Sunday, May 8, 2011

Pengaruh Gagasan Machiavelli Dalam Sosial Umat Islam

PENGARUH GAGASAN MACHIAVELLI DALAM SOSIAL UMAT ISLAM

Muhammad Nuruddin Bashah

Bc Hons Eng UM


1 Pendahuluan

Subjek Pemikiran Machiavelli bukan suatu subjek baharu malah ia telah lama serta kerapkali diperdebatkan sama ada dalam aspek asas pemikiran, implikasi serta sumbangan besar pemikiran ini dalam pembentukan corak serta pola pentadbiran politik. Penulis memilih istilah gagasan kerana yakin idea dalam beberapa bukunya seperti The Prince[1] bukan semata-mata pemikiran mutlak beliau, sebaliknya beliau sebenarnya hanya mengumpul seberapa banyak catatan sejarah dan pengalaman beliau sendiri dalam bidang kenegaraan, kepimpinan dan ketenteraan. Maka istilah gagasan lebih tepat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gagasan bermaksud buah fikiran yang dijadikan saranan, idea dan pandangan untuk dilaksanaakan.


Bagi penulis, asas pemikiran Machiavelli tidak sahaja mempengaruhi arena politik dan pemerintahan negara, malah ia juga membentuk gerak laku dalam organisasi lebih kecil umpama sebuah keluarga, kampung malah di tempat kerja berorganisasi ramai seperti kilang dan sebagainya.


Di kilang sebagai contoh, anda boleh mendapati segelintir pengurus gemar memiliki beberapa orang pekerja yang dianggap ‘spy’ atau petualang baginya untuk membantu beliau memantau pekerja lain, memastikan sesiapa yang membantah arahan jabatan akan diambil tindakan. Adakah para pengurus dan ketua-ketua jabatan membaca bab 12 dan bab 13 tulisan Machiavelli dalam The Prince yang ditulis pada kurun ke-15? Lebih menarik, adakah pandangan dan saranan Machiavelli berabad sebelum ini adalah sebenarnya menceritakan norma, sikap dan tabiat manusia yang semulajadi?


Idea yang terkandung di dalam The Prince ini juga berjaya menghasilkan insan individualisme serta bersifat self centric yang ketara sehingga segala tujuan hidup semata-mata atas sebab diri sendiri.


Pada pandangan penulis, amat ketara selepas kita membaca 11 prinsip asas kepada raja yang beliau utarakan, kita akan mendapati beliau sebenarnya cuba menghurai sikap manusia yang asasi berdasarkan pandang sisi manusia dengan nafsu paling asas iaitu nafsu ammarah tanpa diikat dengan moral atau sistem beragama. Jika itu premis hujah beliau, maka hujah beliau tepat untuk menilai fitrah manusia tanpa agama. Bagaimana pula manusia yang membaca karya beliau dalam masa yang sama si pembaca masih kuat terikat dengan sistem beragama yang mengajar erti etika, akhlak dan nilai insaniy yang terikat dengan nilai Rabbani?


Tulisan ini juga cuba mengambil iktibar yang berguna untuk dijadikan panduan kepada umat Islam dalam hal yang dibenarkan.


2 Menyorot Sejarah Machiavelli

Niccolo Machiavelli lahir pada 3 Mei 1469 (beberapa tahun sebelum kejatuhan Kerajaan Islam Granada) di kota Florence, Itali. Itali pada waktu itu masih dalam keadaan berpecah kerana ketiadaan penguasa yang berjaya menyatukan negeri-negeri kota di dalamnya. Beliau lahir dari keluarga bangsawan dengan ayahnya (Bernardo Machiavelli) merupakan seorang peguam.


Ketika berusia 12 tahun, Machiavelli belajar mengenai ilmu-ilmu kemanusiaan di bawah asuhan Paulo Ronsiglione dalam suasana mewah dan serba cukup. Buku-buku tersebut umumnya ditulis dalam bahasa Latin.


Machiavelli mengikuti kuliah di Universiti Florence. Ketika di bangku kuliah, beliau gemar mempelajari kajian-kajian dari Marcello Adriani. Setelah lulus, beliau mendapat tempat dalam pemerintahan, iaitu sebagai setiausaha di negaranya dan juga sebagai seorang diplomat yang memberikannya banyak pengalaman berharga dalam aspek kenegaraan.


