Wednesday, June 11, 2008

Tiada lagi kenaikan harga minyak tahun ini...?


Putrajaya : Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini. Perdana Menteri berkata, langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi selepas ini. Baca selanjutnya disini.


Begitulah pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri siang tadi. Mungkinkah mereka mula terasa akan bahangnya setelah membuat potongan sebanyak 10% daripada elaun keraian mereka? Mungkin tidak. Kerana pemotongan itu sekelumit pun tiada terasa kerana banyak lagi elaun-elaun yang mereka nikmati.


Mungkin juga kerana rakyat tidak terpujuk dengan pemotongan itu kerana rakyat Malaysia sekarang telah mula celik dan berani berfikir berbanding dengan masa lalu.


Selepas janji ini tidak juga meredakan gelora didada rakyat yang mula kabur penglihatan mata hati akan masa depan mereka, entah apa pula yang akan difikirkan untuk menenangkan perasaan rakyat yang semakin terhimpit oleh permasalahan hari ini.


Sama-samalah kita tunggukan sesi alasan dan juga penerangan tentang keterpaksaan kerajaan untuk menyingkirkan subsidi minyak walaupun kesannya ke atas ekonomi negara dan rakyat amat jelas dan nyata.


Bagaimana Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak memberikan alasan untuk menaiktarafkan sistem pengangkutan awam daripada subsidi minyak yang ditarik semasa kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen pada 2006. Kemana haluan sistem pengangkutan awam kita pada hari ini? Apakah tertunai sudah janji untuk menaiktarafkan sistem pengangkutan awam kita? Ataupun peruntukan tersebut telah dialihkan ke projek yang lain?


Penarikan subsidi minyak pada kali ini juga dijanjikan untuk menyelamatkan masalah bekalan makanan negara kita? Menurut kata Menteri Hal Ehwal Perdagangan, Shahrir Samad semalam di dalam debat di RTM1, "kita mahu berkereta kesana-sinikah ataupun kita mahu makanan kita yang diutamakan". Sejauh manakah wang subsidi itu betul-betul digunakan untuk tujuan makanan, sama-samalah kita tunggu dan lihat.


Mungkin apabila subsidi minyak kita dihapuskan terus, lagu yang lain pula akan didendangkan ketelinga rakyat untuk melelapkan mata kita supaya tidak melihat segala silap mata yang mereka lakukan untuk memperbodohkan kita.

No comments:

Followers