Pemuda keturunan Afrika-Amerika yang pernah terjebak dalam ‘lorong gelap’ dan datang daripada keluarga yang berpecah-belah, Obama akhirnya membuktikan bahawa perbezaan warna kulit bukan satu halangan untuk menjadi Presiden AS.
KETUA Setiausaha Kabinet Jepun, Nobutaka Machimura pernah berkata, Barack Obama tidak akan memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana beliau berkulit hitam.
Menurutnya, beliau percaya majoriti rakyat AS bersikap sangat konservatif dan tidak akan menerima Obama.
Namun, sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan), Machimura terpaksa menelan kata-katanya itu. Lelaki yang bernama Barack Hussein Obama Jr., merobohkan sentimen perkauman yang masih menebal di kalangan masyarakat AS.
STANLEY (kanan) dan Madelyn antara pendorong kejayaan Obama.
Calon Parti Demokrat itu membuktikan warna kulit bukan lagi penghalang kepada sesiapa untuk mencapai kejayaan.
Lebih manis, lelaki yang dianggap mentah dalam dunia politik kerana usianya baru menginjak umur 47 tahun, turut membuktikan betapa masyarakat AS juga semakin terbuka dalam melihat status agama.
DALAM pelukan ibunya sebelum Obama diserahkan kepada datuk dan nenek.
Semalam selepas apa yang disifatkan pertembungan paling menarik dalam sejarah pilihan raya AS, Obama dinobatkan sebagai Presiden Kulit Hitam Pertama AS apabila berjaya menewaskan calon Parti Republikan, John McCain.
Lebih manis lagi, Obama mendapat kemenangan itu dengan penuh bergaya apabila kiraan undi Badan Perwakilan Pemilih (undian elektoral) setakat pukul 7 malam tadi (waktu tempatan) mendapati beliau memperoleh 349 undi lebih sekali ganda meninggalkan McCain yang sekadar mengutip 147 undi.
Namun, perkataan 'lelaki kulit hitam pertama' sebenarnya bukanlah asing untuk lelaki yang menjadi adikuasa baru negara paling berpengaruh di dunia itu. Obama adalah antara pelajar lelaki paling menonjol semasa zaman pengajiannya di Universiti Harvard.
RAKAMAN foto perkahwinan Obama dan Michelle pada tahun 1992.
Ketika itu kecemerlangan Obama menyebabkan beliau dipilih sebagai Presiden Harvard Law Review, jurnal rasmi bagi pelajar Undang-undang Harvard. Obama adalah pelajar kulit hitam pertama dipilih memegang jawatan itu sepanjang lebih 300 tahun penubuhan universiti tersebut.
Namun, apa yang dikecapi oleh Obama bukanlah datang bergolek. Lelaki biasa yang mempunyai ketinggian 1.87 meter itu bukanlah datang daripada keluarga bangsawan, politik, ahli perniagaan mahupun jutawan AS.
Malah, hidupnya juga pernah terumbang-ambing seperti kebanyakan pemuda Afrika-Amerika lain.
Obama sebenarnya adalah lelaki yang dilahirkan hasil penyatuan cinta dua benua. Dilahirkan di Pusat Perubatan Kapi'olani Wanita dan Kanak-kanak di Honolulu, Hawaii, beliau adalah anak kepada lelaki Islam dari Kogelo, Wilayah Nyanza, Kenya, Barack Hussein Obama Sr. dan wanita kulit putih dari Wichita, Kansas, Ann Dunham.
KELUARGA paling berpengaruh di AS. Dari kiri: Obama, Sasha, Malia dan Michelle.
Kedua-duanya bertemu sewaktu belajar di Universiti Hawaii di Manoa, ayahnya merupakan pelajar luar negara. Bagaimanapun, sewaktu Obama berusia dua tahun, ibu bapanya bercerai.
Bapanya kemudian pulang ke Kenya.
Obama Sr. hanya berjumpa Obama Jr. sekali selepas itu sebelum meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1982.
Beberapa tahun selepas itu, Dunham berkahwin untuk kali kedua dan sekali lagi dengan lelaki Islam, Lolo Soetoro dari Indonesia. Obama mengikut ibu dan bapa tirinya tinggal di Indonesia pada tahun 1967.
OBAMA bersama datuk, Stanley (dari kiri), ibu dan adik tirinya, Maya Soetoro.
Pada usia 6 tahun, Obama dihantar ke sekolah tempatan dan tidak ketinggalan menerima pendidikan Islam. Bagaimanapun, di Jakarta, Obama turut menerima pendidikan di sekolah Katolik.
