Saturday, May 31, 2014

Prk Teluk Intan: InsyaAllah, Dyana menang


Setakat jam 6.32 petang, pengiraan undi memihak kepada Dyana walaupun pada permulaan undi BN mendahului. 


Keputusan pengiraan yang tidak rasmi, Dyana perolehi 7216 undi berbanding 6495 yang diperolehi BN. 

Laporan daripada lapangan pula mengatakan yang tiada seorang pun pimpinan dan penyokong BN yang hadir ke pusat penjumlahan undi. 

Tetapi penyokong DAP dan Pakatan Rakyat telah mula tiba secara beramai-ramai untuk mendengar sendiri pengumunan pilihanraya kecil ini. 



Prk Teluk Intan: Pengundian ditutup, pengiraan bermula


Jam 5 petang waktu pengundian ditutup telah berlalu, kini bermulalah proses pengiraan.

Menurut laporan dari lapangan, sejak tengahari lagi khemah-khemah Umno serta pusat khidmat mereka telah sunyi dan lengang. Umno tempatan dikatakan bagai tidak berminat untuk membantu jentera BN sehingga dikatakan menerima makian daripada unit Umno yang datang membantu dari luar.


Ramai pengundi luar Umno terutamanya anak-anak muda dilaporkan tidak pulang untuk mengundi. Ini menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah kali ini berbanding sewaktu PRU13 lalu.

Banyak faktor penyebab kepada keadaan sebegini, antaranya adalah calon BN daripada parti Gerakan yang telah kalah sebanyak dua kali di kerusi yang sama tetapi masih diberi kepercayaan untuk menggalas tugas yang berat ini.

Kini kami berada di pusat pengiraan undi. 

Jelas kelihatan hanya pihak polis dan FRU yang lebih ramai daripada penyokong BN di sini. Mereka sudah langsung tidak berminat untuk mengetahui keputusan pilihanraya kecil kali ini.

Mungkin sekarang sedang berkumpul untuk berhibur dan berbelanja dengan habuan yang diberikan pimpinan mereka untuk prk kali ini.



Prk Teluk Intan: BN menyerah kalah?


BN tengahari tadi telah membuka dan memunggah segala khemah mereka di Dataran Menara Condong. 

Para petugas mereka juga kelihatan telah meninggalkan tempat tersebut. 

Petanda apakah ini? Orang ramai yang berada di sekitar Menara Condong tertanya-tanya mengapa BN terlalu awal membuka semua khemah-khemah mereka? Tidakkah mereka mahu menyelesaikan tugasan pilihanraya sehingga jam 5 petang nanti. 

Apakah tiada sambutan kemenangan pada malam ini di hadapan mercu tanda popular Teluk Intan itu?

Apakah ini menandakan yang BN telah mendapat petunjuk awal yang mereka akan kalah?

Pembukaan khemah-khemah ini bolehkah ditafsirkan yang BN telah menyerah kalah? 

Pasti tersenyum lebar Dyana Sofya membaca artikel ini. 



Prk Teluk Intan: Dyana dalam bahaya


Dyana Sofya memerlukan lebih 70 peratus pengundi yang keluar mengundi untuk memenangi kerusi P076 Teluk Intan. Jika peratusannya kurang daripada itu, kedudukan Dyana dalam bahaya. 

Setakat ini, peratusan yang keluar mengundi dilaporkan amat kurang. 

Pengundi-pengundi bagaikan lebih selesa duduk di rumah berehat di hari cuti dalam keadaan cuaca yang panas di Teluk Intan ini. 

Petugas-petugas Pakatan Rakyat perlu lebih ramai turun membantu memujuk pengundi untuk keluar mengundi sebelum jam 5 petang ini. 

Kemenangan buat calon muda DAP itu terletak kepada jumlah undi yang didapati hari ini, bukannya melalui sokongan dan bilangan yang ramai sewaktu kempen dan ceramah sahaja.

Ayuh giatkan gerakerja untuk memastikan kemenangan di Teluk Intan dipertahankan. 


Prk Teluk Intan: Pesuruhjaya Pas Perak tunjuk contoh politik matang


Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria kelihatan di mana-mana saja sepanjang kempen pilihanraya kecil P076 Teluk Intan ini. 

Ini menunjukkan bahawa beliau seorang yang bersikap 'walk the talk' ataupun 'cakap serupa bikin' apabila menunjukkan contoh yang baik kepada ahli-ahli Pas yang dinasihati beliau untuk membuktikan semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat. Beliau memberikan contoh bagaimana untuk bergaul di dalam masyarakat sepertimana yang dianjurkan oleh Islam.

