Tuesday, December 20, 2011

Sumber: Majlis setuju gaji minimum RM770-RM900 ikut tiga zon

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Majlis Perundingan Gaji Negara dipercayai telah mencapai kata sepakat mengenai kadar gaji minimum — mengikut tiga zon dengan kadarnya sekitar RM770 hinga RM900 sebulan dan akan diserahkan kepada kerajaan pusat untuk menentukan kadar muktamad dan juga tarikh pelaksanaan.

The Malaysian Insider difahamkan kadar itu diputuskan pada mesyuarat majlis itu semalam.

Sumber memberitahu bahawa RM900 ditetapkan bagi pekerja-pekerja di Semenanjung, Sabah (RM770) dan Sarawak pula RM780 meliputi semua sektor kecuali pembantu rumah.

Difahamkan syor itu diterima oleh kerajaan akan melibatkan sekitar tiga juta pekerja secara langsung dalam waktu terdekat.

"Persetujuan ini adalah satu perkembangan yang bersejarah kerana akhirnya, buat setakat ini, semua pihak dalam majlis bersepakat mengenai satu kadar gaji minimum yang boleh diterima semula. Ada situasi menang-menang dalam kes ini," kata sumber.

Difahamkan persetujuan itu membawa kenaikan antara RM200 hingga RM250 berbanding kadar gaji pokok semasa.

Gaji minimum disyorkan itu meliputi semua kategori pekerjaan dalam sektor swasta kecuali khidmat pembantu rumah.

"Kadar yang disyorkan oleh majlis akan dikemukakan kepada kerajaan untuk kelulusan. Kementerian Sumber Manusia dijangka akan mengumumkan kadar itu dalam waktu terdekat," kata sumber itu lagi.

The Malaysian Insider juga difahamkan kemungkinan besar pentadbiran Najib akan menerima kadar yang disyorkan oleh majlis itu walaupun ia ada kuasa untuk meminta kadarnya dikaji semula.

Majlis itu mengadakan siri perbincangan sejak akhir September lalu selepas menerima surat pelantikan daripada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar).

Pentadbiran Najib meletakkan sasaran untuk melaksanakan gaji minimum awal tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun sumber industri percaya usaha itu akan mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

"Mungkin kerajaan akan mengumumkan tidak lama lagi, tetapi pelakasanannya dijangka mengambil beberapa bulan, sebab perlukan tempoh peralihan supaya memudahkan semua pihak," katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut majlis itu akan mengesyorkan kepada kerajaan tentang kadar dan tarikh pelaksanaan gaji minimum. Kerajaan boleh meminta majlis tersebut meneruskan kajian jika cadangan awal tidak dipersetujui dan tidak diterima.

Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang membuka laluan kepada pelaksanaan gaji minimum dan Putrajaya memberi jaminan akan dilaksanakan akhir tahun ini, telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sesi Parlimen Jun-Julai lalu.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu dasar gaji minimum kebangsaan yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara. Badan induk kesatuan sekerja itu mahukan gaji minimum nasional RM900 sebulan manakala Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia mengesyorkan kadar RM700 sebulan.

MEF menegaskan pihaknya berpendapat bahawa gaji minimum boleh membawa kesan negatif, antara kadar pengangguran yang tinggi.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, Dr Subramaniam berkata, majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.

Menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

No comments:

Followers