Friday, September 13, 2013

"Kami kuat, yang lain teruskan perjuangan"

KUALA KANGSAR: "Kami bersama perjuangan Dr Morsi serta seluruh pejuang Islam diseluruh negara dan Malaysia. Kami kuat dan yang lain diluar teruskan perjuangan," demikian pesanan ringkas Bad Latif.

Beliau adalah salah seorang daripada 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik di Perak yang dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari.ini.

Kata-kata itu dinyatakan beliau ketika dihubungi oleh isterinya Nashita Md Noor.

Mengulas tentang keputusan mahkanmah itu, Nashita berkata, beliau dan suami memang difahamkan kes tersebut agak berat kerana berkait dengan institusi diraja.

Namun katanya, di dalam perbicaraan kes itu, pihak tertuduh telah mengemukakan hujah serta bukti yang kukuh berbentuk rakaman video dan gambar bagi menjadikan rujukan dalam menentukan hukuman.

"Suami saya ditahan ketika mengambil gambar dan ketika ditahan, kamera masih berada tergantung di bahunya.

"Jadi kita sudah bagi bukti, mereka bukan membuat rusuhan bahkan daripada bukti-bukti rakaman dan gambar yang kami kemukakan, mereka ini membantu menyekat pihak-pihak yang ingin membuat provokasi.

"Jadi kita harap hakim pertimbangkan daripada bukti, keterangan tertuduh serta saksi tetapi beliau tidak sangka hakim menjatuhkan hukuman mandatori," katanya ketika ditemui Harakahdaily di perkarangan mahkamah.

Beliau terkejut hakim memutuskan semua tertuduh tidak boleh dibuat rayuan dan penangguhan hukuman kerana ianya tidak pernah berlaku di negara ini dalam kes berkaitan.

"Saya tak sangka, mereka terus digari dan dibawa ke penjara sekarang juga," jelasnya lagi.

Biarpun berdepan dugaan suaminya dipenjara, Nashita berkata beliau cuba kuat untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak selepas ini.

Ujarnya, telefon bimbitnya tidak putus-putus dihubungi oleh pelbagai pihak bagi menyatakan sokongan dan dorongan kepadanya.

"Ramai yang menghubungi saya dan bertanya nak beri bantuan macam mana dan dari segi mana, ini memberikan semangat kepada saya.

"Sebelum ini saya banyak membantu keluarga mangsa tahanan ISA yang lebih berat hukumannya. 

"Saya yakin saya boleh lakukan, saya seorang wanita yang kuat!," tegas beliau yang juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI).

- HarakahDaily

No comments:

Followers