DAP perlu mengakui hakikat ini. Kerjasama yang diberikan Pas terutamanya Pas Perak dengan menggerakkan seluruh jentera pilihanrayanya untuk membantu kempen calon DAP itu bukanlah sembarangan. Terlalu banyak yang dikorbankan demi mempertahankan rakan di dalam Pakatan itu.

Itu contoh baik yang ditunjukkannya kepada rakan. Begitulah juga yang dilakukannya kepada musuh politik disebelah sana.

Beliau sentiasa ramah kepada siapa saja tanpa mengira siapa mereka. 

Ramahnya itu bukan hanya sekadar bersua dan bersalam, tetapi suatu yang tersirat di dalam pergaulannya itu adalah dakwah.

Dengan menunjukkan akhlak yang baik dan disenangi semua, dakwah akan terlihat tanpa mereka menyedarinya. Tidak mustahil akan ada yang terpaut untuk berbaik dan bergaul dengan Pas yang membawa mesej Islam di dalam dasar perjuangannya. 

Semoga susuh tubuh yang sasa itu boleh menjadi contoh bagaimana politik boleh dibersih dan dimatangkan dengan akhlak yang baik. Baik kepada rakan, begitu juga kepada lawan.

Politik negara perlukan lebih ramai seperti Pesuruhjaya Pas Perak itu untuk membawa rakyat dan negara ke puncak kegemilangan yang sewajarnya.





Prk Teluk Intan: Taktik kotor terbaru BN

Taktik kotor terbaru yang digunakan BN di hari mengundi ini adalah dengan memakai t-shirt kosong berwarna merah di hadapan pusat-pusat mengundi. Ini bagi mengelirukan pengundi yang telah terbiasa dengan kempen tshirt merah Dyana Sofya dan DAP.

Setiap pengundi Cina akan ditegur dan di ingatkan untuk mengundi calon Cina. 

Perkauman tekah sebati dengan mereka dan itulah juga yang mereka harapkan daripada pengundi untuk kekal berkuasa. 

Jika rakyat Malaysia berjaya dipecah dan dipisahkan berdasarkan perkauman, mudahlah untuk mereka memerintah negara mengikut kemahuan mereka. 

Pengundi di Teluk Intan tanpa mengira kaum digesa untuk memilih Dyana Sofya untuk menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan BN bahawa rakyat Malaysia bencikan perkauman dan memilih perpaduan.





Sumber foto: facebook Democratic Action Party




Prk Teluk Intan: Umno boikot calon Gerakan kerana tidak hormat Sultan Perak?


Sewaktu calon DAP, Dyana Sofya dan pimpinan Pakatan Rakyat menghadiri majlis pemakaman Sultan Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar Khamis lalu, calon Gerakan Mah Siew Keong mengambil kesempatan dengan meneruskan kempen pilihanraya walaupun pimpinan BN negeri telah mengumumkan agar aktiviti kempen ditangguhkan bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak. 

Perbuatan biadap Mah itu telah membuatkan pihak Umno begitu marah kerana jelas menunjukkan calon Gerakan itu tidak menghormati Raja Melayu. 

Mungkin atas sebab itulah banyak pondok panas dan jentera pilihanraya daripada Umno tidak kelihatan aktif dalam menjalankan kempen terhadap calon Gerakan itu.

Tetapi agak mengelirukan apabila Presiden Umno sendiri yang menjanjikan jawatan menteri kepada Mah Siew Keong walaupun terang-terangan calon Gerakan itu menghina Raja Melayu.

Prk Teluk Intan: Pondok panas BN lesap?

Menurut laporan, beberapa kawasan tempat mengundi tiada kelihatan pondok panas BN didirikan. Kebiasaannya, BN lah yang paling banyak mendirikan pondok panas. 

Adakah kerana protes atau sabotaj daripada pihak dalaman BN itu sendiri terhadap calon Gerakan? 

Ataupun mereka telah menyerah diri awal-awal lagi kerana petunjuk memang menyebelahi calon DAP baik dari segi sokongan mahupun populariti. 

Terdapat juga laporan mengatakan BN tiada tenaga muda dalam jentera mereka, yang tinggal hanyalah yang sebaya dengan calon Gerakan itu.

