Tuesday, July 10, 2012

TUNTUTAN 51% KENAIKAN GAJI - REALITI ATAU FANTASI

 Angka 51% mungkin menakutkan bagi sesetengah pihak terutamanya pihak bank. Namun mereka terlepas pandang apabila tuntutan kenaikan gaji sehingga 51% sebenarnya dikira daripada gaji rendah pekerja bukan eksekutif, BUKANNYA daripada gaji pekerja eksekutif yang sememangnya tinggi.

Sekiranya anda masih ragu-ragu dengan tuntutan NUBE ini, mari kita lihat apakah sebenarnya disebalik peratusan ini. Lupakan angka peratusan dan terjemahkannya dalam bentuk angka ringgit.

Tahukah anda pada 30 April 2012, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta di Semenanjung adalah RM900?

Tahukah anda bahawa Kerajaan Negeri Selangor pada 9 November 2011 mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi 4 anak syarikatnya?

Dan sedarkah anda bahawa NUBE menuntut kenaikan gaji sehingga 51% jika dilihat pada kadar gaji minimum hanyalah bersamaan dengan RM1,276?

Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta pada 30 April lalu menyatakan bahawa;

"Kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500. Namun untuk permulaan ini, sebagaimana syor Majlis (Majlis Perundingan Gaji Negara) dan kajian oleh Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi."

Ini bermakna, tuntutan NUBE jika dilihat pada kadar gaji minimum hanyalah berada di tengah-tengah antara RM900 dan RM1,500; tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah malah bertepatan dengan syor Perdana Menteri. Jadi, wajarkah NUBE dikatakan membuat tuntutan yang tidak masuk akal?

Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 oleh Kerajaan Negeri Selangor yang dirancang pada awal tahun 2012 melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Berhad.

Sedangkan setiap anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor ini hanya mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) tidak sampai RM1 billion bagi tahun 2011. Namun mereka mampu untuk merancang menetapkan gaji minimum bagi kakitangannya sehingga RM1,500.

Berbanding dengan bank-bank komersial sehingga ada yang meraih hampir RM5 billion PBT bagi tahun lalu. Malah PBT yang dicatatkan oleh bank-bank ini untuk suku tahun pertama 2012 sahaja lebih tinggi daripada PBT anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor bagi tempoh setahun!

Jadi, bank-bank sebenarnya amat berkemampuan untuk menetapkan gaji minimum sehingga RM1,500 bagi pekerja-pekerja bukan eksekutifnya. Namun NUBE tetap menggunakan pertimbangan dan toleransi dengan hanya menuntut gaji minimum pada kadar kenaikan 51% (RM1,276) dan bukannya sehingga 77% (RM1,500).

Tahukah anda bahawa daripada tuntutan ini, bank-bank hanya perlu memperuntukkan maksimum 8.4% daripada PBTnya untuk membayar gaji pokok golongan pekerja bukan eksekutif. Untuk mencecah gaji pokok sehingga RM3,000 sebulan bagi seorang bukan kerani dan RM5,000 sebulan bagi seorang kerani, pekerja itu perlu berkhidmat dengan bank sekurang-kurangnya 15 tahun. Berbanding dengan seorang CEO bank yang baru berkhidmat 2 tahun pada ketika itu telah pun meraih pendapatan sehingga RM391,000 sebulan!

Walaupun seorang CEO bank berhak untuk meraih pakej ganjaran sebegini tinggi kerana pengalaman, kepakaran dan prestasi mereka dalam mengendalikan syarikat berprestasi tinggi serta risiko yang perlu dihadapi tetapi tanpa komitmen dan titik-peluh para pekerjanya, siapakah mereka?

Oleh itu, seorang CEO bank tidak boleh terus mendabik dada kerana kejayaan mereka, kemajuan dan keuntungan bank ditentukan oleh para pekerjanya sendiri.

Dengan Indeks Harga Pengguna terus meningkat setiap tahun, nilai hartanah yang semakin melambung dan kos sara hidup yang kian meninggi, adakah bank ingin terus mempraktikkan prinsip, "yang miskin perlu terus dibiarkan miskin manakala yang kaya perlu terus dibantu lebih kaya"

 

 

 

Article from

NUBE Malaysia

(Facebook)

 

J Solomon

Hon. Gen. Secretary

NUBE

1 comment:

Suhaimi Yakub PPG/10091 said...

Isteri saya bekerja sebagai kerani selama 16 thn tapi gaji belum mencecah RM3000.00.How sad.....

Followers

Video ajijoi

Loading...