Monday, July 4, 2011

Bersih mahu menghadap Agong, sedia batalkan himpunan Sabtu ini

PETALING JAYA, 4 Julai — Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, Bersih 2.0 akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sambil berkata gabungan itu berhasrat untuk menghadap baginda sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) yang baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mengumumkan pendirian itu pada sidang media di sini tengah hari ini.

Ambiga berkata keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat yang diadakan malam tadi ekoran titah Yang di-Pertuan Agong.

"Bersih 2.0 menjunjung penghargaan yang tinggi ke atas Yang di-Pertuan Agong atas sokongan baginda berhubung aspirasi melakukan pembaharuan sistem pilihan raya.

"Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia," kata beliau dengan membacakan kenyataannya di sini hari ini.

Ambiga menambah Bersih 2.0 akan menulis kepada Istana Negara hari ini untuk meminta perkenan diadakan satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau enggan menyatakan apabila ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi telah dibatalkan memandangkan baginda menekankan bahawa demonstrasi jalanan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sebaliknya kata Ambiga, satu pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja pertemuan itu menjadi kenyataan.

Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Ambiga berkata: "Ya."

Semalam, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya."

"Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah baginda dalam satu kenyataan.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

"Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora," titah baginda.

"Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara," titah baginda lagi.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.

Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

No comments:

Followers