Monday, October 27, 2008

Majlis Ihtifal Pasti Peringkat Negeri Perak


Ipoh (26/10/2008) - Majlis Ihtifal Pasti Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan telah diadakan di Sekolah Agama Rakyat An-Najmi, Tmn Puteri Lindungan Bintang, Ipoh.

Majlis ini telah disertai oleh Pasti Kawasan daripada seluruh negeri Perak. Daripada Grik sehinggalah ke Slim River. 20 kawasan kesemuanya.

Acara yang dipertandingkan secara serentak ialah azan, bercerita, hafazan, khutbah, nasyid, pidato dan sajak.

Perasmian penutup acara dilakukan oleh YB Hj Roslan bin Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Anak saya dan Pasti Al-Ehsan mewakili kawasan Gopeng dalam pertandingan nasyid. Kumpulan nasyid daripada Pasti kawasan Bagan Serai yang bergelar juara dan akan mewakili negeri Perak di pertandingan peringkat seluruh Malaysia di Alor Setar, Kedah nanti.

Ajijoi - Sedikit pengamatan ikhlas saya sepanjang pertandingan semalam. Setiap program atau majlis yang dijalankan baik Pasti mahupun Pas sendiri, seakan menjadi 'budaya' yang melekat kuat walaupun setelah menikmati kemenangan di Perak ini. 'Budaya' yang saya maksudkan ialah pasti ada kelemahan yang sama pada setiap program.

Kelemahan ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa sebab :-

1. Pengurusan jalan kerja
Program telah diatur dengan cantik sekali semasa mesyuarat tetapi apabila tiba hari tersebut, segalanya dibiarkan berjalan dengan sendirinya tanpa ada pengawasan dan kawal selia agar setiap agenda yang diluluskan didalam mesyuarat dipatuhi.

2. Tidak Menepati Waktu
Program yang sepatutnya dimulakan pada jam 9.00 pagi hanya bermula pada pukul 10.00 pagi akibat pegawai-pegawai yang bertugas tiba lewat. Tetamu diminta hadir jam 8.30 pagi untuk pendaftaran tetapi terpaksa menunggu selama 1 1/2 jam untuk acara bermula. Surah Al-Asr (Masa) dibaca setiap kali pembukaan dan penutupan majlis tetapi masa masih lagi terbuang sia-sia setiap kali program.

3. Penunjuk arah
Tiada penunjuk arah kepada tetamu-tetamu yang hadir sehinggakan saya yang tinggal di Ipoh pun sesat mencari tempat program inikan pula orang luar yang datang daripada Grik sehinggalah Slim River.

4. Sistem pembesar suara (P.A. System)
Ini adalah masalah utama disetiap program. Peralatan tidak mencukupi, tiada persediaan awal ataupun tiada siapa yang tahu menggunakannya antara alasan-alasan yang biasa didengar.

5. Sebaran maklumat
Salah satu masalah yang paling besar di dalam setiap program yang dianjurkan adalah maklumat yang tidak sampai mahupun menyeluruh. Kalau sampai pun selalu 'last minute'. Sehinggakan orang yang ditunggu sebenarnya tidak tahu ada program tersebut pada hari itu. Semuanya 'assume' ataupun menyangkakan yang orang-orang tersebut tahu akan program pada hari itu.

6. Keputusan mesyuarat
Saya diberitahu bahawa pandangan dan cadangan daripada guru-guru Pasti yang biasa mengadakan majlis ihtifal seumpama itu tidak diambil kira malah diremehkan. Pegawai-pegawai atasan hanya merangka program di atas kertas tanpa pengalaman turun padang dan menjalankannya sendiri.

7. Sikap lepas tangan
Majlis ihtifal semalam adalah dibawah anjuran Pasti Negeri Perak tetapi pada pengamatan saya seolah-olah anjuran Pasti kawasan Gopeng kerana kebanyakan tenaga kerja dan guru-guru Pasti yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut terdiri daripada kawasan Gopeng. Jika disemak senarai tenaga kerja yang sepatutnya hadir, hanya beberapa kerat sahaja yang menampakkan muka.

Sehingakan ketibaan YB Roslan juga tidak disambut oleh sesiapa pun daripada pihak Pasti Perak. Oleh kerana saya mengenali YB secara peribadi, saya menyambut kehadiran beliau sehinggalah ada yang menyedari dan YB disambut secara rasmi oleh pihak Pasti. Kemudian, bilik khas untuk YB berehat dan menunggu tidak dapat digunakan kerana ada mesyuarat pihak Pasti sedang berjalan di bilik tersebut. {Mengadakan mesyuarat semasa program berlangsung?} YB Roslan terpaksa membawa diri berjumpa dan bersalaman dengan orang ramai yang ada disitu sebelum dijemput duduk di sofa utama dihadapan dewan.

Ini adalah kerana program Ihtifal Pasti ini merupakan program tahunan. Bermakna setiap tahun diadakan program yang sama. Kenapa tiada peningkatan dari setahun ke setahun. Kenapa masih ditakuk lama malah mungkin juga semakin teruk dari setahun ke setahun.

Imej parti perlu dijaga kerana parti kita merupakan parti pemerintah di negeri ini dan setiap tindak tanduk kita diperhatikan selama penggal pertama kita memegang tampuk pemerintahan negeri.

Seorang ustaz yang saya temui semalam mengatakan beliau lebih suka jika Pas kalah didalam pilihanraya tempohari jika keadaan seperti hari ini berterusan kerana semasa kita kalah, semua ahli membuat kerja parti dengan bersungguh-sungguh berbanding dengan hari ini apabila kemenangan berpihak kepada kita.

Pada hemat saya, pandangan ikhlasnya itu adalah kerana sayangnya akan perjuangan parti ini dan beliau tidak mahu ahli-ahli menjadi lemah dek kemenangan.

Di harap teguran ikhlas saya ini dapat dihadam dengan baik demi memastikan perjalanan gerakan Islam kita menjadi lebih mantap kehadapan dan bukannya lesu tertinggal jauh kebelakang.




No comments:

Followers