Blog sanusimdnor.blogspot.com
1. Kasih Sayang Merentasi Sempadan Rabu, 14 Ogos 2013, Ustaz Azizan (UA) melakukan perjalanan pertamanya sejak di masukkan ke wad di Hospital Besar Pulau Pinang, juga yang terakhir sewaktu hayatnya. Ambulan bergerak perlahan, lembut penuh santun membawa seorang insan berjasa melintasi jambatan sekitar jam 10.30 pagi. Tiga buah kereta mengekori di belakang. Aku , Muhammad Rafi'iy (anak), Helmi Khalid dan Mazlan dalam sebuah kereta diekori Muzaini, Bukhari dan Muhammad Izzatul Islam (anak), dan Pajero dipandu Abg Ghani di belakang mereka.
Sampai di Hospital Sultanah Bahiyah sekitar jam 12:00 tengahari, terus dibawa ke wad ICU di tingkat 3. Pengarah hospital, Dato' Dr Juwita menyambut di lobi, mengiringi UA dan kami ke kamar terakhir yang disinggahi.
"Kita di mana ni?" UA bertanya dengan gerakan bibir tanpa suara. " Kita dah sampai tanah tumpah darah Ustaz. Kita dah sampai Alor Setar. Ini Hospital Sultanah Bahiyah. Kita dah masuk Kedah semula setelah cukup-cukup 100 hari di Penang." "Alhamdulillah!" Katanya lalu tersenyum, rasanya dia gembira kerana berjaya pulang ke negeri yang dicintainya.
"Ustaz, sempena 100 hari, hari ni BN buat sambutan depa rampas Kedah, depa lancarkan UTC - Urban Transformation Center, program Kerajaan Pusat". Aku melanjutkan.
"Depa buat apa dah? Tanya ustaz.
"Tak nampak apa lagi Ustaz, hanya nampak dok panas di KUIN".
"Depa buat apa (dengan KUIN)? Juai?" Dia menekan kerongkongnya supaya suaranya didengari, wajahnya berkerut. Aku berpaling melihat Muzaini dan Helmi, cuba mendapatkan pandangan sama ada patut bercerita atau tidak. Mereka selamba sahaja, seperti berkata "teruskan!"
"Depa tak ada orang macam Ustaz, tak ada yang faham tentang universiti. Depa punggah ikut dan saja. Dr Jamil dah berhenti, mungkin ramai lagi yang akan berenti juga." UA nampak seperti terkejut.
"Kata Dr Jamil, depa mai Kedah nak tolong Ustaz bangunkan KUIN, ramai profesor lain pun macam dia juga. Bila Ustaz dah tak ada, depa dah hilang selera nak bekerja". Dahinya makin berkerut. "Cukup lah Ustaz, nantilah kita sembang lagi. Ustaz kena berehat, tadi berjalan jauh".
UA menggamit supaya mendekatinya lagi. Tangannya memberi isyarat mahu aku terus bercerita. Mungkin hatinya belum puas tentang nasib anak buahnya "Berapa orang kena buang kerja, depa buang orang dak?" Itulah Ustaz Azizan, tebal kasihnya kepada semua, walaupun dirinya sedang bertarung dengan ketidakpastian.
Aku menyambung. "Dato' Latifah, Pendaftar KUIN dah ditamatkan kontrak. Dato' Shabudin di MBI pun dah tamat kontrak bulan Julai baru ni, tak disambung lagi. Lantikan zaman kita di GLC pun diarahkan berhenti. Yang masih ada mungkin tak lama dah". UA merenung ke atas. Aku cuba meneka ada yang berlegar di fikirannya. "BN tak punya jiwa seperti kita"!!!??
Sewaktu mula menjadi Menteri Besar, terdapat desakan yang kuat kepadanya "membersihkan" GLC dan beberapa pos strategik lantikan zaman BN dan pegawai-pegawai yang kuat berkempen untuk BN. Desakan dari banyak pihak untuk menukar pegawai, memecat, mengganti dan menekan telah ditolaknya berlapik kasih sayang.
"Kalau kita ambil tindakan pecat orang serta merta, tukar orang itu ke sana sini, saya takut kita berlaku zalim. Depa mungkin ada anak atau ibu bapa yang sakit, dengan gaji tu lah depa beli ubat dan rawat keluarga depa. Dengan duit yang depa bawa balik itulah anak depa ke sekolah, bayaq sewa rumah. Apa akan jadi kalau tiba-tiba depa hilang kerja, terpisah suami isteri anak beranak, kena tukaq. Kita marah kat depa, anak isteri depa tak salah apa-apa. Ingat! Doa orang dizalimi tiada hijab". Ada sepotong hadis yang sering diulang dalam ucapannya. "Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit". (At-Thibrani).
