Sunday, March 24, 2013

Berjuang dengan kata-kata


Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Berjuang ada banyak cara, dan salah satu caranya adalah dengan kata-kata.

Jihad paling afdal ialah menegur pemimpin yang zalim. Untuk menegur, sudah tentulah memerlukan kata-kata. Dan dari kata-kata jugalah bisa menumbuhkan kesedaran dari lantai hati yang gersang.

Saya mahu memperkatakan mengenai kata-kata apabila menonton sebuah filem yang berjodol 'Anonymous'. Filem yang mengupas sejarah penulis terkenal, William Shakespear yang menjadi pujaan dan sanjungan para penggemar karya agungnya.

Didalam filem tersebut, dibongkarkan yang sekalian karya agung seperti "Romeo & Juliet", Macbeth", "Hamlet" dan banyak lagi itu sebenarnya terhasil tanpa setitis dakwat mahupun keringat William Shakespear. Tiada satu ayat pun daripada karya-karya tersebut datangnya daripada idea dan pemikiran Shakespear.

Pada zaman tersebut, karya-karya yang dipersembahkan secara teater menjadi santapan minda, baik para bangsawan, cendikiawan mahupun rakyat bawahan.

Kata-kata yang diungkapkan daripada para penulis teater itu bisa menembus terus ke lubuk hati mereka. Getar suara pelakon membacakan bait-bait tulisan itu bisa juga menggetarkan jantung para penonton sekalian.

Seni teater yang disampaikan daripada tulisan-tulisan tersebut merupakan satu-satunya medium untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada rakyat.

Melihatkan situasi tersebut, seorang bangsawan yang menyedari akan cengkaman dan pengaruh luarbiasa penasihat raja yang mengasingkan sang raja daripada suasana kehidupan rakyat telah menggunakan medium teater untuk menyedarkan rakyat.

Tulisan-tulisannya begitu unik dan menarik, memikat hati rakyat untuk menonton persembahan teater daripada karyanya itu berkali-kali tanpa jemu.

Pun begitu, beliau yang tidak mahu identitinya diketahui sebagai penulis karya-karya itu telah memilih seorang penulis sebagai penutup identitinya.

Namun, dikesempatan inilah seorang pelakon muda yang bercita-cita untuk menjadi terkenal telah mengambil kesempatan dengan memperkenalkan dirinya sebagai penulis karya tersebut. Walaupun sebenarnya dia sendiri tidak tahu menulis. Dan pelakon itu adalah William Shakespear.

Kata-kata yang dibentangkan kepada rakyat melalui pementasan teater tersebut telah membuahkan kesedaran kepada rakyat akan kuasa penasihat yang mengongkong raja daripada bersama dengan rakyat.

Sungguhpun kata-kata itu dilihat hanyalah sebagai cerita dan lakonan, sebenarnya ia punya kuasa yang menggerakkan hati rakyat, menghidupkan semangat rakyat dan membangkitkan perjuangan rakyat.

Hasil daripada 'hasutan'nya melalui karya-karya di teater, rakyat bangun untuk menentang sang penasihat raja yang mencengkam kehidupan rakyat.

Adakah kata-kata digunakan sebagai alat menghasut? Mungkin juga, kerana itulah sahaja ruang yang masih terbuka untuk menyedarkan segala jiwa.

Dalam berjuang, mata pena dikatakan lebih tajam dan beracun daripada mata pedang.

Dengan sistem langit terbuka, sesiapa saja bisa berkata-kata. Dan kata-kata itu merupakan cermin sang penuturnya. Kemana hala kata-kata itu mahu dibawa, sudah tentunya terhasil daripada niat yang hendak dibawa.

Katakanlah apa saja asalkan ianya membawa ke syurga. Tahanlah diri daripada berkata-kata sekiranya ia kelak menyeret ke neraka.

Dan aku yang tak punya apa-apa, tetapi tetap punya semangat pejuang yang membara, izinkan aku berperang dengan kata-kata kerana hanya kata-katalah yang aku harapkan dapat membela tika menanti giliran ke syurga.



No comments:

Followers