Sunday, September 15, 2013

13 Tahanan Kudeta: Dibebaskan atau direhatkan


13 tahanan kudeta yang dipenjarakan selama 2 tahun di Penjara Tapah kini menjalani kehidupan yang berbeza. Bukan saja rutin seharian, malah rupa paras juga kini berbeza.

Cikgu Khairul yang kita semua kenali dengan imej rambut dan janggut yang panjang, kini telah botak ditarah penjara. Namun begitu, ketawanya masih deras, selorohnya masih keras. Jasadnya saja yang terpenjara tetapi jiwa batinnya tetap sama. Cuma, satu yang diketagihkannya. Rokok. 

Tahanan yang lain juga sama. Kebebasan pergerakan mereka dibatas, tetapi tidak pemikiran dan semangat juang yang telah sedia ada. 

Sedikit perkhabaran gembira buat mereka yang ditahan secara bersama di sana. Pada hari Selasa ini, 17 September, pasukan peguambela yang mewakili mereka akan membuat permohonan semakan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar yang tidak membenarkan penangguhan hukuman ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Terlihat sedikit cahaya harapan buat mereka dan keluarga. Tetapi seperti biasa, permainan undang-undang ini agak meletihkan. Keputusannya tidak menentu.

Jika diperkenankan Allah Taala, mungkin mereka dibebaskan sehingga menunggu rayuan yang dibuat. 

Jika tidak, dan keputusan itu dikekalkan, anggaplah saja 13 pejuang menentang rampasan kuasa dinegeri Perak ini direhatkan Allah Taala selama 2 tahun di sana.

Lelah mereka dahulu yang menjalani kehidupan dan perjuangan jemaah, akan dicas semula tenaga dan spiritual mereka selama mana 'berehat' di dalam tahanan. Dan keluarnya mereka nanti, akan menjadi insan yang baru. Baru dengan tenaga dan semangat perjuangan yang berganda.

Harapan kita semua dan tentunya ahli keluarga agar 13 pejuang ini akan dikembalikan kepada khalayak kerana sememangnya mereka tidak layak untuk berada di zon merah tahanan. 

Panjatkan doa dan panjangkan sujud, semoga mereka kembali di dalam jemaah meneruskan perjuangan. 


Diharapkan agar Ketua Penumbang Lembu untuk Majlis Qurban Surau Al-Ehsan dapat bersama kita lagi tahun ini. 

No comments:

Followers