Prk Teluk Intan: Pertandingan sehingga jam 5 petang


Walaupun suasana di Teluk Intan bagaikan menyebelahi calon DAP, Dyana Sofya dalam semua aspek, namun perjuangan dalam merebut kerusi ahli parlimen Teluk Intan tetap berterusan sehinggalah jam 5 petang bila waktu untuk mengundi di tutup hari ini. 

Para petugas Pakatan Rakyat masih tetap bersemangat meneruskan tugasan mereka bagi memastikan jumlah yang tinggi keluar mengundi seawal mungkin. 

Perayu undi juga sanggup bertahan di bawah cuaca panas terik hari ini demi menenangkan calon muda bagi menumbangkan kuasa gergasi yang angkuh dan menindas. 

Semoga semuanya berjalan lancar hari ini dan kemenangan bukan hanya buat Dyana Sofya tetapi juga bagi rakyat seluruhnya. 


Tuan Guru Dato' Dr Harun Din difitnah melalui akaun Facebook palsu

Banyak akaun facebook yang dipalsukan timbul pada masakini bertujuan untuk  mengelirukan orang ramai dengan kenyataan-kenyataan yang tidak benar sama sekali.

Kejadian kenyataan mengelirukan daripada akaun palsu Facebook Tuan Guru Dato' Dr Harun Din yang meminta agar ahli Pas di Teluk Intan tidak keluar mengundi calon DAP, Dyana Sofya 31 Mei ini atas alasan menolak Hudud amatlah dikesali. 


Fitnah ke atas Tuan Guru Dato' Dr Harun Din ini begitu berat sekali sehingga mengaitkan nama Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang. 

Semoga para pengundi di Teluk Intan tidak termakan akan fitnah yang jijik lagi memalukan daripada pihak yang amat terdesak sehingga sanggup memfitnah alim ulama demi survival politik mereka.

Pihak PAS telah mengeluarkan kenyataan dengan menafikan bahawa status di facebook tersebut datangnya daripada Tuan Guru Dato' Dr Harun Din. 


Semoga semua pihak faham dan tidak mempecayai taktik kotor pihak lawan yang sedemikian rupa. 

Bersama-samalah kita berusaha untuk memenangkan calon DAP, Dyana Sofya agar politik murahan seperti ini dapat dihapuskan. 



Ceramah penutup kempen Dyana di P076 Teluk Intan penuh sesak


Kempen Dyana untuk pilihanraya kecil P076 di Teluk Intan di tutup dengan ceramah mega yang dibanjiri rakyat tempatan dan juga luar. 

Pimpinan Pakatan Rakyat berganding bahu berceramah di hadapan puluhan ribu manusia yang membanjiri Teluk Intan. 

Antara penceramah yang hadir adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Hj Mohamad Sabu, Khalid Samad, Tamrin Ghafar Baba dan pimpinan tempatan yang lain. 

Dyana Sofya sendiri turut berceramah dengan sepenuh tenaga menyampaikan misinya dalam prk ini yang antara lain katanya, tidak kira apa warna kulit, kita tetap rakyat Malaysia. 










Suasana dan keadaan yang berbeza, amat berbeza bagi ceramah terakhir daripada pihak BN apabila bilangan kerusi yang terlalu banyak berbanding orang. 


Jika perkara sebegini di ambil kira, sudah pastinya kita semua tahu calon mana yang layak untuk bergelar Ahli Parlimen Teluk Intan. 

Tetapkan pendirian anda untuk terus mengundi Dyana Sofya Mohd Daud, calon daripada DAP. 








 

Friday, May 30, 2014

Gambar Dyana Sofya yang eksklusif


Melihat kepada gambar di atas, tentu sejuk hati kita jika memilih calon sebegini untuk diangkat sebagai ahli parlimen di tempat kita. 

Dyana Sofya Mohd Daud, satu nama yang menjadi fenomena sekarang ini. 

Pelbagai usaha dan kata nista yang BN hamburkan kepada anak muda yang berjiwa kental, petah dan berwawasan ini, sedikit pun tidak mencalar permukaan  peribadinya apatah lagi semangat dalamannya. 

Permulaan kempennya dicemari dengan label yang anti Islam kerana berpartikan DAP.  

Tetapi itu semua tidak menjauhkan sokongan orang Melayu kepada gadis ini. Malah lebih menaikkan nama beliau dalam pilihanraya kecil kali ini. 

Kecantikannya tidak dapat dinafikan lagi sehingga bekas menteri daripada MCA, iaitu Tan Sri Lee Liong Sik juga mengakuinya. 

