Wednesday, August 20, 2008

Cuti Sekolah

Cuti sekolah adalah masa yang paling sesuai untuk ibubapa memanjakan anak-anak serta melegakan tekanan belajar mereka sebentar.

Biasanya masa cuti sekolah digunakan untuk membawa mereka jalan-jalan makan angin serta bersantai sekeluarga.

Dan cuti sekolah kali ini, di atas permintaan anak-anak, kami sekeluarga makan angin ke Cameron Highlands, Pahang. Pergi pagi, balik petang. Cuma makan angin, cuci mata dan membeli buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan serba sedikit.

Akan tetapi, Cameron Highlands sekarang tidaklah seperti Cameron Highlands yang dahulu kerana cuacanya yang sejuk sudah seakan tidak terasa akibat kerakusan manusia menggondolkan bukit-bukau yang ada disana atas nama pembangunan.

Kalau dahulu, Cameron Highlands lah tempat yang sejuk lagi nyaman serta sesuai untuk pasangan pengantin baru berbulan madu. Saya berkata begitu kerana bulan madu saya dan isteri dahulu di Cameron Highlands. Kenangan manis itu masih terpahat diminda dan jiwa, tambahan pula apabila berkunjung lagi kesana.

Sayang sekali, tak banyak gambar yang dapat ditangkap kerana anak-anak semuanya pening-pening lalat akibat perjalanan ke sana yang berliku-liku dan berbelok-belok. Selera bergambar mereka hilang dalam kepeningan.

Kemana anda membawa anak-anak bercuti kali ini?

No comments:

Followers