Slip gaji mereka sah diperlakukan di mana-mana saja institusi kewangan untuk melakukan apa-apa saja transaksi ataupun pinjaman.
Saban tahun, ramai yang melancung dalam dan juga luar negara selepas menerima bonus tahunan. Tambahan pula yang punya simpanan saham yang diberikan oleh pihak bank sebagai tanda penghargaan kepada para pekerja mereka.
Tetapi, itu semua hanya tinggal kenangan.
Roda kehidupan telahpun melakukan satu pusingan yang lengkap.
Kini, pekerja sektor awam (kerajaan) lebih beruntung daripada pekerja perkeranian di bank-bank di Malaysia ini. Slip gaji mereka lebih bernilai biarpun telah dipotong semaksima mungkin.
Kenaikan gaji mereka yang diransang oleh iklim politik negara telah melonjak beberapa kali ganda daripada pekerja bank. Walaupun sektor awam hanya berteraskan perkhidmatan manakala sektor perbankan lebih mengutamakan keuntungan, namun itu semua tidak diambil kira.
Sungguhpun rata-rata keuntungan bank di negara ini telah mencecah bilion ringgit saban tahun, tetapi nasib pekerja mereka masih tiada pembelaan. Keuntungan itu dikongsi isinya antara direktor dan pemegang saham bank manakala para pekerja hanya dihidangkan kuah sahaja sebagai upah.
Sebagai contoh, semakan gaji akan dilakukan setiap tiga tahun sekali dengan pihak bank sebagai majikan yang diwakili oleh MCBA (Malaysia Commercial Banks Association) dan juga NUBE (National Union of Bank Employees) yang menjadi wakil kepada pekerja bukan eksekutif (kerani dan juga messenger/penghantar surat) untuk menandatangani perjanjian kolektif (CA - Collective Agreement) bagi tangga gaji yang baru dan apa juga faedah yang diperbaharui bersama.
Oleh yang demikian, setiap tiga tahun, pekerja bank akan menerima kenaikan gaji yang baru. (Kenaikan gaji ini juga dinikmati oleh pekerja eksekutif bagi menjarakkan tangga gaji mereka).
Tetapi, perjanjian bersama (CA) yang di usulkan bermula tahun 2012, sehingga kini masih menemui jalan buntu dalam menyelesaikannya.
Telah dua tahun berlalu, masih tiada apa-apa keputusan yang dibuat sehingga memaksa pihak kesatuan membawa perkara ini ke Mahkamah Perindustrian.
Sungguhpun demikian, pihak bank masih lagi bermain tarik tali sehingga hampir setahun, barulah pendengaran kes di mahkamah dapat dijalankan awal Januari lalu setelah beberapa kali ditangguh.
Peratus kenaikan gaji yang diminta oleh kesatuan adalah sebanyak 51% (setelah diambil kira keuntungan bank, kenaikan gaji tahunan CEO bank dan juga kenaikan harga barangan dan kos sara hidup) tetapi bank tetap berpegang dengan tawaran mereka sebanyak 8% sahaja.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa pekerja di bank itu lumayan bayarannya kerana keuntungan bank yang berbilion dan suasana kerja yang berhawa dingin dan bertali leher.
Sedar atau tidak, seorang pekerja perkeranian bank akan mencapai tahap gaji maksima setelah bekerja lebih daripada 20 tahun.
Tetapi gaji maksima itu berada di bawah paras kemiskinan iaitu RM4000 (kawasan bandar) sekarang ini?
Gaji maksima yang diterima sehinggalah bersara hanya sebanyak RM3,379 (gaji pokok) tanpa ada apa-apa kenaikan tahunan melainkan perjanjian bersama (CA) yang baharu dimeterai.
Bayangkan bagaimana mereka malayari kehidupan dengan gaji yang sebanyak itu di masa sekarang ini.
Dan lebih menyedihkan, lebih 90% daripada mereka adalah orang Melayu yang dinafikan hak kenaikan gaji lebih 2 tahun tanpa sedikit pun rasa belas ehsan daripada bank-bank utama negara. Bank-bank ini memegang tonggak MCBA yang menentukan keputusan kenaikan gaji tersebut, dan bank-bank ini adalah yang berkait dengan kerajaan.
Kini, ramai daripada pekerja bank yang terpaksa menanggung pelbagai hutang untuk meneruskan hidup sementara menantikan sinar baru dalam pertikaian masalah kenaikan gaji mereka.
Semoga mereka tabah dalam mengharungi keperitan hidup sementara menantikan terbukanya pintu hati para peneraju institusi perbankan negara untuk berkongsi keuntungan yang diusahakan bersama.
1 comment:
Boleh share di blog saya juga
Post a Comment