Thursday, June 30, 2011

Kerjasama politik antara kaum: Rakyat jangan buta sejarah

Hujah yang mengajar rakyat mempersoal agenda tahaluf siasiy PAS bersama DAP dan PKR telah menjadi tugasan tetap pihak tertentu  tatkala mereka kehabisan modal. PAS dikatakan bersekongkol dengan Cina dengan dengan menggariskan istilah 'bersekongkol' untuk menampilkan konotasi negatif (kolaboratif ke arah negatif).  Malah lebih lucu apabila si pelontar isu itu sendiri sedang menyokong UMNO yang juga bersama bersepakat dalam politik bersama kaum Cina bernama MCA. Jentera penerangan parti kelihatan banyak menumpukan tenaga untuk menjelaskan dan menjawab isu ini di akar umbi. Walau bagaimanapun lontaran isu mudah sebegini banyak menjerat kaum Melayu pertengahan dan kaum veteran yang masih tidak faham sejarah asal politik plural kaum dan etnik yang telah lama diamalkan oleh ahli politik dan pejuang kebenaran sejak pra merdeka lagi.

Dahulu UMNO yang kini terpaksa bergantung erat dengan politik kaum Cina dan India untuk memerintah negara ini turut menolak pandangan Dato' Onn Jaafar untuk menerima konsep plural kaum dalam persepakatan politik. (Istilah plural di sini bermakna jamak, bersepakat secara kolektif) Akibatnya, antara sebab Dato' Onn keluar dari UMNO adalah disebabkan penolakan idea 'mega' ini. Keputusannya kita melihat IMP (Independent Malaya Party) serta Parti Negara ditubuhkan untuk merealisasikan politik baharu ini.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hanya menerima kerjasama antara kaum selepas berlakunya beberapa plot politik dalam usaha memerdekakan negara ini.

PAS sendiri telah menerima persepakatan politik plural kaum dan plural ideologi politik apabila berjuang bersama Parti Negara (PN) bagi menentang Perikatan pada 1959. Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu walaupun kemudiannya 3 ADUN PN dibeli UMNO yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Terengganu.

Jika UMNO mengajar rakyat bahawa fakta ini belum cukup kuat bagi menyaksikan bahawa amalan bergabung antara pelbagai parti adalah amalan biasa, sila lihat sorotan sejarah lebih awal lagi.

Menurut tulisan Ishak Saat (USM), percaturan politik pelbagai kaum yang pertama di Tanah Melayu adalah antara PUTERA-AMCJA pada tahun 1947. Perkara ini cukup menggambarkan suatu kerjasama erat antara kaum. PUTERA telah mengadakan Persidangan Gerakan Kiri di ibu pejabat PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1947. Dalam gabungan tersebut majoriti pertubuhan yang menganggotai PUTERA datangnya dari negeri Perak ataupun berpusat di negeri Perak, seperti PKMM, API, AWAS dan Hizbul Muslimin. (Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 68 – 85)

Melalui persidangan ini, kesepakatan antara mereka telah melahirkan PUTERA. Gabungan ini dilahirkan untuk memperkasakan pergerakan kiri di Tanah Melayu. Perlu diingatkan kepada UMNO, bahawa PUTERA turut disertai oleh PKMM yang mana antara pemimpinnya adalah juga pemimpin PAS kemudiannya. Malah dalam PUTERA wujud pimpinan Hizbul Muslimin yang kemudiannya menjadi pejuang kepada penubuhan PAS.

Memandangkan waktu itu pergerakan politik Cina turut menentang penjajah British maka PUTERA berpendapat perlulah mewujudkan kerjasama politik dalam kalangan mereka. All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri. Ini jelas menunjukkan golongan Ulama', nasionalis agamawan negara ini telah lama menerima konsep persepakatan politik antara agama, antara ideologi atas alasan SAMA matlamat SAMA tujuan tertentu. Jelas, Hizbul Muslimin dan PKMM tidak pernah menggadai perkara asas walaupun pernah bersepakat dengan golongan sosialis mahupun komunis.

Pandangan dan langkah tersebut membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum telah dimulai oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu. Caturan politik PUTERA-AMCJA berjaya menyedarkan pihak penjajah, bahawa rakyat pelbagai kaum boleh bersatu untuk terus maju ke hadapan.

Gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh PUTERA-AMCJA. Lantaran itu, mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Perlembagaan ini jauh lebih maju ke hadapan berbanding apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang memasukkan jarum penjajah ke dalam kosmo adat dan politik Tanah Melayu.

