Monday, May 6, 2013

Pakatan Kalah dalam Menang


6 Mei - Kekalahan Pakatan Rakyat di dalam PRU13 kali ini bukanlah sesuatu yang memalukan mahupun mengecewakan. Ini adalah kerana kemenangan BN kali ini penuh diselaputi dengan segala macam penipuan yang didalangi oleh SPR.

Perjalanan hari membuang undi kali ini mendapat liputan secara meluas melalui media sosial di internet. Laporan secara langsung daripada wartawan rakyat yang tidak putus-putus memuat turun pelbagai kerenah yang terpaksa ditempuh rakyat semasa mengundi.

Dimulai dengan rasa ketidakpuasan rakyat apabila dakwat kekal sepertimana yang dijanjikan SPR hanyalah satu penipuan belaka. Ramai yang berjaya menghilangkan dakwat kekal tersebut apabila selesai membuang undi. Penulis juga berjaya menghilangkan dakwat kekal dijari telunjuk kiri hanya dengan menggunakan sabun pencuci pinggan Axion saja.

Bayangkan berapa ramai yang akan kembali mengundi semula setelah dakwat itu berjaya dibasuh. Tidak hairanlah apabila ramai yang terkejut apabila diberitahu yang nama mereka telahpun membuang undi. Dakwat kekal yang dibeli dengan jutaan ringgit wang rakyat oleh SPR ternyata tidak kekal dan hanya berperanan sebagai mainan sandiwara SPR sahaja.

Berapa ramai rakyat warga asing yang dihalau dan ditangkap kerana mengundi dengan menggunakan kad pengenalan Malaysia. Banyak video-video yang dimuat turun membuktikan memang terdapat ramai warga asing yang digunakan parti BN untuk mengundi mereka. Masa depan negara rela mereka gadaikan di tangan-tangan warga asing demi mempertahankan kuasa yang semakin rapuh itu.

Blackout ataupun lampu dipadam adalah satu lagi modus operandi yang kerap kali digunakan SPR di dalam proses pengiraan undi. Peti-peti undi yang telah dimenangi oleh PR di pusat-pusat mengundi, akan bertukar kepada BN selepas kejadian blackout di pusat-pusat pengiraan.

Ada juga peti-peti undi yang dibawa masuk lewat bagi kerusi-kerusi yang dimenangi PR.

Jika dilihat semasa kempen pilihanraya umum ini berlangsung, sambutan rakyat terhadap BN begitu ketara merosotnya manakala puluhan malah ratusan ribu rakyat keluar ke tempat-tempat ceramah PR.

Pendedahan demi pendedahan mengenai kelemahan BN selama memerintah juga tiada bersahut. Hanya kedengaran ucapan berapi-rapi pimpinan BN melalui siaran media-media berat sebelah yang dalam kongkongan mereka sahaja saban waktu.

Perlu diingat oleh BN, kini sokongan mereka hanyalah tertumpu kepada rakyat pinggir dan liar bandar manakala PR mendapat sokongan penuh daripada rakyat di bandar.

Selagi maklumat disekat, pemikiran dijajah, selagi itu Melayu takkan berubah. Tiada upaya berfikir melainkan hanya menerima bulat-bulat apa yang disampaikan. 

Sungguhpun BN diumumkan sebagai pemenang dalam PRU13 ini, tetapi hakikatnya tidak dapat lari dari bayangan penipuan demi penipuan yang dilakukan oleh komponen BN yang tidak didaftarkan iaitu SPR.

Maruah bukanlah bernilai di dalam BN asalkan kuasa masih dapat didakap mereka.

Tetapi, mata dunia dapat melihat dan menilai yang PR walaupun diisytiharkan kalah oleh SPR, kalah mereka kalah bermaruah.

PR berlawan dengan bukti dan fakta manakala BN tetap dengan penipuan dan rasuah.

Tetapi, kebenaran tetap kebenaran. Siapa sebenarnya yang menang dan siapa pula sebenarnya yang kalah?


No comments:

Followers