Sunday, November 9, 2008

3 pengebom Bali jalani hukuman mati ditembak




JENAZAH Imam Samudra, 38, dibawa ke Serang, Banten pagi tadi. Tengah malam tadi dia bersama Amrozi Nurhasyim, 47, dan Ali Ghufron, 48, menjalani hukuman mati ditembak setelah didapati bersalah terlibat dalam kejadian pengeboman di Bali enam tahun lalu. - foto AP

CILACAP, Indonesia: Tiga pengebom Bali, yang didapati bersalah menyebabkan kematian 202 orang dalam letupan di kawasan peranginan Bali enam tahun lalu, menjalani hukuman mati ditembak tengah malam tadi.

Ribuan menyertai upacara pengebumian ketiga-tiga militan tersebut, termasuk pemimpin agama Abu Bakar Bashir.

Hukuman ke atas Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan adiknya Ali Ghufron telah dilaksanakan tengah malam tadi, beberapa kilometer dari penjara yang dikawal ketat di pulau Nusakambangan.

"Sekitar pukul 12.15 tengah malam tadi (waktu tempatan) (1.15 pagi waktu Malaysia) ketiga-tiga mereka yang didapati bersalah iaitu Imam, Amrozi dan Ali menjalani hukuman mati dengan ditembak oleh pasukan penembak," kata jurucakap Jabatan Peguam Negara, Jasman Panjaitan.

"Hasil bedah siasat menunjukkan ketiga-tiga mereka sudah meninggal dunia," katanya.



PENYOKONG tiga pengebom Bali berkabung dengan memegang gambar mereka selepas mendengar berita hukuman mati ditembak dilaksanakan oleh pihak berkuasa tengah malam tadi. - foto AP


Jabatan Peguam Negara dijadual mengadakan sidang akhbar untuk memberi butiran lanjut.

Qadar Faisal, salah seorang peguam mereka berkata, jenazah ketiga-tiga mereka telah dibawa dengan helikopter ke kampung mereka untuk tujuan pengebumian hari ini.

Jenazah adik-beradik Ali dan Amrozi dibawa ke Lamongan di Jawa Timur manakala Imam pula ke Serang di Jawa Barat.

Zakiah Darajad, isteri kepada Imam, dalam surat terbuka yang dibacakan oleh seorang saudara pada sidang akhbar di Serang berkata:

"(Saya) berharap Allah akan memberikan yang terbaik kepada mereka dan yang terburuk kepada mereka yang menyebabkan layanan buruk ke atas mereka," katanya.

BERNAMA

No comments:

Followers