Namun pendiriannya ini kurang difahami, malah membuahkan penentangan dan kritikan keras. Ada tuduhan dia terlalu lembut dengan musuh dan bengis dengan kawannya sendiri. Hingga ada yang mengingatkannya tentang ayat Al-Quran (Al-Maidah:54) bersabit sikap dengan kawan dan musuh. Reaksinya ringkas. "Suruh depa mengaji bagi habih dulu tentang ayat tuu...".
Seingat saya tidak ada sesiapapun yang diberhentikan atas dasar politik, (kecuali yang berhenti sendiri), hanya ada tindakan diambil kerana kes lain mengikut undang-undang. Itupun terhadap pegawai yang dilantik di zaman PR. Ada kes seorang pegawai lantikan politik, tidak produktif agak lama. UA sering merungut dan marah bila kami berdua atau bertiga. Aku diam kerana mereka berdua pernah rapat. Dia juga mengulangi beberapa kali depan Pak Chop ( Dato' Mohd Yusof Husin). Mesyuarat tertinggi parti yang dipengerusikan UA memutuskan pegawai itu tidak disambung kontrak lagi. Tiba masanya, pegawai itu mengadapnya membawa surat mohon disambung, UA serba salah, dia luluskan juga.
Sebaik keluar pegawai itu dari biliknya, dia memanggil aku. " Aku minta maaflah kat hampa semua, aku tak dapat tunaikan keputusan mesyuarat. Aku tak sampai hati. Aku terkenangkan anak, isteri dan mak ayah dia. Aku sambung kontrak dia setahun lagi. Kalau ada sesiapa boleh tolonglah nasihat dia kerja lah elok-elok."
Disebalik sikapnya yang dikatakan terlalu tegas dan keras, tersembunyi lautan kasih sayang yang melimpah ruah. Hanya yang sabar dan memahami, tahu menilai dan menghargai, akan terasa sejuknya limpah kasihnya kepada insan lain. Kata Mat Suji seorang kawan lamanya di Chepir, Sik. UA kena mengambil sikap seperti itu kerana hatinya terlalu baik. "Kalau dia tak cengey, tak ada apa lagi untuk dirinya sendiri."
2. Hanya Jauhari Mengenal Manikam
Dalam tempoh dua minggu selepas dipindahkan dari Hospital Besar Pulau Pinang ke Alor Setar, Ustaz Azizan (UA) sentiasa segar dan ceria. Di Hospital Sultanah Bahiyah, dia mula bercakap dan mengeluarkan suara, apabila tiub saluran pernafasan dilehernya ditutup, walaupun belum ditanggalkan. Dia mula makan melalui mulut selain susu melalui tiub di saluran hidungnya.
"Sehari dua lagi ayah dah boleh pindah ke wad biasa. Wad biasa tak ada mesin hemodyalisis. Abang Sanusi pi la sembang-sembang tengok, bagitau kat Ayah pasai nak buat dyalisis ayaq tu, rawatan jenis tu doktor kata sesuai untuk ayah." Kata Muhammad Rafi'iy anaknya. Doktor mencadangkan prosedur baru rawatan untuk buah pinggang melalui dyalisis air, menggantikan dyalisis darah. Aku tak tahu istilah perubatannya, tapi itulah penjelasannya.
Teknologi baru yang memerlukan mesin khas dan airnya yang perlu dibeli, boleh dibawa ke mana sahaja, boleh dilakukan di rumah sambil berehat, makan atau membaca. Cuma ia memakan masa yang panjang, 10 jam setiap hari berbanding prosedur dyalisis darah selama 4 jam, tiga kali seminggu yang meletihkan fizikal UA. Aku tak sempat menyelesaikan tugasan ini.
Khamis 22 Ogos, Dato' Wira Dr Jamil Othman (bekas Rektor KUIN) meminta aku menunggu di hospital untuk menerima lawatan rakan lama UA dari Arab Saudi, Dato' Profesor Dr. Abdul Hamid AbuSulayman. Tokoh ternama dalam dunia pendidikan dan pemikiran Islam itu adalah bekas rektor UIAM (1989-99) sewaktu UA menjadi pensyarah sambilan di UIAM. Waktu aku sampai, Dato' Wira Syed Ismail Syed Azizan, bekas Ketua Polis Kedah yang kini menjawat Ketua Siasatan Jenayah Komersial sedang menanti untuk melawat di ruang menunggu. UA sedang menjalani prosedur medical dressing yang melibatkan sedikit ubat bius yang menjadikan dia lali.