Tetapi pencalonannya bukanlah kerana kecantikan tetapi lebih kepada keupayaan menggalas tanggungjawab dan integriti yang telah dibuktikan semenjak menyertai parti DAP. 

Tugasan beliau sebagai pembantu kepada Lim Kit Siang banyak mematangkan karier politik dan peribadinya. 

Selfie, satu budaya baru yang menular di kalangan penggemar media sosial telah melonjakkan lagi nama Dyana Sofya apabila beliau begitu mesra dan bersedia melayani permintaan orang ramai untuk bergambar dengannya di mana jua. 

Dan gambar selfie di atas begitu eksklusif kerana ianya menggambarkan siapa diri Dyana yang sebenarnya. Saudara seagama dengan kita yang memerlukan  lebih bimbingan untuk menjadi insan yang baik. 

Dengan mengundi beliau Sabtu esok, insyaAllah, suara Islam yang mewakili DAP tidak mustahil akan berkumandang kuat di dalam parlimen suatu hari nanti. 








Dyana perlukan pengundi luar untuk menang


Mengikut kajian, calon muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud perlukan lebih daripada 70% pengundi yang keluar mengundi pada 31 Mei ini untuk memenangi kerusi P076 Parlimen Teluk Intan. 

Jika peratusan yang keluar mengundi kurang daripada 65%, kedudukan beliau agak goyah di situ. 

Kajian ini digunapakai oleh pihak lawan dengan memainkan unsur-unsur ugutan dan bahan-bahan siaran yang mengelirukan agar peratusan yang keluar mengundi akan berkurangan, sekaligus memberikan sedikit, tidak banyak, tetapi sedikit harapan kepada calon mereka. 

Oleh yang demikian, pihak DAP serta Pakatan Rakyat menyeru pengundi-pengundi luar untuk pulang mengundi Dyana Sabtu ini. 

Inilah peluang anda untuk membantu Dyana memecahkan tembok perkauman dan menghirup udara politik yang baru.

Bagi memudahkan pengundi-pengundi luar pulang mengundi, pihak DAP telah menyediakan bas-bas untuk membawa mereka pergi dan balik dengan tambang hanya RM10 seorang.

Hubungi pejabat DAP yang terdekat dengan anda untuk maklumat lanjut.

Pulanglah untuk menunaikan tanggungjawab anda dengan mengundi calon muda Dyana Sofya Mohd Daud daripada DAP agar beliau dapat menyampaikan suara lantang warga Teluk Intan di dalam Parlimen nanti. 

Kepulangan kalian kami nantikan, JOM BALIK UNDI!


Thursday, May 29, 2014

Biadap! Calon Gerakan di Teluk Intan teruskan kempen disaat majlis pemakaman Sultan Perak


Dikala rakyat Perak berduka akibat kemangkatan Sultan yang disayangi, calon BN tetap meneruskan kempen pilihanraya tanpa rasa hormat dan mempedulikan majlis yang sedang berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada waktu itu. Ini menunjukkan yang calon Gerakan ini langsung tiada rasa hormat kepada kesultanan negeri Perak. 


Berlainan dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain menghadiri majlis dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Azlan Shah. Beliau menangguhkan segala aktiviti kempen bagi menghormati majlis pemakaman Almarhum Sultan. 


Adakah kempen pilihanraya itu lebih penting dan besar bagi calon BN ini daripada menunjukkan rasa hormat diatas kemangkatan Sultan Perak yang kita semua kasihi?


Umno selaku tunggak utama parti Barisan Nasional di Perak perlu bertanggungjawab akibat daripada perbuatan biadap calon mereka di PRK P076 Teluk Intan ini. 


*Sumber gambar daripada facebook.

Pemimpin Pas Perak di Istana Iskandariah beri penghormatan terakhir kepada Sultan Perak (9 gambar)
















Tahniah kepada Sultan Perak yang baru, Sultan Nazrin Shah


Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat DYTM Raja Dr Nazrin Shah yang telah dilantik sebagai Sultan Perak yang baru bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Azlan Shah yang mangkat semalam.

Semoga negeri Perak akan kekal makmur dan bertambah mulia dibawah pemerintahan Tuanku Sultan. 

Persediaan pemakaman Sultan Perak (bergambar)

Persediaan pemakaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini berjalan lancar.

Gambar-gambar persediaan liang lahat dan tempat pembaringan Sultan Perak: 















Jadual pemakaman hari ini seperti berikut:













Followers