British meninjau bahawa kesepaduan antara kaum di Malaya hanya akan mengundang bala kepada agenda neo-koloni yang ingin mereka terapkan. Mereka ingin kaum di Malaya hanya bersatu dalam hal tertentu yang menguntungkan penjajah tetapi kekal komunal yang menjadi aspek pencegahan kepada penolakan sistem pemerintahan warisan British. Maka diberi restu untuk kaum-kaum di Malaysia menubuhkan parti perkauman yang berpisah-pisah. Akta Pertubuhan tahun 1920 yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu dijadikan senjata British. Akta ini bertujuan memastikan semua pertubuhan mestilah didaftarkan. Dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan penjajah mengawasi pergerakan, perancangan dan matlamat pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Kemudian pada 15 April 1947, akta ini dipinda lagi dan seterusnya dikuatkuasakan bagi memperketat dan mengawasi perjalanan pertubuhan-pertubuhan yang bersifat penentang. Namun kebanyakan pertubuhan yang berpegang kepada konsep perjuangan anti British mengambil sikap tidak mematuhi akta tersebut sehingga kekal ideologi kiri menerbitkan parti istiqamah seperti PAS.

Lantaran itu, J.D. Dalley, Ketua Perisik, Malayan Security Service di Tanah Melayu telah menyenarai dan melabelkan gerakan seperti PETANI, API, PKMM, AWAS, PNI, PETA, Hizbul Muslimin, Barisan Tani SeMalaya, Gabungan Melayu Patani Raya(GEMPAR/GMPR) dan Malayan Demokratic Union(MDU) sebagai radikal dan amat berbahaya kepada British di Tanah Melayu.

Jadi , apa yag perlu kita hairankan jika PAS bersama DAP dan PKR? Mengapa perlu dipertikai PAS pernah berpisah dengan DAP kemudian kembali bersama DAP? Ia hanya adat dalam berpolitik dan tebukti pernah menjadi amalan pejuang awal pra kemerdekaan. Selagi mana persefahaman boleh dicapai atas nama menolak kezaliman, persefahaman itu adalah absah dan ia relevan untuk diamalkan di Malaysia. Komposisi kaum dan atas perkongsian nilai sejagat yang sama menghendaki semua blok politik negara ini memilih jalan persefahaman antara kaum dan ideologi untuk menjatuhkan pihak satu sama lain.

Jika ingin tahu apa pula nilai sepunya kemanusiaan antara PAS dengan Parti Negara suatu ketika dahulu yang mengakibatkan persefahaman politik berjaya dilakukan, kita perlu tahu apa yang Dato' Onn perjuangkan bersama PAS pada 1959. Dato' Onn pernah memberi pandangan, para  Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.

Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sikap UMNO mempertikai hubungan PAS dengan DAP sama sahaja dengan sikap segelintir ahli UMNO yang pesimis terhadap idea persefahaman antara kaum  Dato' Onn pada 1951 dahulu yang akhirnya melihat UMNO sendiri terpaksa menerima cadangan seumpama Dato' Onn semata-mata untuk kekal dalam persada politik Tanah Melayu.

Muhamad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

2 comments:

PKR (PERAMPAS KUASA RAKYAT) said...

Wahai Ajijoi dan Muhamad Nuruddin Bashah,

Jangan buat2 tidak tahu tentang sejarah kafir-mengkafir yang dilakukan oleh PAS sejak lama dulu.

Kertas Putih bertarikh 8 November 1984 melaporkan bahawa Dewan Ulama Pas yang bersidang pada Ogos 1963 di kediaman menteri Besar Kelantan, JKR 10 Jalan Kampung Sirih, Kota Bharu telah mengeluarkan hukum bersifat fatwa seperti berikut:

“Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram”.

Kemudian hukum yang bersifat fatwa ini akhirnya diringkaskan dengan nama kafir berikat.

Pengikut-pengikut Pas pun mulalah menyebarkan fatwa itu dari mulut ke mulut dan kemuncaknya berlakulah pemulauan sakit mati, nikah kahwin dan seterusnya sembahyang berasingan.

Pusat pertama mendirikan sembahyang Jumaat dua sekampung ialah FELDA Kampung Rahmat Chalok, Setiu pada tahun 1975. Seterusnya berjangkitlah ke seluruh negara dalam negeri Terengganu kecuali Kemaman kerana percubaan mendirikan sembahyang berasingan gagal setelah tindakan segera dibuat oleh pihak berkuasa di daerah tersebut.

Dengan kuasa Allah s.w.t. melalui usaha murni Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, pada tahun 1974, Pas masuk bergabung dalam kerajaan Barisan Nasional.

Segala hukum agama yang menyeleweng pun berhenti dan perhubungan masyarakat Islam pun bersatu kembali tanpa mengira parti lagi.

Untuk membuktikan kebenaran pemerintah kongsi kuasa tajaan UMNO selama ini tiba-tiba keluarlah sebuah buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Buku itu dinamakan Sikap Saya bertarikh 4.1.1398 Hijrah bersamaan 15 Disember 1977 Masihi.
Pada muka surat 3, perenggan ke 4 dan 5 dalam buku tersebut ada merakam keputusan Dewan Ulama Pas Pusat iaitu:

Apa hukum Pas menyertai kerajaan campuran?”

