Manusia sebagai makhluk sosial yang sentiasa berhubung antara satu sama lain. Jika manusia hidup bersendirian yang tidak mahu berkawan dengan orang lain, maka individu tersebut ada masalah di dalam dirinya. Manusia tidak dapat mengelak dirinya bersahabat dengan orang lain dan berhubung dengan orang lain. Oleh itu Islam mengajar kepada pemeluknya supaya memilih sahabat yang benar-benar boleh memberi makna dan erti kepada individu tersebut.
Allah SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)
Banyak watak peribadi seorang dibentuk oleh rakan dan sahabat. Peribadi seorang itu berubah, apabila dicorak oleh sahabatnya. Ada yang menjadi baik atau ada yang menjadi sebaliknya. Semua itu bergantung kepada keadaan sahabat yang beliau damping. Benarlah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Manusia bersama rakannya, maka kamu perhatikan siapa rakannya".
Sahabat merupakan orang yang rapat dengan kita Ia juga boleh dikatakan sebagai teman yang sentiasa ada untuk seseorang ketika dia senang mahupun susah. Ramai orang yang mempunyai kawan, dan kawan yang diperoleh juga adalah ramai. Namun hanya sedikit orang yang mempunyai sahabat, teman yang sanggup berkorban apa saja demi sahabatnya itu.
Kehidupan di dalam berjamaah, kita amat memerlukan kekuatan dalaman, motivasi yang tinggi untuk menghadapi segala macam rintangan dan dugaan yang mendatang. Selain itu, kita juga amat memerlukan seseorang yang setia menemani kita dalam apa keadaan, untuk sama-sama mengharungi setiap saat dalam kehidupan. Inilah yang dinamakan sebagai sahabat atau teman, teman sejati hingga ke akhir usia.
Menurut Imam Al-Ghazali telah menyatakan 12 sifat sahabat sejati.
1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan
menutupnya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
Sebagai ahli Pas perlu memilih sahabat yang boleh memberi kekuatan kepada pembentukan peribadi dan pengukuhan jamaah. Jangan silap pilih kawan, jika tidak ia akan membawa padah. Banyak ahli jamaah, daripada seorang yang aktif, tiba-tiba menjadi golongan yang futur (terhenti) malahan ada yang menjadi golongan mutasaqitun ( gugur) di dalam perjalanan dakwah, malahan menjadi tali barut kepada jamaah.
Kita akan menjadi ahli yang baik apabila bersahabat dengan sahabat yang baik.
1. Taqwa.
Sahabat yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah SWT. Seperti Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”
2. Istiqamah dalam jamaah.
InsyaAllah kita akan mendapat motivasi yang tinggi bila memperolehi sahabat yang komited dengan jamaah. Mereka sentiasa memberi rangsangan kepada kita untuk terus bergerak. Kita rasa malu, bila kita malas bekerja kerana melihat kegigihan sahabat kita.
3. Pandai Menyimpan rahsia parti.
Menjadi kebiasaan di dalam jamaah, ada perkara yang menjadi strategi yang orang lain tidak boleh ketahui melainkan orang tertentu sahaja. Amat malang jika kita mendapat sahabat yang tidak pandai menyimpan rahsia parti, sehingga balanya akan menimpa kepada jamaah.
4. Tidak boros
Sifat ini akan mempengaruhi watak seseorang sehingga ia akan bertukar menjadi seorang yang boros. Mungkin sahabatnya seorang yang kaya, sedangkan kita bukan orang yang kaya akan mempengaruhi watak kita untuk membelanja secara boros kerana terpengaruh dengan cara hidup sahabat kita.
5. Sahabat yang sentiasa memberi nasihat.
Sebagai manusia yang tidak lari daripada kesilapan dan kealpaan amat memerlukan sahabat yang boleh memberi peringatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud
"Siapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan maka Allah akan anugerahkan kepadanya sahabat yang bersifat jika ia lupa, maka kawannya tolong peringatkan. Jika kita memperingatkan kepada sahabat maka ia turut sama untuk menolong kebaikan"
6. Tidak kedekut.
Ertinya jangan terlalu boros dan jangan terlalu kedekut. Jika kawan kita kedekut maka ia juga akan mempengaruhi watak kita. Apabila mendapat sahabat yang kedekut, walau pun pada mulanya kita seorang yang pemurah. Kita bersikap demikian kerana sahabat kita terlalu kedekut, asyik-asyik kita sahaja yang membelanja sedangkan beliau tidak, walau pun beliau seorang yang kaya.
7. Jangan Pilih pengampu.
Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
Idris Hj Ahmad
21/6/14
No comments:
Post a Comment