Datuk Johari Baharum dan Datuk Razali Ibrahim
Kabinet: Tee Keat digugur, hanya libatkan 2 menteri MCA
KUALA LUMPUR, 1 Jun — Dalam rombakan yang dilihat tidak mengejutkan ramai, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dilantik sebagai Menteri Pengangkutan bagi menggantikan Datuk Seri Ong Tee Keat.
Ong yang tewas dalam pemilihan semula MCA bagi jawatan presiden digugurkan. Beliau memegang jawatan itu sejak 2008.
Kong, yang turut gagal dalam persaingan jawatan timbalan presiden, kini merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tempat beliau digantikan oleh Datuk Wira Chor Chee Heung yang kini merupakan timbalan menteri kewangan.
Chor pernah dikaitkan dengan isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang dan turut memenangi pemilihan jawatan Naib Presiden MCA Mac lalu.
Rombakan ini sebahagiannya berhubung kait dengan perubahan barisan kepimpinan MCA yang diadakan Mac lalu bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu.
Pengumuman perubahan anggota jemaah menteri persekutuan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.
Rombakan menteri hanya membabitkan pemimpin MCA.
Kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri menyebut, Perdana Menteri mengumumkan penamatan pelantikan Ong sebagai Menteri Pengangkutan dan Datuk Wee Jeck Seng sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam rombakan Kabinet yang berkuat kuasa Jumaat ini.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan akan diadakan 3.30 petang di Istana Negara, Jumaat ini.
Rombakan kali ini hanya membabitkan pelantikan tujuh orang termasuk dua Ahli Parlimen sebagai timbalan menteri persekutuan.
Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dari Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Timbalan Presiden MIC Senator Datuk G. Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti.
Palanivel yang tidak diberikan tiket untuk bertanding semula pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu pernah memegang jawatan timbalan menteri sehingga Mac 2008.
Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong, yang juga anak lelaki kepada Presiden MCA pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Dua Naib Presiden MCA yang baru masing-masing Senator Datuk Donald Lim Siang Chai pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Gan Ping Sieu sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Donald Lim pernah memegang jawatan timbalan menteri sebelum ini tetapi digugurkan selepas tewas pilihan raya umum 2008.
Selain itu, Najib juga mengumumkan pertukaran portfolio empat timbalan menteri.
Datuk Rohani Abdul Karim dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jelaing Mersat dari Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Pengangkutan; Datuk Lee Chee Leong dari Kementerian Luar Negeri ke Kementerian Dalam Negeri dan Senator Heng Seai Kie dari Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ke Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Kenyataan yang dikeluarkan menyebut Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Donald Lim, D’Cruz dan Gan sebagai senator berkuat kuasa hari ini.
Mereka akan mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara dalam tempoh terdekat.
Media bermain politik apabila menggelapkan berita wakil Umno yang digugurkan daripada kabinet dan menggantikan dengan wakil daripada Senator.Oleh kerana kaum Cina mula menolak BN, maka lebih ramai wakil daripada Cina yang dilantik ke dalam kabinet Najib. Melayu sekali lagi terpaksa dikorban Najib demi masa depannya sendiri.
No comments:
Post a Comment