Friday, January 30, 2009

MB Perak nafi 2 Exco sertai BN



IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai Barisan Nasional.


"Spekulasi mengenai Jamaluddin dan Mohd Osman itu adalah tidak benar.

"Saya berusaha untuk berhubung dengan mereka," katanya kepada pemberita bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa terdapat dua wakil rakyat daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil bebas sebelum menyertai Umno.

Pemberita menunggu di luar kediaman rasmi Mohammad Nizar di sini bagi mendapatkan reaksinya selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat Pakatan Rakyat negeri.

Mesyuarat dua jam itu yang bermula 9 pagi dihadiri ketiga-tiga pemimpin tertinggi DAP negeri terdiri pengerusinya Datuk Ngeh Koo Ham, timbalan pengerusi M.Kulasegaran dan setiausaha Nga Kor Ming selain wakil PKR iaitu Anggota Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, Osman Abdul Rahman dan Ismail Yusof serta wakil PAS terdiri Pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Awang bersama-sama Asmuni Awi dan Dr Khairuddin Abdul Malek.

Ngeh pula berkata pertemuan itu adalah mesyuarat biasa dan bukan bagi membincangkan isu mengenai dua exco itu.

"Sesetengah media mahu mereka cerita. Sebenarnya tidak timbul langsung mengenai hal itu," katanya.

Lee pula berkata mesyuarat itu bertujuan merapatkan hubungan antara ketiga-tiga parti.

"Ia adalah mesyuarat biasa. Agenda penting yang dibincangkan ia adalah hal ehwal dalaman," katanya.

Ahmad pula berkata: "Ia mesyuarat bulanan, tidak timbul isu lompat-lompat ini." BERNAMA

No comments:

Followers