Monday, July 18, 2011

Allahyarhamah Dr Lo' Lo' selamat dikebumikan

Jenazah ahli parlimen PAS Titiwangsa, Allahyarhamah Dr Lo Lo' Mohd Ghazali selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat di ibu negara kira-kira jam 11.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.

NONETurut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.

Hadir sama naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof.

Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di hospital Selayang di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga.

Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009.

NONEAllahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Lebih 2,000 orang ramai termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'.


No comments:

Followers