Ketika Machiavelli berusia 25 tahun, beliau menyaksikan perjuangan Gitolamo Savonarola, iaitu seorang politikus moral yang kuat memegang ajaran konservatif gereja serta tegar membentuk fahaman sekularis-humanis di Itali yang membela kaum miskin. Namun, perjuangan Savonarola gagal walaupun berjaya menghalau pemerintah Florence (Piero De Medici anak kepada Lorenzo Yang Agung) dengan bantuan Raja Charles VIII daripada Perancis. Kegagalan Savonarola dalam memurnikan sekularis kerana tidak adanya kekuatan politik dan tentera yang dimilikinya. Beliau hanya bergantung dengan khutbah yang hebat serta bantuan tentera upahan yang cukup dikritik oleh Machiavelli. Akhirnya keluarga Medici (Lorenzo II De Medici anak kepada Piero De Medici) berjaya menguasai semula Florence[2].


Pada 1512 ternyata Florence berjaya dibersihkan seluruhnya daripada pengaruh gereja konservatif melalui bantuan tentera Sepanyol dan Venice, kekuasaan Perancis serta sisa kuasa gereja dihapuskan. Sepanyol yang telah mengalami zaman kebangkitan, penyatuan negara kecil melalui nasionalisme pan-gothic dan berjaya keluar daripada kepompong gereja telah turun membantu negara-negara kecil Itali pula.


Pada Ogos 1499, ketika berusia 28 tahun, terjadi peristiwa Vitelli. Vitelli adalah seorang pemimpin tentera bayaran yang disewa oleh pemerintah Florence untuk menjajah Pisa. Disebabkan orang-orang Pisa memberikan bayaran yang lebih kepada Vitelli daripada bayaran pemerintah Florence, maka Vitelli pun tidak bermaya untuk menyerang Pisa. Bermula saat itulah, Machiavelli menyimpulkan bahawa sehebat manapun tentera upahan yang disewa, tidak boleh dipercayai kerana mudah belot. Malah beliau bersetuju untuk kalah berperang dengan menggunakan tentera sendiri berbanding menang dengan menggunakan tentera upahan.


Sebagai tokoh politik, Machiavelli sempat menjalin diplomasi dengan bangsawan tinggi kota Valentino, Cesare Borgio pada tahun 1498. Ketika Borgia ingin menakluki Itali yang sedang dikuasai oleh Paus Julius II, Machiavelli menjadi pemerhati kegiatan Borgia yang setia. Karier politiknya berakhir pada tahun 1513 ketika beliau ditangkap, diadili dan diseksa dengan alasan berkonspirasi untuk menggulingkan kekuasaan Medici. Setelah setahun di penjara, akhirnya beliau pun di bebaskan dan kemudian menulis hasil pengamatan dan pengalamannya selama di pendalaman San Casciano.


3 Tujuan beliau menghasilkan The Prince untuk Lorenzo II.

Besar kebarangkalian tujuan beliau menulis buku yang berisi idea politik ini adalah sebagai ‘wasilah’, hadiah atau lebih tepat sebagai rasuah untuk beliau berada dalam arena politik semula. Sehingga berusia 23 tahun, beliau pernah berada di bawah pemerintahan Lorenzo yang Agung dan pernah diutus ke merata tempat untuk menjalinkan hubungan politik. Selepas kehadiran semula keluarga Medici di Florence, Lorenzo II telah menyingkirkan semua bekas kakitangan kerajaan yang tunduk kepada penjajahan Perancis, dan Machiavelli turut sama merasai zaman tersebut. Sepanjang tahun 1512 hingga 1527, beliau menyendiri di kawasan ladang (San Cassiano) keluarganya dan mulai menulis dan berfikir dengan aktif.


Pada 1513 beliau pernah dipenjarakan namun berjaya dibebaskan dengan bantuan beberapa rakannya. Cukup aneh jika kita nyatakan di sini, Machiavelli pada akhir hayatnya (sepanjang proses menulis beberapa buku) telah kembali menjadi penganut Khatolik yang setia walauapun sebelumnya dalam buku The Prince beliau menolak sebarang kacauganggu gereja atas nama politik moral dalam pemerintahan[3].