“Kes ini atau sebagainya yang bersifat pokok dan menyeluruh, memang tepat untuk dibahas oleh dewan ulama. Sebab itu ia telah dibahas satu masa dulu dengan sepuas hati dan telah pun memberikan jawapannya : harus; dan kemudian dibahas sepenuhnya oleh kongres untuk ‘diterjih’ mana satu pihak yang mesti diambil”.

Dengan itu jelaslah bahawa hukum yang dibawa oleh Pas untuk menuduh UMNO kafir bekerjasama (berikat) dengan orang kafir dahulu bercanggah dengan hukum Allah dan ternyata hukum ciptaan ulama Pas. Pimpinan Pas tidak berterus-terang dengan pengikutnya. Sebab itulah setelah Pas keluar daripada BN hukum kafir itu dihidupkan semula.

Kalau dikirakan sudah jelas hukum jenis apakah apabila UMNO sahaja menjadi kafir tetapi apabila melakukan perkara yang sama menjadi harus pula.

Inilah kata orang “waharamun (haram) kalau makan seorang, wahalalun (halal) kalau bagi dua”.

Untuk lebih jelas lagi mengenai palsu dan karut-marut Pas ini ialah terjalinnya kerjasama Pas dengan DAP secara rasmi. (Harakah 12 April 1999).

Dengan itu terdedahlah segala yang tersembunyi.

PKR (PERAMPAS KUASA RAKYAT) said...

Samb.

Dalam kenyataan Nik Aziz pada 11 Mei 1999, barulah diberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah menantangani perjanjian kerjasama dengan musuh tradisi Islam iaitu kafir Yahudi di Madinah.

Oleh itu kata Nik Aziz, “Pas juga sanggup bekerjasama dengan DAP”

Persoalannya mengapakah sejarah Nabi berkongsi kuasa di Madinah dengan kafir Yahudi yang sudah berlaku lebih seribu tahun lalu disembunyikan oleh ulama Pas ketika menjatuhkan hukuman kafir berikat ke atas UMNO pada tahun 1963 dahulu?

Ketika itu Nik Aziz inilah juga orangnya yang menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Jika mengikut hukum Allah yang sebenar orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) sebenar disisi Allah adalah orang yang zalim. Sila rujuk ayat 140 Surah Al-Baqarah.

Berdasarkan kepada kebenaran yang terserlah maka cara pendekatan politik kongsi kuasa yang ditaja oleh UMNO semenjak tahun 1955 lagi adalah tepat dengan sejarah Rasulullah di Madinah.

Pas sekarang mula meniru cara pendekatan UMNO setelah 36 tahun berlalu fitnah kafir berikat kepada UMNO. Jadi apa hukumnya pula sekiranya Pas dan DAP bergabung mengikut pandangan Pas dan ahli-ahlinya?

Ulama yang memberikan hukum haram untuk orang lain dan harus untuk diri sendiri yang beginilah mesti dijauhi bukan sahaja oleh Perdana Menteri dan UMNO bahkan oleh seluruh umat Islam.

Apa tidaknya kerana akibat hukum yang bersifat fatwa inilah kesatuan umat Islam di Malaysia selama ini telah rosak. Oleh itu janganlah pula menambahkan hukum kononnya pemimpin UMNO bencikan ulama kerana apa yang terdedah selama ini adalah buktinya.

Persoalan sejarah yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan DPKK Gopeng bukanlah persoalan yang berkaitan dengan apa yang dipersoalkan oleh UMNO dan BN.

Persoalan sebenarnya ialah PAS ingin mencari kawan untuk bekerjasama untuk menumbangkan BN seperti menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA) dan sekarang Pakatan Rakyat (PR).

Dengan adanya PR (tak berdaftar), maka wujudlah kerjasama tidur bersama tidur sebantal mimpi lain2 antara PAS, PKR dan DAP.

Berdasarkan cerita lama, PAS menuduh UMNO kafir apabila UMNO mengadakan kerjasama politik dengan MCA dan MIC. Kerjasama ini tidak pula mengatakan TAHALUF SIYASI.

Alih2 apabila PAS berkawan DAP dan PKR dikatakan tahaluf siyasi.

Nampak sangat bingungnya PAS dalam membezakan antara tahaluf siyasi dan kerjasama politik.

Perkara ini samalah dengan pertukaran kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1999.

PAS sentiasa cuba membodohkan orang Melayu supaya menyokong mereka sedangkan apa yang PAS lakukan sejak ditubuhkan.

PAS mendapat mandat di Kelantan dan Terengganu serta Kedah umpama kera mendapat bunga dan tikus membaiki labu.

Habislah engkau LABU.

Sekian.

Followers