Sunday, May 8, 2011

Putar belit isu agama rasmi, Utusan melampau

KUALA LUMPUR: Utusan Malaysia bertindak melampaui batas dengan menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan apabila mmemainkan isu agama rasmi di Malaysia.

Mengikut nota admin blog Datuk Seri Anwar Ibrahim, Utusan dengan mengetepi tanggungjawab sebagai pengamal media apabila tunduk kepada adikuasa atau pemerintah, tanpa rasa malu menidakkan fakta apabila berterusan memutar belit fakta mengelirukan rakyat.

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

“Jelas, Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ia hanya layak menyandang gelaran ‘Tabloid Umno’ sesuai dengan kenyataan bahawa parti itu merupakan pemegang saham sekaligus majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan pejuang pembebasan tanah air dahulu, dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” tulis nota itu lagi.

Selain itu, nota berkenaan juga memuatkan penyataan bersama yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 September yang turut terkandung dalam Buku Jingga yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum yang dijamin Perlembagaan,” kata penyataan itu.

Penyataan itu ditandatangani Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...