Wednesday, May 28, 2014

KEMANGKATAN SULTAN PERAK: PAS PERAK RAKAM RASA SEDIH


Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah jam 1.30 petang tadi.

Kami menyifatkan kemangkatan Almarhum Tuanku adalah satu kehilangan yang sangat besar bagi rakyat khususnya rakyat negeri Perak. 

Almarhum Tuanku banyak berjasa kepada rakyat negeri Perak di sepanjang pemerintahan beliau bermula tahun 1984 hingga ke hari ini.

Barisan kepimpinan PAS Negeri Perak serta seluruh ahli merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga serta kerabat Almarhum dan berharap agar semuanya tabah dalam menghadapi dugaan ini.

PAS Perak ternyata akan merasai pemergian Tuanku yang sangat bersungguh-sungguh dalam pemerintahannya selama 30 tahun bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terbela.

Bagi menghormati pemergian Almarhum Tuanku, dengan ini PAS Perak mengumumkan akan menangguhkan segala aktiviti parti disemua peringkat di seluruh negeri termasuklah kempen daripada PAS di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan hingga selesai majlis pemakaman.

Segala program yang telah dijadualkan serta diatur akan ditukarkan menjadi majlis berkabung dan tahlil ke bawah duli Almarhum Tuanku.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Kami mendoakan agar Allah mengampuni segala dosa dan menerima semua amalan baiknya dan merahmatinya di alam barzakh. 
Al-Fatihah.


RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

No comments:

Followers