JASIN, 5 Mac: Seramai 40 ahli Umno sekitar Sungai Rambai, di sini, amat kecewa kerana menjadi mangsa politik kotor pegawai Tekun yang juga dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.
Setelah permohonan mereka sebanyak RM1.2 juta bagi menjayakan ternakan lembu daging berkelompak diluluskan, pinjaman yang diberikan hanya sekadar RM416,875 sahaja.
Pengerusi syarikat yang menguruskan projek terbabit, Bromo Holding (M) Sdn. Bhd (Bromo Holding), Fahruz Ridza Jaafar, 34, memberitahu, kejadian tersebut sudah berlaku sejak 2007 yang lalu dan kini menjadi bertambah rumit sehingga menjadi amat tertekan.
Menurut beliau, pada asalnya projek tersebut dicadang untuk dilaksanakan di atas tanah seluas lebih 3 ekar di Mukin Semujuk yang juga terletak di Daerah Jasin.
Katanya, tanah tersebut adalah tanah pajakan yang sebelum itu ditanami pisang oleh beliau dengan dibantu ahli-ahli Persatuan Seni Silat Bromo (PSSLB).
"Projek ternakan lembu daging feedlot itu sebenarnya dicadangkan oleh bekas Ahli Parlimen Jasin,Dato Mohd. Said yang menjadi Ahli Parlimen Jasin ketika itu.
"Oleh kerana cadangan itu baik,kami pun bersetuju untuk menjayakannya lalu berusaha untuk mendapatkan pinjaman Tekun," katanya ketika ditemui.
Beliau yang juga Pengerusi PSSLB berkata, malangnya setelah projek itu hendak dimulakan dan pinjaman Tekun diluluskan dengan hanya sebanyak RM416,875 timbul pula bangkangan dari penduduk kawasan itu dengan alasan projek tersebut mengganggu ketenteraman awam.
"Inilah alasan yang digunakan oleh pegawai Tekun terbabit untuk tidak meluluskan sepenuhnya pinjaman kami sebanyak RM1.2 juta," katanya.
Untuk membolehkan projek itu dilaksanakan, katanya, projek tersebut dicadang diusakan pula di kawasan gantian oleh Adun Sungai Rambai, Datuk Hassan Rahman di atas tanas seluas 8 ekar di Lancang, Merlimau.
"Disebabkan keluasan projek gantian itu bertambah dan di kawasan itu belum berpagar serta belum mempunyai segala keperluannya, kosnya menjadi bertambah.
"Ini menjadikan masalah kami bertambah rumit. Dah lah di kawasan asal tak dapat dijalankan,di tempat baru pula tak cukup wang," katanya.
Dalam masa yang sama, mereka pula turut ditekan oleh pegawai Tekun terbabit agar membuat bayaran balik kepada Tekun sebanyak RM14,000 seorang.
Jika tidak, nama-nama mereka disenarai hitamkan.
"Dari mana kami nk dapatkan wang untuk membayar balik pinjaman itu? Dahlah nak buat projek ternakan lembu tak boleh, projek tanaman pisang pula dah tak kami usahakan lagi," katanya.
Untuk menyelesaikan masalah itu, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Razak untuk campur tangan.
Namun, katanya, sehingga kini Menteri Pertanian dan Asas Tani serta Perdana Menteri belum memberikan sebarang reaksi positif.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kedua-dua pemimpin Umno tidak membiarkan mereka terkapai-kapai sendirian untuk menyelesaikan masalah yg dihadapi mereka sekarang.
"Apa yang berlaku ke atas kami ini adalah penipuan pegawai-pegawai Tekun terbabit. Jika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perdana Menteri tak campur tangan, kami dah tau nak mengadu kepada siapa lagi," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment