Tuesday, December 21, 2010

Mufti Perak dicabar isu ancak

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilihat sering mengeluarkan 'fatwa' mengikut keadaan dan kedudukan.

Fatwanya juga jelas berbeza mengikut isu semasa, fahaman dan ideologi seseorang. Rujukan entah kemana, syarie atau tidak, lain cerita.

Menghukum mengikut telunjuk tuan empunya jawatan lebih diutamakan berbanding mengikut hukum tuan empunya nyawa.

Kes ancak yang dilakukan Zambry baru-baru ini menjadi perdebatan hangat kerana rata-rata ramai yang tahu bahawa perbuatan itu syirik, telah lama ditinggalkan.

Namun, oleh kerana ianya dilakukan oleh tuan kepada mufti, hukum diterbalikkan dan menambahkan kekeliruan rakyat. Nak diikut, syirik. Nak ditolak, eh kan ke dia tu MUFTI.

Dato Seri Nizar mencabar 'fatwa' Harussani yang mengatakan perbuatan ancak tidak khurafat.

Mungkin cabaran itu untuk menghalang agar setiap kawasan perumahan baru di negeri Perak ini perlu dilakukan acara ancak sepertimana yang dilakukan oleh Menteri Besar Umno dan disahkan 'halal' oleh Mufti Perak.

Ancak: Nizar cabar 'fatwa' Harussani

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (gambar) mencabar penjelasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini, yang tetap mempertahan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam isu ancak sebagai tidak khurafat.

Nizar yang juga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat negeri itu berkata, penjelasan yang dibuat Harussani itu tidak lebih dari menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Yang saya bangkitkan dalam sidang Dun baru-baru ini ialah saya menuntut penjelasan mufti sama ada upacara yang dilakukan Zambry itu syarie atau tidak.

"Tak kisah la letak ancak ke (kiri), renjis tepung tawar ke, yang penting syarie atau tidak," katanya kepada Harakahdaily semasa dihubungi, hari ini.

Biarpun dipertikai banyak pihak, Harussani seperti dilapor sebuah akhbar hari ini, bertegas bahawa tindakan Menteri Besar BN Perak itu, termasuk merenjis dan menepung tawar dalam upacara memasang ancak tiang seri baru-baru ini adalah amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak.

Penjelasan terbaru itu dibuat Hasrussani selepas Nizar yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

"Semasa saya bangkitkan dalam sidang Dun itu, Zambry cuba alih isu kata saya tuduh dia pasang ancak, sedangkan kata dia, dia hanya tepung tawar.

"Saya nak tahu syarie ke tidak, dan kenapa lebih dua bulan baru mufti nak bersuara, dan mengatakan tidak khurafat?" soalnya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa amalan meletakkan ancak tersebut adalah khurafat, bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah si pelakunya.

Isu tersebut juga telah panjangkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak kepada Sultan Perak, selaku ketua agama negeri.

Biarpun banyak pihak berpendirian sama, namun hanya Harussani setakat ini dilihat lantang mempertahan tindakan Zambry itu.

Nizar sebelum ini turut mempertikai tindakan Harussani yang dilihat cepat menghukumkan 'haram' kepadanya dan Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim kerana berada di majlis nyalaan lilin sebagai memprotes ketidakadilan dalam kes kematian pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Lebih malang kata Nizar, tindakan menghukum yang dibuat Harussani itu tanpa mendengar penjelasan dari mereka berdua dahulu.

Berbeza dalam kes Zambry, Harussani katanya dilihat seperti terdesak dalam mengeluarkan 'fatwa'nya sehingga memanggil dan mendengar penjelasan Menteri Besar Perak itu.

Namun menurutnya, hasilnya adalah seperti dijangkakan, iaitu perbuatan Zambry itu 'dihalalkan' oleh Harussani.

Tindakan Harussani itu, katanya lagi bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

"Saya waktu isu nyala lilin itu, bukan menteri besar lagi pun.

"Tapi kes Zambry ini kesannya sangat besar sebab dia exco agama, menteri besar lagi, ada doktor falsafah yang didakwa dalam bidang agama dan juga ada penasihat agama.

"Lebih bahaya, perbuatan dia itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat," katanya.

Selain itu, Nizar juga mahu Harussani menyatakan pendirian berhubung isu Zambry membenarkan bomoh mengasapkan kemenyan di dalam dewan persidangan Dun yang pernah dibangkitkan oleh Khalil Idham.

Khalil Idham kini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan ekoran membangkitkan perkara itu.

- harakahdaily

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...