Sunday, September 1, 2013

Genap setahun Apak pergi

Pagi ini, 1 September mengimbau kembali kenangan pahit setahun yang lalu.

Tatkala peluh membasahi badan ketika sedang memasang rak buku yang kedua untuk bilik anak-anak, deringan telefon yang menerjah seakan menghentikan segala-galanya tika itu. Suara mak yang cemas membuatkan hati ini berdebar dengan kencang.

"Apak kamu..." kata-kata mak itu membuatkan fikiranku mula berlegar memikir tentang Apak. Harap-harap tiada apa-apa yang tidak baik berlaku kepada Apak.

"Ada orang datang rumah bagitau Apak kamu pengsan di kedai motor Gunung Rapat tu" sambung mak. "Tadi dia keluar rumah bawak pam sebab tayar motor dia pecah, tak taulah sampai mana dia pam tayar lepas tu naik pergi ke kedai motor. Orang ni kata depa dah telefon ambulan, jom kita terus ke hospital je lah" kata mak lagi.

Rak buku yang separuh siap itu kutinggalkan untuk bergegas bersiap. Ambik mak di Maju Rapat, meluncur laju menuju ke hospital. "Di hospital nanti, Apak dah sedarlah tu dari pengsannya, bolehlah dibawa balik setelah bagi dia berehat secukupnya di sana," getus hatiku. 

Dalam hati, dua perasaan sedang berperang, sangkaan sesuatu yang buruk berlaku kepada Apak sedang ditenangkan oleh perasaan yang mengharapkan Apak tidak apa-apa.

Emak bercerita tentang Apak yang pagi tu keluar menghantar adik bekerja....cerita selebihnya antara dengar dengan tidak akibat peperangan perasaan dalam hati.

Sebelum tiba di bawah flyover Jalan Gopeng, adik menelefon memberitahu yang Apak dah tiada. Dalam esak tangisnya, berkata yang mayat Apak masih di kedai motor. Ambulan yang mengesahkan Apak telah meninggal menyerahkan urusan itu kepada pihak polis kerana meninggal di tempat awam.

Setiba disana, orang telah ramai berkerumun. Lemah kaki ini melangkah, berat rasanya nak melihat apa yang dikatakan adik  benar-benar berlaku. 

Tubuh Apak telah terbaring kaku diatas lantai kedai motor Cina itu hanya berlapikkan kotak minyak enjin motor sahaja. Ditutup dengan surat khabar Cina bahagian atas tubuhnya. Terjelepuk mak menangis disisi mayat Apak. 

Perlahan-lahan aku mendekati. Ramai sekeliling yang meminta aku bersabar, entah siapa aku pun dah tak ingat kerana tika itu tumpuanku hanya satu, Apak. 

Kubuka helaian surat khabar itu perlahan, menatap kenyataan. Wajah Apak kutenung tepat. Seolah sedang tidur lagaknya. Bunyi sekeliling seperti tenggelam apabila kuperiksa nadi Apak ditengkuk dan pergelangan tangannya. Masih berharap dengan berita pertama yang sampai, Apak pengsan. 

Sambil beristighfar, aku menelan segala harapan. Kenyataan kugamit mendekati. Apak telah pergi, bisik hati. 

Saat itu juga sedih dan tangis ku usir jauh-jauh. Tunggu dulu sehingga ku jemput pulang. Aku perlu tunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung dan lelaki tunggal. Urusan jenazah Apak perlu disegerakan menurut sepertimana yang dituntut, sepertimana yang diajar ustaz, sepertimana ilmu yang kudapat daripada buku-buku yang diramas sebelum ini. 

Baju kemeja lengan pendek yang berlumuran peluh, ku kancingkan butangnya kembali, satu persatu. Mungkin dibuka semasa pihak hospital yang datang bersama ambulan memeriksa Apak tadi. Kukemaskan bajunya, perbetulkan kolarnya.

Sementara menantikan ketibaan pihak polis, kedua tangan  Apak kuikat dengan saputanganku biar kemas diatas perutnya. 

Adikku tiba, bertambahlah sayu dan hiba. Wajah Apak ditutup dengan selendangnya. Merayu-rayu agar Apak dibawa balik dengan segera. 

Aku yang masih tergamam dihempap sengsara, mula membuka mata melihat sekeliling. Haji Mat menjadi perhatianku. Meminta beliau tolong uruskan menghubungi Ustaz Bakar untuk penyediaan urusan mandi dan solat jenazah nanti. Tiada siapa pun yang terbit difikiran untuk dihubungi, termasuklah isteri. Kejutan ini membuatkan akal fikiran menjadi statik, kurang berfungsi dan sunyi. Hanya facebook menjadi medan untuk kukhabarkan kepada dunia, yang Apak telah tiada.

Pihak polis yang tiba menyoal beberapa soalan berkaitan dengan Apak. Umurnya, penyakitnya dan juga kebiasaannya. Jenuh dirayu adik agar Apak dibenarkan dibawa balik. Tetapi, prosedur tetap prosedur. Meninggal ditempat awam perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Pelbagai alasan diberi namun keputusaanya tetap sama, ke hospital tanpa panjang bicara. 

Apak dibawa dengan trak polis ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Alhamdulillah, setelah diadakan rundingan, doktor yang bertugas bersetuju untuk tidak mengadakan post-mortem terhadap Apak. 

Pengurusan mandi dan kafan juga ditawarkan untuk diadakan di rumah mayat hospital. Emak dihubungi untuk meminta kebenaran. Mana yang elok sajalah, kata mak.

