Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kaedah penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah memandangkan ia tidak sesuai dengan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda. “Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar ASEAN (ASEP) 2008 di Sekolah Sultan Alam Shah di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini memaparkan penggunaan klip video ’Sajak Kematian’ di sekolah, yang antara lain memaparkan babak seksaan kubur selepas jenazah dikebumikan. Penggunaan klip video ini menimbulkan bantahan daripada sebilangan ibu bapa kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah apabila klip video itu turut memaparkan gambaran yang berlaku di alam ghaib.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata kadar yuran pada penggal persekolahan tahun depan dijamin tidak akan menimbulkan sebarang masalah, sebagaimana yang berlaku pada penggal persekolahan lalu.
Sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh beliau sendiri akan meneliti semua perkara berkaitan penggal persekolahan baru tahun depan termasuk isu yuran, jadual waktu dan perkara berkaitan yang diumumkan kelak. “Saya yakin tidak akan timbul masalah dan yuran tambahan, ia bukan suatu yang wajib sebaliknya ada kaitan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). “Sebelum ini yang timbul adalah berpunca daripada salah tanggapan dan kita sudah berbincang dan menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya. - Bernama
Ajijoi - Kita lihat dulu bagaimana video 'Sajak Kematian' yang menjadi isu hangat kini akibat manusia-manusia yang tidak boleh terima sesuatu yang mengajak kepada kebaikan untuk disebarkan kepada orang ramai. Jika video ini mengandungi unsur-unsur maksiat ataupun pakaian yang menjolok mata sepertimana yang ditayangkan oleh siaran televisyen di negara kita sekarang ini, barulah mereka merasa senang hati untuk tatapan anak-anak kita.
Isi kandungan sajak kematian ini pada saya hanyalah perkara biasa yang kita biasa belajar sejak dari kecil lagi dan saya tidak nampak adanya kesan yang buruk seandainya ditayangkan kepada kanak-kanak yang berumur 7-8 tahun. Malah saya rasa kanak-kanak 4-6 tahun yang belajar di Pasti juga telah diajarkan perkara-perkara tentang kematian dan azab kubur ini bagi memberi kesedaran akan akibatnya melanggar perintah Tuhan.
Bagi mereka-mereka yang menentang, mungkin sajak ini kena tepat kepada mereka yang membuatkan mereka merasa ketakutan ataupun mereka-mereka ini cuba menidakkan akan azab kubur dan mereka juga belum mahu mati lagi. Mahu hidup seribu tahun lagi agaknya.
No comments:
Post a Comment