Prof Dr. Hamid yang bertongkat tiba dengan Dato' Dr. Jamil dan beberapa orang profesor dari KUIN. Tokoh pemikir dunia Islam berusia 77 tahun itu terbang dari Riyadh, Arab Saudi untuk menziarahi UA, membawa senaskah Al-Quran dan sekotak buah kurma. Ada aura terserlah pada tokoh itu. Lama dia merenung UA yang terpejam di katil, terpancar belas kasih kesayuan di wajahnya. "Ustaz! Ini kawan Ustaz mai! Dr Abdul Hamid AbuSulayman, dari Arab Saudi." Aku mengejutkan UA. Dia membuka mata. Prof Hamid merapati katil dan membongkok merenung UA.
Prof. Dr Hamid berbicara sendirian dengan UA dalam bahasa Arab dan Inggeris. UA mengangguk dan tersenyum, kemudian memejam mata kemudian celik beberapa kali. Masih terkesan dengan ubat bius agaknya. "Saya membawa hadiah ini khas untuk kamu Ustaz Azizan, kurma ini dari ladang di Madinah. Ini Al-Quran, nanti kamu boleh membacanya. Saya doakan kamu cepat sembuh, InsyaAllah kamu akan segera pulih".
Dr Jamil bertanya beberapa perkara kepada Kak Faekah yang berdiri di sisi UA dan memberi penerangan kepada Prof Hamid. Kak Faekah memaklumkan kesan prosedur dressing dan dia belum sedar 100 peratus. Prof Hamid seperti ingin berbual panjang, tetapi kondisi UA tidak mengizinkan. "Kalau mai waktu petang sikit, tentu dia sembang macam-macam". Kata Kak Faekah.
Sebelum berlalu, Prof Hamid membongkok, mencium dahi sahabatnya itu agak lama, sambil mengusap kepala UA. "Saya berdoa kamu cepat sihat. Banyakkan bersabar dan berzikir. Perjuangan masih jauh, dunia Islam masih memerlukan khidmat kamu, kami semua merindui kamu". Kata Prof Hamid dalam bahasa Inggeris. Dia berpaling kepada Dr Jamil. " He is a great scholar, he is a graet leader. Ummah seeking a leader like him." Lebih kurang demikian kalam Inggeris pelat Arab Prof Hamid sebelum beredar mengesat lelehan air mata yang berjurai.
Kata Dr Jamil, Prof Dr Abdul Hamid sangat menyanjungi UA sejak dulu lagi, mereka kawan rapat ketika sama-sama di UIA. Dia telah lama bercadang menziarahi UA tetapi tertangguh. Walaupun bertongkat, digagahi juga terbang untuk menziarahi sahabatnya yang terlantar.
Beberapa hari kemudian, aku cuba mencari siapakah tokoh yang begitu menghormati UA itu di internet. Aku menemuinya di laman The Global Muslim Brotherhood Daily Report (globalmbreport) dan beberapa laman catatan lain. Laman islamicscholar.blogspot.com menulis tentang Prof Dr. Abdul Hamid, antaranya seperti berikut.
He is also known as the introducer of a knowledge movement named "Islamization of Knowledge".... He was the Secretary General of the World Assembly of Muslim Youth (WAMY) for seven years (1973-79) and the Chairman of Department of Political Science at King Saud University, Riyadh, Saudi Arabia, for two years (1982 -84).
Dr. Abu Sulayman is the founding member of The Association of Muslim Social Scientists (AMSS, 1972), and its former President (1985-87). Presently he is the Rector of the International Islamic University (IIU), Malaysia and Chairman of the Board, trustee, former president, and founding member of the International Institute of Islamic Thought (IIIT).
Pada pertengahan tahun 2008, Dalam suatu perbualan, aku hampir lemas dengan asakan dan kritikan seorang sahabat yang aku kira mewakili alirannya, tentang sikap, tindakan dan pendekatan UA sebagai Menteri Besar. Banyak yang dinilai negatif. Akhirnya aku memberikan jawapan spontan. "Aku sudah banyak menjawab argument yang hang bangkitkan, aku minta maaf kalau tak mampu bagi seketoi jawapan untuk hang puas hati malam ni. Jawapan akhir aku untuk hang simpan...Hang akan memahami dan reti menghargai apa yang UA buat sebagai MB Kedah daripada PAS yang pertama, selepas dia sudah tak dak lagi (mati), hang kena tunggulah waktu itu". Jawapan tertangguh utnuk 5 tahun...
Aku berdoa sahabat itu sudah mendapat jawapan yang memuaskan hatinya, apabila dia membuka mata hatinya di petang yang redup dan sayu, pada tanggal 26 September 2013. Kata pepatah, 'Hanya Jauhari Mengenal Manikam'. |
|
1 comment:
sedeynyer dgr crita nih...br tau pkara sebenar...betapa hebatnya kasih syg dan pengorbanan beliau kpd rakyat kedah slama ni..huhu. mg beliau ditempatkan di jannah kelah...ameeennnn
Post a Comment