Monday, April 6, 2009

Nizar seperti Bendahara Tun Perak moden : Anwar


BUKIT GANTANG, 6 April (SK): Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim mengajak pengundi membuat perubahan drastik dengan menolak Umno / Barisan Nasional pada hari Selasa, 7 April ini.

Dalam siri lawatan beliau yang ketiga Bukit Gantang semalam beliau menyeru pengundi Bukit Gantang supaya tidak melakukan kesalahan yang sama terhadap calon Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar Jamaluddin seperti apa yang berlaku ke atas Hang Nadim, seorang pahlawan Melayu yang gugur dibunuh akibat di fitnah.

Berucap di hadapan kira-kira 200 warga guru di Kg Ayer Kuning, Taiping tengahari semalam, Anwar menyifatkan Nizar sebagai Bendahara Tun Perak zaman moden.

“Dalam hikayat Hang Tuah, Bendahara Tun Perak adalah seorang yang bijaksana dan telah menyelamatkan kerajaan Melaka ketika itu daripada angkara fitnah.

Begitu juga Nizar, beliau juga difitnah derhaka kepada Tuanku Sultan oleh Umno tetapi rakyat tahu Umnolah sebenarnya yang derhaka terhadap raja-raja Melayu,” tegas Anwar.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan Melaka diselamatkan oleh kebijaksaan Tun Perak yang menyembunyikan Hang Tuah di Ulu Melaka walaupun Sultan telah memerintahkan hukum bunuh terhadap pahlawan Melayu itu.

“Tun Perak menyembah derhaka terhadap Sultan Melaka apabila beliau ingin menyatakan sesuatu bagi membetulkan keadaan.
“begitu juga keadaannya dengan Nizar apabila permohonan beliau kepada Tuanku Sultan Perak supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan ditolak maka beliau menyembah derhaka untuk mengemukakan pendapatnya.

“Itu bukan derhaka tetapi puak-puak Umno ni apabila dengar sahaja istilah derhaka terus memfitnah bahawa beliau menderhaka kepada Sultan,” jelas Anwar lagi.

Sejurus berucap di Kampung Ayer Kuning beliau serta rombongan bergegas menghadiri majlis makan tengahari bersama penduduk Matang Gelugor dalam Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang.

Pada majlis tersebut Anwar mengulangi seruan beliau supaya pengundi kawasan itu keluar dengan penuh semangat untuk memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat.

“Jangan kita korbankan Nizar, seorang pejuang muda yang ikhlas dalam menempuh segala rintangan. Jangan biarkan pejuang yang baru berputik ini di hancurkan oleh fitnah dan tohmah jahat Umno,” Anwar mengingatkan masyarakat Matang Gelugor.

-suara keadilan

No comments:

Followers