Thursday, June 30, 2011

Mat Sabu: Kami komited tewaskan BN guna demokrasi, bukan cara lain

Mat Sabu menegas bahawa PAS ingin menewaskan BN menerusi pilihan raya. — Foto fail
Mat Sabu menegas bahawa PAS ingin menewaskan BN menerusi pilihan raya. — Foto fail

SHAH ALAM, 30 Jun — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengulangi komitmen parti Islam untuk menggunakan pendekatan demokratik sambil menegaskan, ada keperluan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya negara ini.

Bersih merancang untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, yang antara lain menuntut pembaharuan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kami mahu menewaskan kerajaan (Barisan Nasional) menerusi pilihan raya, bukan cara lain. Ini komitmen kami," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata parti Islam yang mencintai keamanan memenuhi janji itu meskipun terus berhadapan dengan retorik daripada kerajaan pusat pimpinan Umno-BN.

PAS merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat. Dua yang lain ialah PKR dan DAP.

Mohamad juga berkata Umno sudah mengabaikan pendekatan kesederhanaannya, sebaliknya menggunakan cara yang berlawanan kerana pemimpin-pemimpin mereka seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah hilang "ketenangan" ekoran kebimbangan boleh hilang kuasa kelak.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib pada perhimpunan agung Umno tahun lalu, meminta ahli-ahlinya mempertahankan Putrajaya dalam apa cara sekalipun.

Ketika berucap pada ceramah dan solat hajat anjuran Dewan Pemuda PAS Selangor di sini malam tadi, Mohamad berkata, Pakatan Rakyat sepatutnya telah memerintah negara ini jika pilihan raya umum dijalankan dengan seadil yang mungkin.

"Ramai yang bertanya bagaimana kami mampu boleh menang lima negeri jika pilihan raya tidak adil... sebenarnya, jika pilihan adalah adil dan saksama, kami sepatutnya sudah memerintah Malaysia," katanya di Stadium Malawati.

"BN menyelamatkan 25 kerusi Parlimen kerana undi pos dan 40 kerusi Parlimen di kawasan Felda. (Jika) tanpa yang ini... kita sepatutnya sudah mengambil alih Putrajaya," kata beliau.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...