Monday, January 9, 2012

Kembalikan hak kariah menguruskan majlis ilmu di masjid

IPOH ,9 Jan 2012Cubaan pihak-pihak tertentu untuk campurtangan dalam pengurusan dan pentadbiran bagi menguasai masjid di Perak jelas tidak menghormati jemaah kariah di sesuatu kawasan.

Demikian tegas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika mengulas kekecohan yang berlaku berkenaan sekatan mengadakan kuliah subuh dan maghrib di Masjid Daerah Taiping baru-baru ini.

Menurut beliau, sekiranya mana-mana entiti politik yang berfahaman kebangsaan dan berfikiran sekular menguasai masjid, maka ianya akan membawa satu wabak yang bakal melumpuhkan peranan Masjid dalam mendidik ummah dan masyarakat setempat.

"Masjid yang terbabit dengan permainan puak seperti ini akan membawa kepada kerosakan dan pecah belah dikalangan ummah."

"Apa yang dikehendaki ialah masjid yang diasaskan di atas jalan taqwa, yang mampu membawa jamaah  dan ahli kariahnya mendekatkan diri kepada Allah," katanya.

Oleh itu, golongan muttaqin tanpa mengira latar belakang mereka adalah orang yang paling layak untuk menjaga rumah Allah.

Beliau juga mahu fungsi masjid dan surau dikembalikan semula sesuai dengan matlamatnya untuk melahirkan manusia bertaqwa dan mengeratkan perpaduan umat Islam.

Pihak terbabit sepatutnya menghormati setiap jemaah masjid dan membiarkan mereka menentukan sendiri siapa yang akan menjadi pentadbir sesebuah masjid atau surau.

Dengan tindakan memberi peluang jemaah kariah untuk menguruskan masjid, maka keharmonian dan kejernihan dapat diserlahkan.

"Biarlah jemaah yang menentukan sendiri siapa yang akan mentadbir dan memimpin sesebuah masjid atau surau kerana mereka lebih mengetahui keadaan sesuatu tempat.

"Tanpa campur tangan politik kebangsaan dan sekular, menyebabkan institusi masjid dan surau dapat memainkan peranan mereka tanpa sebarang tekanan," ujar beliau lagi.

http://perak.pas.org.my/

http://ustazabubakar.wordpress.com/

No comments:

Followers