Pagi tadi mendapat berita yang YDP Pas Gopeng, Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff telah diserang sakit jantung tengah malam tadi dirumah beliau.
Kini beliau ditempatkan di wad ICU Hospital Pantai Puteri, Ipoh setelah menjalani rawatan angiogram sebaik tiba di hospital semalam.
Saya dan kawan, Samsul sempat luangkan masa tengahari tadi menziarahi beliau walaupun mesej awal daripada anaknya mengatakan yang doktor tidak menggalakkan pengunjung buat masa ini agar Haji Rahim dapat berehat secukupnya untuk segera pulih.
Rezeki kami baik, tiada yang menghalang sewaktu masuk ke wad ICU itu.
Haji Rahim yang ditemani isteri, Hajah Siti kelihatan gembira menerima kunjungan kami. Sungguhpun telah diingatkan, berselera sungguh dia bersembang.
Pengalaman serangan itu sukar untuk diceritakannya. Tetapi, pengajaran daripadanya amat disyukuri.
Peluang kedua untuk terus menelusuri kehidupan ini, bukan semua orang dapat merasainya. Banyak benda, banyak perkara yang dulunya bertangguh-tangguh, kini rasanya perlu dilakukan kerana masa sudah semakin suntuk.
Nikmat hidup juga terasa ada yang terbatas, seperti duduk, makan, dan buang air juga kini tidak seperti dulu.
Seperkara lagi yang beliau nasihati kami, belajarlah perkara-perkara yang membolehkan kita diserang penyakit jantung ini. Ianya datang tanpa amaran tetapi ada tanda-tanda lembut yang hanya disedari jika kita peka dan tahu.
Sebelum kami meminta diri untuk pulang, sempat beliau berpesan agar memohon rakan-rakan mendoakan kesembuhan buatnya.
Semoga doa kita semua diterima Allah agar Haji Rahim sembuh seperti sediakala. Pas Gopeng memerlukan pimpinan Yang Dipertuanya.
No comments:
Post a Comment