Tuesday, October 8, 2013

DAP gesa Kampung Kepayang dijadikan kampung warisan

memo

IPOH, 8 Oktober: DAP menggesa kerajaan menaikkan taraf Kampung Kepayang Fair Park yang berusia lebih 100 tahun sebagai Kampung Warisan sekali gus menyelamatkan tanah kampung itu daripada diancam pembangunan dan menjadi satu lagi produk pelancongan negeri.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, kampung Melayu yang dibuka akhir abad ke-18 itu harus dipertahan kerana mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan unik.

katanya, pada masa sama kampung itu harus kekal sebagai satu-satunya kampung Melayu tradisional di tengah bandaraya Ipoh.

Kulasegaran"Ini adalah antara kawasan kampung Melayu tradisional yang masih didiami. Kalau kerajaan biarkan, kita khuatir lama kelamaan tanah kampung ini dibeli pihak berkepentingan dan perlahan-lahan kampung ini mengecil dan hilang.

"Sebab itu amat penting ia dinaiktaraf kepada Kampung Warisan pada masa yang sama mewujudkan satu produk pelancongan di sini," kata beliau.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut mempertikaikan sikap kerajaan yang kelihatan mempedulikan kepada survival kampung itu.

"Adakah mungkin atas sebab kampung ini berada dalam kawasan pembangkang jadi mereka buat tidak kisah?

"Kita tidak nafikan kerajaan ada bagi peruntukan. Itu tidak memadai, Kampung Kepayang ini harus diiktiraf sebagai Kampung Warisan, kena wujudkan daya tarik seperti mini muzium atau galeri yang menceritakan sejarah kampung ini, produk industri kecil desa dan sebagainya," katanya.

Kulasegaran menambah, sebuah gua iaitu gua Mat Sirat yang terletak di bahagian hujung kampung juga boleh dijadikan produk pelancongan yang amat menarik.

"Kampung ini mempunyai pemandangan desa yang cantik. Kita harus pertahankan keberadaan dan survival kampung ini," ujar beliau.

Pada Ogos lalu, satu memorandum penduduk Kampung Kepayang Fair Park telah dihantar kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menggesa kerajaan negeri mengambil inisiatif mempertahan kampung mereka daripada diancam pemaju dan beberapa isu berbangkit seperti kutipan sampah, jalan dan sebagainya.

Memorandum itu turut menyatakan kesal di atas peminggiran kampung itu seolah-olah tidak dipedulikan walaupun majoriti penduduknya adalah Melayu.-Roketkini.com

No comments:

Followers