Beliau berkata dalam muqaddimah tulisan The Prince;

Sudah menjadi kebiasaan orang yang ingin mengambil hati penguasa untuk menghadap penguasa tersebut dengan membawa barang milik mereka yang paling berharga….Sekarang hamba ingin mempersembahkan diri hamba kepada Yang Mulia (Lorenzo II) dengan membawa taat setia hamba. Tetapi hamba tidak dapat menemukan hak milik yang sangat hamba cintai dan yang sangat hamba hargai selain pengetahuan hamba tentang karya-karya orang-orang besar, yang hamba perolehi setelah lama mempelajari masalah silam dan zaman sekarang


Di sini jelas bahawa beliau mengutarakan buku ini sebagai habuan untuk beliau berada dalam arena politik kembali, maka beberapa saranan membenarkan raja bertindak di luar batasan etika adalah suatu yang dianggap mengembirakan raja Florence. Dalam masa yang sama beliau menjelaskan bahawa idea beliau bukan 100% artikulasi mutlak daripada mindanya melainkan beliau sadur dan titipkan suasana zamannya dan zaman sebelumnya sahaja.


Jika anda perhatikan dengan teliti, nasihat beliau sama sahaja dengan nasihat-nasihat dan helah yang diberikan oleh Permaisuri Dou (135 sebelum Masihi) kepada Raja Dai (kemudian menjadi Maharaja kerajaan Han) untuk menghadapi suasana politik China yang sering merebut kuasa, sikap suka menanti kematian raja untuk dilancarkan pemberontakan dan sebagainya. Malah dalam banyak karya sejarah Parsi dan Rom juga memuatkan strategi politik yang sama iaitu politik serta matlamat membenarkan segala cara.


Kenyataan menunjukkan Machiavelli tidak berhenti-henti memberi usul serta mengambil contoh kehebatan-kehebatan yang pernah terjadi di zaman sebelumnya atau kejadian semasa di Itali. Cesare Borgia (yang dipuji-puji oleh Machiavelli dalam buku The Prince) bukanlah belajar taktik dari Machiavelli malah sebaliknya, Machiavelli yang belajar darinya walaupun Casare Borgia adalah antara pemimpin yang melaksanakan agenda matlamat menghalalkan cara.


Jika kita menganggap sikap atau pandangan mencapai matlamat kekuasaan dihalalkan melalui pelbagai cara merupakan suatu pandangan dan sikap yang menjadi lumrah kepada negara-negara bangsa yang mulai bangkit melepaskan diri daripada belenggu gereja dan ‘moral police’, mungkin hal yang sama juga boleh kita simpulkan kepada Jalaluddin Al Akbar di India yang telah mencipta semacam dogma agama baharu yang dikenai sebagai Din Ilahi. Kemunculan Din Ilahi ditujukan khas untuk menarik persefahaman antara agama Hindhu dan Islam di India semasa Kesultanan Moghul dahulu. Bukankah Al Akhbar juga cuba merungkai diri daripada sistem syariah dan aqidah islam yang mengajar erti pemisahan teologi dan agama sekaligus mengajar rakyatnya erti matlamat menghalalkan cara termasuk menggadaikan aqidah?

4 Pengajaran umum yang beliau tinggalkan

Harapan beliau melalui tulisan The Prince, Raja Lorenzo II akan mencapai puncak kejayaan dan kemuliaan melalui kedaulatan yang bakal dicipta melalui prinsip-prinsip dalam tulisan berkenaan. Besar harapan Machiavelli untuk melihat seluruh Itali bercantum sebagaimana wujudnya negara bangsa di Perancis, sepanyol dan Britain saat itu.


Beliau menyatakan Raja akan disayangi dan dihormati selagi mana raja tidak melakukan polisi tertentu tanpa alasan serta tidak menyakiti rakyatnya. Beliau juga menyatakan para Raja yang ingin bergelar pahlawan perlu menghindari tindakan licik, mengkhianati sahabat, tindakan di luar keagamaan dan sebagainya[4]. Mungkin juga nasihat ini menghendaki para pemerintah mencipta wajah topeng yang menampilkan imej positif, berkebajikan dan mulia kerana dalam masa yang sama Machiavelli tidak menggalakkan pemerintah memilih jalan pemurah, berlembut dengan rakyat, bersangka baik dengan rakyat dan sebagainya jika ingin mengekalkan empayar mereka.


Beliau juga memuji tindakan kerajaan Turki meletak rakyatnya di Yunani dalam usaha memperkukuhkan jajahan Turki di Yunani kerana beliau percaya jika penjajahan dibuat, selepas seluruh keluarga raja asal dihapuskan, rakyat penjajah perlu ditempatkan di tanah jajahan. Mungkin hal inilah yang menyebabkan Turki Uthmaniyah kembali gagal di beberapa tempat contohnya di Albania, Serbia dan Bosnia apabila Turki yang tidak berusaha menturkikan bangsa Serbia menyebabkan bangsa tersebut kembali mengumpul kekuatan seterusnya menjatuhkan jajahan Turki.