Apak dimandikan oleh petugas disana dengan dibantu oleh aku dan adik ipar. Seluruh tubuh dan wajah Apak nampak lain, kendur dikulitnya kini tegang. Kembali muda rasanya.


Setelah siap dimandi dan dikafan, Apak dibawa ke rumah dengan van jenazah hospital. Aku pulang kerumah sebentar untuk menyalin pakaian dan mengambil anak dan isteri. Anak sulungku mengikut maksunya mendaftar di UITM Penang. Dalam perjalanan pulang ke Ipoh ketika ini.

Ramai rakan-rakan Apak yang tiada, berurusan di luar. Memang hari itu ramai yang menghadiri majlis perkahwinan dan sebagainya diluar Ipoh. Mungkin takdirnya begitu, rakan-rakan yang selalu dicarinya tidak berkesempatan mengucapkan selamat tinggal buatnya.

Ketika itu, jam telah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Jenazah Apak telah siap berkafan ditengah rumah. Cadangan awalnya mahu dikebumikan selepas solat Zohor. Tetapi mak minta sangat untuk menunggu adik bongsu yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan. Dia berpesan untuk menunggu sehingga dia sampai. 

Selepas zohor, ku bacakan surah Yasin buat Apak. Kesian dia terpaksa menunggu. 

Setelah adikku tiba jam 3.40 petang, sedih mahu kembali menetap di dalam hati. Ku usir lagi. Tugasku belum selesai, hiba dan tangis perlu ditangguh lagi. Kini perlu bersiap untuk dibawa Apak ke Masjid Kg Melayu untuk solat jenazah. Lepas Asar, Apak akan ku kebumikan.


Di dalam van jenazah, cuma aku dan Chu (adik lelaki Apak) yang mengiringinya. Kesian kulihat Chu menangis mengenangkan abangnya, Apak baik orangnya kata Chu. 

Tanah Perkuburan Islam Rapat Jaya tempat persemadian terakhir Apak di atas muka bumi ini. Petang itu Apak akan berpindah ke alam Barzakh yang gelap gelita lagi sunyi.

Kusambut tubuh Apak di dalam liang lahat. Perlahan-lahan kuletakkan ke 'rumah' baru Apak. Setakat inilah saja khidmat zahirku buat Apak. Khidmat batin akan ku teruskan dengan mengirim doa padanya di sana setiap hari.

Aku perasan ramai yang memerhatikanku, mungkin tertanya-tanya mengapa wajahku tidak menunjukkan sugul, tiada riak sedih mengiringi talkin yang dibaca imam. Mereka tidak tahu, tidak faham yang sedihku telah ku halau jauh. Tiada di sini, dalam hati ini. Semuanya perlu tangguh, uruskan Apak dulu.



 

Setelah semuanya selesai, esoknya rasa sedih kembali mendiami hati. Terjaga dari tidur, aku menangis semahu-mahunya. Rindukan Apak memeluk kuat diriku. Isteri hanya mampu memandang dari jauh, memahami apa yang sedang dialami suaminya ini. 

Petang Sabtu itu selepas Asar, sepatutnya aku adakan makan-makan dirumah. Apak dan mak akan aku ambil bawa ke rumah, jamu mereka. Tak sangka, ianya bertukar dengan aku mengebumikan Apak pula. 

Teringat mak kata, petang Jumaat sehari sebelum tu, Apak ada tanya mak, "petang ni ke makan-makan di rumah Joi?" "Petang esok", balas mak. Lama Apak memandang keluar rumah lepas itu, kata mak.

Aku ke kedai motor tempat Apak meninggal tu untuk ambil motornya. Bertanya pada Cina tu, macam mana ceritanya semalam. Katanya Apak sampai ke kedai tu dengan menolak motor, tayar pecah katanya. Dengan baju yang basah lenjun dengan peluh, Apak pun duduk di kerusi situ. Sambil dia membuka tayar untuk ditampung, Apak bersembang seperti biasa, bertanyakan itu ini. Tentang perayaan Cina untuk orang-orang mati yang sedang berlangsung ketika itu dan bermacam-macam lagi. Sambil bersembang itu, Apak terdiam katanya, seperti tidur. Dia cuba gerak Apak dengan memanggil-manggil 'Apek' beberapa kali. 

Setelah dilihat badan Apak perlahan-lahan menggelungsur menerusi kerusi sehingga terduduk di lantai, barulah Cina itu merasakan sesuatu yang tidak kena. Segera dia berlari ke kedai sebelah mendapatkan seorang perempuan Melayu untuk meminta bantuan. Menyangkakan Apak pengsan, ambulan dihubungi. 

Seorang perempuan Melayu disitu mengambil dompet Apak untuk mendapatkan alamat, lalu bermotor dia mencari rumah. Mak diberitahu oleh perempuan itu lalu menelefon aku.


Kini, setahun telah berlalu kejadian itu. Kenangannya tetap kuat diingatan.

Tarikh 1 September kembali lagi. Setahun yang lalu, hari yang sepatutnya kubawa Apak kerumah ku untuk menjamu selera, telah bertukar dengan aku membawanya ketanah kubur untuk bersemadi di sana. 

Apak, abang rindu sangat pada Apak. Moga Apak tenang di sana sementara menanti masa kita bersua semula.



1 comment:

remba@pjs said...

Saya dapat rasakan kesedihan awak dalam tulisan tersebut. Apa pun kita harus bersabar dan suatu hari nanti kita juga akan mengikuti arwah ,kembali kepada Allah SWT. Wassalam.

Followers