Thursday, June 12, 2014

Penyebar Fitnah, Orang Yang Sakit Jiwa

Orang yang suka menyebar fitnah sebenarnya adalah seorang yang sakit jiwa, kerana kosong makanan rohaninya. Makanan penyebar fitnah ialah bahan fitnah, mereka sentiasa lapar, seperti lembu yang kehausan apabila tidak ada makanan. Segala makanan dan minuman yang mereka makan sebenarnya dimakan oleh iblis dan syaitan yang bersarang di dalam batang tubuh mereka. Mereka ini tidak kenyang dengan makanan ruji, sebaliknya merasakan satu kepuasan apabila dapat  menyebarkan fitnah kepada orang lain. Seolah-olah mereka merasa lapar dan dahaga apabila jari mereka tidak menyentuh huruf-huruf di skrin Ipad atau tab mereka. Nafsu Ammarah yang menguasai mereka sudah hilang karamah Insaniah dengan diganti dengan nafsu syaitaniah sehingga hilang harga diri.

Di zaman langit terbuka penyebar fitnah amat gemar  menggunakan segala kemudahan yang Allah anugerahkan tanpa menghitong dosa dan pahala. Pendekatan Matlamat Menghalalkan Cara telah menjadi makanan kepada golongan ini. Tanpa mereka sedar bahawa fitnah yang berbentuk tulisan lebih merbahaya daripada fitnah yang diungkap oleh lidah. Fitnah lidah ia akan habis begitu sahaja kerana orang mudah lupa, sedangkan di dalam tulisan ia akan melekat dan dibaca berkali-kali. Jika disebar melalui media baru, entah berapa puluh juta orang like dan share posting mereka.

 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah s.a.w. bersabda :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

 Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Sikap kita untuk melawan fitnah.

@Tabayyun terlebih dahulu sebagaimana diajar oleh Allah SWT, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

@Bersangka baik terlebih dahulu, jangan terus menerima bulat-bulat apa yang diterima. Lebih-lebih lagi jika melibatkan sahabat yang kita kenali hati budi
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan. Ambillah sikap yang diajar oleh Islam apabila mendengar berita mengenai fitnah terhadap sahabat.

Firman Allah SWT. menurunkan surat An-Nuur : 12, ‘’Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."


@Menyedari besarnya dosa fitnah yang dilakukan oleh kita. Apa akan terjadi kepada kita jika orang yang kita fitnah telah meninggal dunia, sedangkan kita tidak sempat memohon maaf kepada mangsa fitnah.

@Banyakkan zikir dan melakukan program tazkiah al Nafs ( bersih jiwa) supaya hati kita jijik untuk melibatkan diri dengan fitnah.

@Sentiasa berada di dalam majlis ilmu yang memberi ingatan tentang bahayanya penyakit fitnah.

@Bacalah buku-buku yang boleh mengubat jiwa dan hati, supaya sifat mazmumah diganti dengan sifat mahmudah.

Kesimpulannya bagi kita yang difitnah mengambil sikap, biarlah seluruh media sosial, Facebook., twitter,  Wassap, Telegram,  blog, portal hendak memfitnah kita. Kita akan terus melaksanakan kerja jamaah. Biarlah tangan pemfitnah ini menulis sehingga tangan mereka kaku ketika sakaratulmaut menjemput mereka. Kita tidak ada kuasa untuk menghentikan tangan mereka daripada menulis, kerana kita insan kerdil. Hanya kematian sahaja yang dapat menghentikan tangan mereka untuk menulis. Kita bertemu di Medan Mahsyar yang lebih hebat daripada Media Sosial. Teruskan usaha Mu jika itu yang dirasakan boleh memberatkan timbangan amalanmu di akhirat kelak.

Idris Hj Ahmad
5/6/14

No comments:

Followers