Jika kita ingin mengambil iktibar daripada tulisan beliau ini, kita akan melihat bagaimana Machiavelli sendiri memuji keutuhan dan kekebalan empayar Turki Seljuk dan Uthmaniyah disebabkan empayar Turki tidak memiliki golongan munafik yang mengadakan kolaborasi luar untuk menjatuhkan kerajaan. Gejala munafik dan double agent di kalangan rakyat negara Islam cukup banyak didapati dalam catatan sejarah. Umpamanya kes kejatuhan Khalifah Mustansir kepada Hulagu Khan pada 1258 M disebabkan seorang Menteri berbangsa Parsinya mengkhianati kesetiaan kepada Abbasiyyah. Abbasiyyah adalah contoh kerajaan yang cukup rendah martabat jika kita nilai menggunakan indikator Machiavelli.


Pertamanya, Abbasiyyah banyak bergantung kepada bangsa luar sebagai tentera upahan seperti Khalifah Al Makmun yang mengundang Turki Mamluk ke dalam barisan ketenteraan Abbasiyyah. Manakala Khalifah Al Qaim pula terpaksa bergantung dan terhutang budi kepada Turki Seljuk yang membantu menghalau Bani Buwaih (Syiah) daripada istana Abbasiyyah pada 1055 M[5].


Kedua, Sultan Abbasiyyah tidak mengawal kekayaan dan kuasa para menterinya sendiri. Namun begitu Islam tidak membenarkan kita menggunakan kaedah Machiavelli bagi mengawal kekuasaan menteri dan bangsawan iaitu menyalurkan wang dan kekayaan melimpah kepada para menteri. Rasuah yang berterusan akan menyebabkan para menteri tidak akan memberontak. Namun kita bersetuju dengan pandangan Machiavelli bahawa kejatuhan sesuatu kerajaan juga disebabkan oleh kepercayaan melulu raja kepada para menteri sehingga para menteri akan memaksa raja menerima nasihat daripada mereka[6].


Dalam sejarah Kesultanan Islam Melaka pula, kerajaan Melaka jatuh juga disebabkan oleh tidak menepati piawaian yang dinyatakan oleh Machiavelli. Pertama, askar upahan Melaka yang terdiri daripada askar Jawa melarikan diri semasa Portugis menyerang Melaka. Kedua, golongan India Muslim telah menjadi tali barut Portugis tanpa dipantau oleh Sultan Mahmud dengan teliti. Akibatnya tentera Melaka kalah walaupun tentera Melaka juga menggunakan meriam, lela, rentaka dan istinggar (senapang).


Machiavelli juga menyarankan kepada para pemerintah untuk mencipta kelompok oligarki di tempat yang dijajah oleh mereka demi mendapat ketaatan kepada pemerintah (penjajah) berkenaan. Hal ini telah berlaku bukan sahaja di Itali malah tentera Sukhothai turut meninggalkan kumpulan oligarki di kawasan yang dijajah oleh beliau dengan harapan negeri Islam Patani, Kedah dan Terengganu akan tunduk kepada mereka. British juga melakukan hal yang sama. Keluarga diraja diharapkan akan mengampu British dalam masa yang sama sistem pendidikan kelompok oligarki-elit ini dibezakan daripada pendidikan rakyat bawahan[7].


5 Beberapa sudut gagasan matlamat menghalalkan cara-pergunakan agama

Seperti yang dikemukakan sebelumnya, seorang penguasa seharusnya menjadikan agama sebagai alat atau instrumen kekuasaan. Bagi Machiavelli, agama memiliki nilai pragmatik dan kepentingan politik praktikal untuk mengintegrasikan negara, membina ketaatan, rakyat terhadap otoriti pemerintah. Hal ini beliau kaitkan bangsa Rom dengan agama mereka sebelum kehadiran Kristian iaitu agama Romawi Kuno yang menyembah maharajanya sendiri[8].


Agama juga dapat membantu dalam hal mengendalikan negara, menumbuhkan harapan dan semangat rakyat, menghasilkan orang-orang baik dan memalukan orang-orang jahat, dan sebagainya. Oleh kerana itu, di mana ada agama, maka akan mudah diajarkan kepada rakyat mengenai senjata dan kekerasan. Akan tetapi, apabila tiadanya agama, agak sukar untuk memperkenalkan senjata kepada rakyat.


