Wednesday, June 8, 2011

Suatu Rasa 080611.02 - Naik

Naik. Satu perkataan yang paling popular hari ini. Popular tetapi mencemaskan.

Sebut saja naik, ramai yang dengan pantas akan bertanya, apa yang naik? Ada juga yang berjenaka dengan perkataan naik ini. Hari-hari naik, usik mereka.

Semenjak kerajaan menaikkan pelbagai harga barangan seperti minyak, gula dan tarif elektrik, kenaikan harga barangan yang lain seolah-olah berlumba. Setiap hari ada saja berita kenaikan harga yang kedengaran.

Baru-baru ini kenaikan harga roti Gardenia. RM0.15 satu jumlah yang seakan kecil tetapi besar perbezaannya kepada yang kurang mampu.

Kini, Astro pula ingin menaikkan harga sebanyak RM15. Satu syarikat besar yang memonopoli stesen tv berbayar dinegara ini dan punyai jumlah pelanggan yang ramai, tentu saja mengutip keuntungan yang amat lumayan. Mengapa perlu menaikkan harga? Sengaja ingin mengambil kesempatan keatas rakyat? Dan perbuatan itu pula dikatakan dengan restu kerajaan?

Kenaikan harga juga telah dilunakkan dengan penggunaan istilah 'pelarasan'. Bagi kerajaan, pelarasan subsidi. Subsidi perlu dilaraskan dengan apa? Mengapa tiba-tiba subsidi perlu dilaraskan? Dulu tidak.

Mungkin pepatah 'gunung sekalipun jika dicangkul hari-hari akan rata jua' amat bersesuaian dengan konsep ekonomi janaan kerajaan. Pembaziran yang berleluasa tanpa pendapatan yang maksima, akhirnya hanya akan menghancurkan negara. Yang merana menanggungnya adalah negara itu sendiri iaitu rakyat. Rakyat yang terpaksa membayar segala perbelanjaan tanpa berhemah pemegang tampuk kuasa kerajaan.

Setiap kali terdengar tentang kenaikan harga, nafas mula sesak. Melayang imbauan bil-bil yang sedia menanti setiap bulan diingatan. Apa yang tinggal untuk belanja keluarga? Menyimpan? Jangan mimpi.

Masih tak cukup dengan gaji bulanan? Lojik akal boleh membezakan apabila perbelanjaan bertambah tetapi tidak pendapatan, sengsaralah yang akan menanti dihadapan.

Perkataan naik langsung tidak disebut apabila bercakap tentang gaji. Mengapa begini? Sampai bila boleh bertahan apabila yang naik hanyalah harga barangan tetapi tidak gaji.

Dan sudah pasti yang naik setiap hari adalah angin. Ya, rakyat kini sudah mula naik angin apabila sakit dipoket mula terasa.

No comments:

Followers