Monday, March 2, 2009

Sultan Kelantan mahu umat Islam tangani perpecahan segera

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra melahirkan rasa dukacita berhubung perpecahan di kalangan umat Islam ketika ini yang menurut baginda memerlukan satu kaedah untuk ditangani dengan segera.

Titah baginda, akhir-akhir ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran, ujian dan percubaan, termasuk isu-isu politik, ekonomi, sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja.

"Perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam adalah cukup cemas dan mendukacitakan. Beta merasakan situasi sebegini adalah detik pahit yang memerlukan penyelesaian segera umat Islam yang berfikiran matang, insaf dan sedar," titah baginda ketika merasmikan pelancaran sambutan bulan dakwah peringkat negeri Kelantan di Balai Islam, di sini, malam tadi.

Turut berangkat di majlis pelancaran bulan dakwah bertemakan "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” itu ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, baginda mahu bulan dakwah yang dirangka dan dilaksanakan ini perlu menekankan agenda perpaduan supaya permasalahan ini tidak terus menjadi 'putaran ganas dan membara dalam masyarakat'.

Baginda juga mengingatkan dalam memperkata mengenai kewajipan dakwah, perkara pokok yang perlu diberi penekanan ialah sasaran dakwah kepada kelompok utama iaitu di kalangan sesama muslim dan masyarakat di luar Islam supaya mereka mengenali Islam secara lebih dekat bagi mengelak prasangka dan prejudis.

"Bagi menyemarakkan kegiatan dakwah adalah menjadi harapan Beta supaya kesedaran dakwah di kalangan anggota masyarakat Islam dapat disemarakkan sesuai dengan perkembangan semasa umat Islam dan perkembangan global," titah baginda.

Malah, baginda berharap pelancaran bulan dakwah tahun ini mampu mendidik, membina kesedaran dan penghayatan cara hidup anggota masyarakat mengikut ajaran Islam secara menyeluruh bagi merealisasikan Islam sebagai agama yang membentuk penyatuan ummah dan fikiran ke arah membangunkan tamadun sejagat.

Sebagai umat terbaik, titah baginda, umat Islam perlu mampu menguasai ilmu pengetahuan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan semasa dengan keindahan ajaran Islam ditampilkan sebagai ajaran yang sesuai untuk semua keadaan dan zaman serta sesuai dengan mana-mana bangsa dan tamadun.

"Malah perlu diingatkan umat Islam perlu berada di tengah gelanggang dengan menampilkan kejayaan yang boleh dicontohi oleh orang di luar Islam,"titah baginda. - Bernama

-beritaharian

No comments:

Followers