Machiavelli juga beranggapan bahawa agama hanyalah sebuah apparatus dalam kehidupan bermasyarakat yang boleh difungsikan. Dalam hal ini, gagasannya mengenai agama bersifat sekular dan manipulatif.


Daripada pandangan Machiavelli mengenai hal agama ini dapat kita kategorikan Machiavelli sebagai penganut fahaman utilitarianisme dan pragmatisme yang sebenarnya telah wujud sejak manusia tahu mentadbir negara dan komuniti sendiri.


Kini ada gerakan baharu yang dkenali sebagai gerakan pluralisme-Islam Liberal yang menolak perkaitan nilai akhlak dan moral hak mutlak sesebuah agama melainkan ia adalah hak sejagat dan semulajadi. Kecelaruan kefahaman akhlak dan moral meruncing apabila golongan sebegini membuka wacana takrifan akhlak dan moral sebagai suatu yang inklusif sehingga ia boleh dipasang atau dilucut daripada organisasi, pentadbiran, politik atau

pendidikan.


6 Machiavelli membezakan kuasa rakyat dengan kuasa bangsawan

Jujurnya machiavelli menceritakan di hadapan rajanya, bahawa pemerintah yang dinaikkan ke takhta dengan bantuan bangsawan dan elit akan mengalami kesusahan akan datang berbanding pemerintah yang dinaikkan oleh rakyat bawahan[9].


Machiavelli bersetuju bahawa dengan bilangan rakyat yang terlalu ramai menyebabkan raja perlu memikirkan kehendak rakyat berbanding segelintir elit yang mungkin hanya mengambil kesempatan terhadap raja. Namun begitu, Islam menolak saranan Machiavelli untuk menundukkan bangsawan dengan menggunakan harta dan kemewahan sehingga gejala rasuah menjadi adat dan peraturan negara. Hal ini pasti menampilkan kemunculan negara kleptokratis yang korup dan bakal dijatuhkan kelak. Saranan Machiavelli untuk menimbulkan rasa berhutang di kalangan menteri terhadap raja juga perlu ditolak memandangkan beliau sendiri mengakui, menteri yang kekenyangan dan puas dengan suapan raja akan malas untuk membuat perubahan serta revolusi. Jika ini yang diidamkan, para menteri yang dihasilkan menurut acuan machiavelli adalah para menteri yang dangkal mindanya walaupun mungkin tidak melawan kehendak raja.


6 Bagaimana ummah mengadaptasi catatan sejarah seumpama The Prince?

Sikap berdikari dan membina tamadun berasaskan kemampuan sendiri adalah antara nasihat atau ibrah yang boleh diadaptasi oleh kaum Muslim.


Terbaru menurut US Department of Defense sekitar $31,682,369,000 hasil jualan senjata dijual kepada negara umat islam iaitu sekitar 47.6% daripada keseluruhan jualan ke serata dunia.


Menurut laman Military of Malaysia, hampir semua negara Islam bergantung kepada import senjata dan ini termasuklah negara kita, sedangkan Singapura yang selalu dijadikan penilaian piawaian untuk Malaysia sudah pun membina industri pertahanannya yang kukuh dan sudah mula mengeluarkan senjata untuk pasaran dunia seperti raifel SAR 21 dan SAR 80,sistem meriam bergerak Pegasus, sistem UAV FainTail, meriam FH2000 serta banyak lagi. Berikut merupakan sebahagian daripada pengeluar senjata dunia iaitu Russia, Ukraine, Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, United Kingdom, Peranchis, India (kereta kebal Arjun dan misil Bramos), Afrika Selatan (sistem meriam G5 dan helikopter Rooivalk), Korea Selatan (kereta kebal K1), Swiss (raifel tempur famili SIG), Poland (PT91), Itali (kapal perang dan pesawat Aermacchi), Israel (kereta kebal Merkava dan pesawat pejuang Kfir), Australia (kapal selam Colins), Kanada (pesawat Caribou), Argentina (pesawat Pucara), Brazil (sistem Astros), Singapura (raifel SAR) serta beberapa buah negara lain[10].


Sheikh Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:

Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain[11].


Firman Allah dalam Surah al-Anfal: 60: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.


Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun[12].

Kejatuhan sesuatu empayar adalah disebabkan korupsi dan masalah kelompok elit yang menguasai polisi negara. Umat Islam perlu mengambil iktibar positif daripada kenyataan Machiavilli yang mengakui bahawa kelompok elit yang korup, perasuah dan tamak adalah antara liabiliti sesebuah negara. Golongan ini perlu dikeluarkan daripada organisasi negara, jabatan, negeri mahpun organisasi swasta. Terbukti hingga hari ini pendedahan Transparensy International, Corruption Index, World Economy Forum dan sebagainya menunjukkan kedudukan negara umat Islam di tangga yang terendah dan buruk dalam aspek indeks rasuah dan korupsi.


7 Kesan negatif Machiavilisme hari ini

Berdasarkan premis hujah penulis yang menganggap idea matlamat menghalalkan cara adalah realiti sebenar para pemerintah dan bangsawan era kebangkitan Eropah malah ia juga menjadi cara hidup sesetengah tamadun, istilah machiavilisme agak kurang sedap untuk digunakan. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, -isme ialah akhiran asing kepercayaan, gerakan politik, atau keagamaan, dan juga sikap serta perlakuan, contohnya radikalisme dan komunisme. Tujuan Machiavilli menulis surat The Prince bukannya bertujuan ia menjadi suatu isme, ideologi rakyat sebaliknya hanya untuk tatapan dan panduan untuk Lorenzo II menyatukan Itali. Namun atas dasar mempermudah pemahaman pembaca, penulis memilih juga istilah machiavilisme untuk mengaitkan mana-mana pihak yang mempraktik idea dan gagasan seumpama The Prince sebagai Machiavilisme.


Dua setengah abad selepas The Prince diterbitkan, buku ini dibaca oleh Napoleon Bonaparte (15 Ogos 1769 – 5 Mei 1821). Lantaran itu kita melihat sendiri Napoleon mengkhianati amanah golongan kelas menengah yang menjadikan Napoleon wakil pemerintahan mereka selepas Revolusi Perancis 1795 apabila beliau melantik diri sendiri sebagai Maharaja ala diktator Perancis. Napoleon melancarkan serangan berbagai negara yang membuat Perancis menjadi salah satu negara paling ditakuti.


Lebih buruk empat Abad kemudian, buku ini menjadi pegangan Hitler, Musolini dan Stalin.Kita sudah maklumi akibatnya. Stalin membunuh jutaan rakyatnya, Hitler mempelopori PD II yang membuat puluhan juta nyawa melayang. Musolini pula berkolaborasi dengan Hitler.


Hari ini juga menyaksikan ramai pemimpin negara umat Islam melaksanakan corak pentadbiran ala diktator dan meninggalkan konsep syura atau sekurang-kurangnya mengambil idea demokrasi untuk menyuburkan keadilan da kesaksamaan. Lantaran itu bermula Februri 2011 hingga kini (Mei 2011) Asia tengah masih diselimuti Revolusi rakyat dan pergolakan politik yang semakin buruk.


Rujukan:

[1] Dalam edisi tulisan Itali, tajuknya adalah 11 Principe kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk The Prince merujuk kepada Putera Lorenzo II De Medici. Si Putera (Il Principe; bahasa Inggeris: The Prince) ialah sebuah karya politik yang ditulis oleh Niccolo Machiavelli pada sekitar 1513, tetapi buku itu tidak diterbitkan sehingga 1532, iaitu lima tahun selepas kematiannya. Awalnya ia dinamakan "De Principatibus" (Mengenai Kerajaan-kerajaan Kecil). Beliau meninggal dunia pada tahun 1527 M sebelum melihat penerbitan suratnya menjadi sebuah buku.

[2] http://seedhieqz.wordpress.com/2010/01/30/etika-politik-machiavelli/

[3] Pengantar Edisi Indonesia , Suatu Alternatif Kaedah Etika Politik, M. Sastrapratatedja & Frans M. Parera, dalam buku Penguasa terjemahan DBP.

[4] Niccolo Machiavelli , Penguasa, terjemahan DPP (1989) (halaman 28)

[6] Niccolo Machiavelli , Penguasa, terjemahan DPP (1989) (halaman 78- 80)

[7] Niccolo Machiavelli , Penguasa, terjemahan DPP (1989) (halaman 15)

[8] Sivachandralingan Sundara Raja, Sejarah Eropah Utusan Publication. (2002)

[9] Niccolo Machiavelli , Penguasa, terjemahan DPP (1989) (halaman 32)

[11] Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah

[12] Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah


Muhammad Nuruddin Bashah

017-6291368


No comments:

Followers