Tuesday, August 5, 2008

Bakar rumah kerana RM2


IBRAHIM menunjukkan wang RM2 yang menjadi punca rumahnya dan rumah jiran dibakar di Kampung Sireh, Bawah Lembah, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Itulah yang berlaku dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Sireh, Bawah Lembah dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, seorang lelaki berusia 35 tahun yang disyaki penagih pil kuda dan mengalami masalah mental ditahan polis selepas dipercayai mengamuk serta membakar rumahnya dan tiga rumah lain.

Suspek sebelum itu bertindak agresif memukul ibunya, Kamariah Hamzah, 65, sehingga cedera di kepala dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan keadaannya dilaporkan stabil.
Bapa tiri lelaki terbabit, Ibrahim Sulong, 72, memberitahu beliau bergegas pulang dari Kok Lanas sebaik dihubungi jiran mengenai kejadian tersebut.
"Jiran-jiran beritahu anak tiri saya mengamuk kerana polis hendak menahannya selepas dia memukul ibunya pagi tadi (semalam) kerana enggan memberinya wang RM2.
"Menyedari kehadiran polis, dia (suspek) bertindak membuka dapur gas dan membakar rumah lalu berlari keluar sebelum api melarat ke rumah jiran," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Shukri Ismail berkata, sepasukan 35 anggota bersama lima jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang ramai pukul 4.30 petang.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah dan mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran.
Katanya, siasatan mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada api dapur gas tetapi pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan kerugian dianggar bernilai RM250,000.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dibuat terhadap seorang lelaki yang disyaki penagih kerana mengamuk dan membakar rumah.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.
Ajijoi - Apa nak jadi le negara kita sekarang ni.....macam-macam hal.

No comments:

Followers