu.

Segala hasil bumi Perak akan dikongsi bersama-sama dengan rakyat Perak sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab memegang amanah rakyat.

Ternyata kehadiran ceramah kali ini bertambah daripada sebelumnya apabila kakitangan kediaman terpaksa menambah bilangan kerusi untuk hadirin. Semoga siri ceramah yang diusahakan Datin Seri Fatimah dikediamannya ini akan berterusan dan kehadiran rakyat Perak akan bertambah dimasa-masa yang akan datang.

Majlis ilmu sebegini amat penting untuk santapan rohani dan menjadi pimpinan teladan serta contoh kepada pemimpin yang lain untuk mengusahakan amal makruf nahi mungkar.


(Siri ceramah yang akan datang adalah pada 1 Februari 2009 (Ahad) bersama ustaz Kamal Ashaari...InsyaAllah).



No comments:

Followers