Thursday, January 1, 2009

Benarkah Perak ingkar arahan MTN?


IPOH 31 Dis. – Kerajaan Perak mula mengurniakan tanah hak milik kekal kepada penduduk kampung baru semalam walaupun telah diarah untuk menangguhkannya sehingga Majlis Tanah Negara (MTN) membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kurniaan kepada 11 penduduk kampung baru di Kampung Kuala Rui, Gerik itu adalah simbolik kepada keputusan kerajaan negeri menukar status pajakan kepada hak milik kekal untuk kampung baru dan kampung tersusun di negeri ini.
‘‘Berdasarkan pemahaman kami, apa yang kita buat tidak melanggar peraturan (Kanun Tanah Negara) dalam konteks tanah di negeri ini adalah hak milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin di sekitar bandar raya ini di sini hari ini.
Majlis penyampaian geran hak milik kekal kepada 11 penduduk kampung terbabit diadakan di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Gerik semalam.

Pada 27 Jun lalu kerajaan campuran Perak mengumumkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri untuk memberikan geran hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada penduduk kampung-kampung baru dan Rancangan Kampung Tersusun (RKT).

Melalui cadangan itu, tanah-tanah terbabit yang berstatus hak milik pajakan akan ditukar kepada milik kekal.

Namun sebelum itu, kerajaan pakatan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya akan memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada kampung baru tetapi merancang memberikan status hak milik 99 tahun kepada penduduk di Rancangan Kampung Tersusun (RKT).

Di seluruh negeri Perak, terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80 peratus berketurunan Cina.

Sementara RKT terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02 peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata, cadangan kerajaan Perak memberi status hak milik kekal kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru dan RKT tidak boleh dilaksanakan sehingga ia diputuskan oleh MTN.

Najib menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan cadangan tersebut secara bersendirian sebaliknya perlu melalui keputusan yang diambil oleh MTN.

Sementara itu, Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham pada majlis yang sama berkata, langkah berkenaan diambil selepas pihaknya mendapat pandangan sekurang-kurangnya sepuluh orang peguam berpengalaman.

‘‘Mereka yang dirujuk termasuklah seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan,” katanya tanpa mendedahkan nama hakim tersebut.

‘‘Justeru, bantahan MCA dan kenyataan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini sebenarnya yang salah di sisi undang-undang kerana kita sudah ambil pandangan daripada peguam,” katanya.

Koo Ham berkata, keluasan tanah lot yang telah mendapat hak milik kekal di kampung itu adalah antara 300 hingga 500 meter persegi.

Katanya, terdapat 281 lot tanah di kampung itu tetapi hanya 53 yang memohon untuk mendapat geran hak milik kekal.

Pada masa sama, bagi membuktikan kerajaan negeri tidak pilih kasih, Koo Ham memberitahu, pihaknya turut meluluskan tanah kurnia kepada 10 orang penduduk Melayu di Rancangan Pertanian Berkelompok, Tanjung Rimbun, Gerik seluas 16 hektar.

Katanya, setiap penerima mendapat satu lot tanah seluas 1.4 hektar dan terdapat 310 lot lagi yang sedang diproses untuk kelulusan kerajaan negeri.

No comments:

Followers