Pada usia 10 tahun, Obama dihantar pulang ke Honolulu untuk tinggal bersama datuk dan neneknya sambil bersekolah di Sekolah Punahou sehingga tamat sekolah tinggi pada tahun 1979.
Dunham kembali ke Hawaii pada tahun 1972 untuk beberapa tahun sebelum pulang semula ke Indonesia untuk menghabiskan kerja lapangan kedoktoran. Bagaimanapun, Dunham meninggal dunia pada tahun 1995.
Menempuh alam remaja, Obama menyifatkan ia merupakan antara fasa kegagalan dan paling pahit dalam hidupnya.
"Saya pernah terlibat dengan marijuana, kokain dan alkohol. Ia adalah kegagalan moral paling buruk dalam hidup saya," ujarnya dalam ucapan satu Forum Sivil baru-baru ini.
DARI kiri: Bapa tiri Obama; Lolo Soetoro, ibu, adik tiri; Maya Soetoro dan Obama ketika di Jakarta, Indonesia.
Terselamat daripada terjebak dalam 'lorong gelap' seperti kebanyakan pemuda Afrika-Amerika yang datang daripada keluarga pecah-belah, Obama yang dibimbing datuk dan neneknya berjaya menyambung pengajian di Occidental College di Los Angeles.
Lantaran itu, bukanlah menghairankan, air mata seorang pemimpin sejati dunia ini akhirnya tumpah tatkala neneknya, Madelyn Payne Dunham meninggal dunia dua hari sahaja lagi sebelum beliau dinobatkan sebagai Presiden AS.
"Mendiang adalah sebahagian daripada wira yang kita miliki di negara ini iaitu mereka yang bekerja keras untuk masa depan keluarganya," ujar Obama menggambarkan jasa wanita itu.
Selepas tamat kolej, Obama belajar ke Columbia University di New York dengan major dalam bidang Sains Politik dan pengkhususan dalam Hubungan Antarbangsa. Tamat pengajian dari Columbia, lelaki yang mempunyai beberapa gelaran sejak kecil hingga zaman universiti seperti Barry, Bama, Rock dan The One mula bekerja di Business International Corporation selama setahun dan Kumpulan Penyelidik Minat Awam New York.
Selepas empat tahun di New York, lelaki ini berpindah ke Chicago dan ditawarkan dengan jawatan baru sebagai Pengarah Projek Pembangunan Komuniti iaitu sebuah komuniti berasaskan gereja.
Di situlah sebenarnya pada usia lewat 20-an, Obama mendekati agama Kristian. Ketika nama Obama melonjak sejak pertengahan tahun lalu sewaktu mencabar bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton, ramai warga dunia tertanya berhubung status agama beliau terutamanya perkataan Hussein pada pertengahan namanya.
Dalam buku tulisannya, In The Audacity of Hope, Obama memberitahu, beliau tidak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menekankan tentang keagamaan.
Obama menggambarkan ibunya sebagai tidak mengamalkan ajaran Methodist dan Baptist; ayahnya, ateis (tidak percaya kewujudan Tuhan) manakala ayah tirinya, melihat agama itu sesuatu yang tidak penting.
"Semasa saya bekerja dengan komuniti gereja saya melihat kuasa agama untuk menggubah sosial manusia terutamanya Afrika-Amerika," katanya yang gemar bermain bola keranjang dan daun terup.
Mengimbau hidupnya bergelar raja dalam hati seorang wanita, Obama berkongsi hidup dengan Michelle Robinson pada tahun 1992. Michelle yang kini memegang status Wanita Pertama AS itu, ditemui Obama sewaktu bertugas bersama di sebuah firma undang-undang di Chicago.
Pasangan itu dikurniakan dua puteri iaitu Malia Ann, 10 dan Natasha, 7. Pada Disember 2007, majalah Money menganggarkan keluarga Obama mempunyai pendapatan AS$4.2 juta, berbanding AS$1 juta 2006 dan AS$1.6 juta 2005. Bagaimanapun kebanyakan hasil itu datang daripada jualan buku yang melonjak di pasaran selepas beliau bertanding untuk kerusi Presiden Demokrat.
Yang pasti, kemenangan Obama sememangnya disambut penuh kegembiraan, keterujaan dan debaran seluruh penduduk dunia. Gembira kerana tumbangnya era Bush, teruja kerana kejayaan seorang lelaki kulit hitam biasa menjadi presiden dan debar apakah dasar terbaru lelaki itu.
Dengan slogan pilihan raya, Perubahan (Change), mampukah Obama mengubah dasar hubungan luar AS dengan negara lain terutamanya negara-negara Islam?
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment