Sunday, June 1, 2014

DAP jangan salahkan kemelayuan Dyana sebab kalah di Teluk Intan


Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meletakkan kekalahan mereka di Teluk Intan kerana Dyana adalah Melayu amat menjengkelkan saya.

Membaca kenyataannya itu di laman portal Malaysiakini seolah-olah DAP berpatah balik daripada misi mereka di dalam pilihanraya kecil kali ini.

Anti perkauman menjadi salah satu manifesto mereka memasuki pilihanraya di Teluk Intan dengan meletakkan calon muda berbangsa Melayu untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Meletakkan calon Melayu untuk parti DAP saya lihat sebagai satu percubaan ataupun eksperimen untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 nanti. Dan eksperimen ini tentulah mahal harganya kerana ianya menentang arus yang telah lama dibuat oleh Umno dan BN.

Dyana Sofya, satu nama yang amat baru dalam arena politik tanahair, anak muda Melayu yang rupa parasnya seperti Cina yang diharapkan dapat memecahkan tembok perkauman dalam negara telah diletakkan dibarisan paling hadapan untuk menentang gergasi kuasa yang tua dan lama.

Walaupun baru berputik, tetapi kesediaan, kesanggupan serta keberanian beliau mengangkat amanah partinya itu mendapat kepujian daripada Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. 

Anak muda berbangsa Melayu ini telah di'groom' oleh bukan sembarangan orang di dalam DAP tetapi Penasihat parti itu sendiri, Lim Kit Siang yang mengangkatnya sebagai setiausaha politik beliau.

Pencalononnya dibuat oleh DAP sendiri, bukanlah keputusan PAS ataupun PKR.

Pemikirannya sudah tentulah mengikut acuan parti sehingga sanggup mendahulukan parti daripada agamanya sendiri di dalam isu Hudud.

Dan isu Hudud ini adalah anak panah pertama dari sebelum hari penamaan calon lagi, yang mengenai tepat ke jantung Dyana. Sticker anti-Hudud dilekatkan BN kepadanya bukan hanya untuk penyokong mereka sahaja tetapi penyokong PR juga terutamanya PAS. 

Pelbagai tohmahan, kejian dan ujian yang beliau hadapi semasa kempen di Teluk Intan, semuanya dilakukannya untuk parti. Semua pahit manis ditanganinya dengan senyuman manis yang tiba-tiba menjadi kegilaan lelaki seluruh negara. 

Apabila diumumkan kekalahan beliau di tangan BN, tiba-tiba bangsa Melayu yang menjadi darah dagingnya pula yang disalahkan DAP. 

Bagaikan tikaman kekalahan di Teluk Intan belum cukup menyeksakan Dyana, kenyataan Lim Guan Eng ini seperti tusukan tepat kepada jantungnya serta penyokong peribadinya yang telah bertambah dari sehari ke sehari selama berkempen tempohari.

Diharapkan DAP lebih menumpukan kepada faktor penipuan dalam pengiraan undi daripada terus menyalahkan bangsa Melayu calonnya sendiri. 

Kenyataan seperti itu tidak sedikitpun akan menguntungkan DAP tetapi akan lebih menguntungkan Umno yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional.


No comments:

Followers