Friday, June 13, 2008

Isu minyak: Kerajaan vs Peniaga vs Orang Ramai


Kerajaan Malaysia hari ini mencuba strategi baru untuk tidak lagi membayar subsidi petrol kepada warga Malaysia. Ini dapat menjimatkan wang kerajaan untuk diagihkan kepada sektor lain selain menampung perbelanjaan negara, kata pemerintah.

Maka, segala kesan dan akibat daripada tindakan kerajaan ini telahpun dibebankan ke bahu rakyat yang terpaksa menerima tanpa dapat berbuat apa-apa. Segala episod keperitan pun bermula dan seperti tiada akhirnya.

Rakyat pula terbahagi kepada golongan peniaga dan orang ramai.

Apabila golongan peniaga ini mula terasa bahang keperitan akibat keputusan kerajaan ini, mereka pun mengambil kesempatan dengan menghumbankan segala kos yang terpaksa ditanggung ke atas bahu orang ramai. Dengan cara begini, mereka dapat berniaga seperti biasa tanpa perlu merasakan tekanan yang amat berat.

Bagaimana dengan nasib orang ramai? Kepada siapa pula mereka hendak mengharapkan pertolongan untuk memikul bebanan yang semakin berat ini?

Mahu tak mahu terpaksalah memikulnya sendiri dengan rungutan dihati. Kalau yang makan gaji, mulalah berkira-kira setiap kali hendak berbelanja. Segala kemewahan dalam apa jua bentuk yang dikecapi selama ini terpaksa dilupakan. Terpaksa memekakkan telinga apabila anak-anak merengek mahukan sesuatu apabila dikedai. Terpaksa menahan selera apabila waktu makan hinggakan air sirap pun telah bertukar kepada air kosong sahaja.

Bagaimana pula nasib orang-orang dikampung yang rata-ratanya kais pagi makan pagi, kais petang tak makan malam. Mungkin mereka tidak menikmati keperluan asas hidup masa kini seperti handphone, astro, internet dan berbagai-bagai lagi yang perlu dibayar perkhidmatannya. Namun, bagi mereka kepayahan untuk sesuap nasi adalah bukti keperitan hidup masa kini.

Barang makanan yang biasanya mereka belanjakan sebanyak RM10 untuk sebakul setiap kali ke pasar, tetapi pada hari ini RM10 hanya dapat memenuhi separuh bakul sahaja. Bagaimana hendak memujuk anak-anak untuk melupakan selera mereka yang gemar memakan ayam, udang, sotong dan ikan?

Pandangan ke masa hadapan agak kelam dan kabur apabila situasi sebegini tidak dapat dibendung oleh kerajaan sebuah negara pengeluar minyak. Amat sedih.

No comments:

Followers