Thursday, October 4, 2012

Bajet 2013: Berbelanja ikut mampu dan perlu

Bajet 2013: Berbelanja ikut mampu dan perlu


"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Al-A'raf: 96)
 
Bajet tahunan kerajaan (annual budget) adalah instrumen utama dalam urustadbir fiskal negara yang memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun mendatang. Komponen utama sesebuah belanjawan adalah pendapatan cukai (tax) dan peruntukan perbelanjaan (spending) demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu memacu pertumbuhan (growth), mengawal kenaikan harga (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment). 
 
Justeru, setiap instrumen di dalam belanjawan dirangka mengikut keutamaan dan matlamat kewangan negara, dengan mengambil kira senario ekonomi dalaman dan luaran semasa, mengikut acuan ideologi dan falsafah sesebuah kerajaan.
 
Bajet tahunan adalah sangat penting kerana ia memperincikan peruntukan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan prasarana utama negara, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pendidikan dan kesihatan, pembinaan, pengangkutan dan utiliti, serta keselamatan dan pertahanan. Namun, sisi utama yang perlu diberi perhatian adalah bajet bermula dengan pendapatan, dan kerajaan perlu bijak mencari titik keseimbangan dalam membuat perhitungan dan peruntukan, bukan sekadar memilih mana yang baik, malah perlu memilih mana yang lebih baik. 
 
Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan (negara) atau seorang Pak Haji yang mengetuai sebuah keluarga (isi rumah), iaitu "berbelanja ikut mampu dan perlu, bukan ikut mahu nafsu".
 
Berbelanja ikut mampu dan perlu …
 
Kemampuan kewangan (financial strength) bergantung pada tahap ilmu (knowledge), bakat (talent) dan pendapatan (income) yang dimiliki seseorang. Begitulah juga ukuran kemampuan kewangan negara yang bergantung pada sumber manusia dan alam semulajadi untuk dimanfaatkan demi kemaslahatan bersama.
 
Menyingkap kembali angka-angka di dalam Bajet 2012, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan hampir RM230 bilion untuk dibelanjakan, dibiayai oleh sumber hasil berjumlah RM190 bilion. Apabila berlakunya situasi kekurangan pendapatan untuk menampung perbelanjaan, inilah yang dinamakan sebagai defisit dan natijahnya, kerajaan terpaksa mengambil pinjaman hutang pada kadar RM40 bilion untuk menampungnya.
 
Secara kasarnya, hasil pendapatan negara bagi tahun 2012 dijangka diperolehi daripada sumber cukai langsung (direct tax) pada nisbah 52 peratus, manakala sumber cukai tidak langsung (indirect tax) menyumbang sebanyak 18 peratus dan sumber bukan cukai (non-tax revenue) pula menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan 2012 yang diunjurkan berjumlah RM190 bilion. Kerajaan perlu bijak berbelanja secara mampan, dalam keadaan negara terlalu bergantung kepada sumber berkaitan petroleum yang sekarang ini mencecah ke nisbah lebih 35 peratus, tatkala Petronas berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran harga minyak dunia, di samping rizab bekalan minyak di perairan Malaysia yang kian mencabar.
 
Sewajarnya, pihak kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, memperkenalkan iklim cukai yang mesra-rakyat dan mesra-pelabur, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan kesihatan, serta menghentikan ketidakcekapan dan ketirisan dengan pelaksanaan sistem tender yang telus.
 
Inilah pertimbangan dan kebijaksanaan yang perlu ada pada seorang Perdana Menteri yang kerajaannya berpendapatan RM200 bilion setahun, sebagaimana pertimbangan yang perlu ada pada seorang Pak Haji yang isi rumahnya berpendapatan RM2,000 sebulan, bijak mengatur perbelanjaan anak-anak di sekolah dan universiti, di samping bayaran ansuran pinjaman rumah dan kereta, serta perbelanjaan kecemasan dan luar jangka di musim perayaan dan cuti persekolahan.
 
Calvin Coolidge, bekas Presiden Amerika ke-30 pernah menyebut: "There is no dignity quite so impressive, and no one independence quite so important, as living within your means."


 
... bukan ikut mahu nafsu
 
Kehendak dan kemahuan manusia sifatnya tidak terbatas. Justeru, kemahuan perlu dikawal mengikut keperluan (necessity) dan keutamaan (priority) sebagaimana digaris oleh Al-Quran dan As-Sunnah dan disusun baik oleh para ulama' dalam disiplin Maqasid As-Syariah dan Fiqh Al-Awlawiyyat.
 
Matlamat utama pengurusan khazanah perbendaraan negara adalah dalam menjamin kelangsungan dayasaing dan dayatahan ekonomi rakyat dan negara. Bertitik-tolak daripada sumber pendapatan yang mampan, kerajaan perlu memberikan keutamaan terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.
 
Amalan berbelanja yang tidak berhemah di pihak kerajaan adalah amat membimbangkan dan perlu diberhentikan. Menurut laporan yang dikeluarkan pihak REFSA berkenaan urustadbir kewangan negara, Malaysia menanggung hutang persekutuan terkumpul berjumlah RM456 bilion pada tahun 2011, peningkatan hampir sekaliganda berbanding RM229 bilion hutang pada akhir tahun 2005. REFSA turut membuat pemerhatian berikut, "Dalam tempoh 6 tahun semenjak 2005, kerajaan telah meminjam melebih kadar pinjaman dalam tempoh 48 tahun selepas merdeka, iaitu di antara tahun 1957 dan 2005." Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang persekutuan sekarang hanya berada 1 peratus di bawah had siling 55 peratus yang ditetapkan oleh pemimpin negara terdahulu. 
 
Tiada salahnya berhutang jika ianya pada perkara yang diperlukan dan memberi pulangan jangka panjang. Namun, jika Perdana Menteri berterusan berbelanja mengikut mahu nafsu, wang negara akan dihabiskan pada perkara yang tidak perlu, kita pula terpaksa menanggung hutang untuk menampung belanja di luar mampu.
 
Rakyat bijak memilih
 
Dengan pembentangan Bajet 2013 di ambang PRU ke-13, jelas sekali bahawa gendang pilihanraya telah berbunyi dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal dihiasi dengan pelbagai janji manis oleh pihak kerajaan sekarang (government of the day) dan kerajaan alternatif (government in waiting). Bajet adalah satu proses pilihan, justeru rakyat seharusnya bijak memilih sebagaimana bijaknya memilih untuk berbelanja pada musim Ramadan dan Syawal baru-baru ini. 
Benarlah pesan orang tua-tua: "Berbelanja ikut mampu dan perlu, bukan ikut mahu nafsu.


No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...