Saturday, February 4, 2012

Permohonan tanah SJKT Changkat ditolak oleh kerajaan Zambry

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN kawasan Tronoh pada 3/2/2012 di Changkat, Batu Gajah.

SJKT Changkat Batu Gajah merupakan satu-satunya sekolah Tamil di kawasan Batu Gajah. Sekolah ini merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKT Changkat merupakan sebuah sekolah yang tua di kawasan ini dan mempunyai sejarah lebih daripada 80 tahun. Bilangan murid-murid pada tahun ini ialah 373 manakala bilangan guru pula seramai 28 orang.

Sekolah ini tidak mempunyai padang permainan. Oleh yang demikian, murid-murid sekolah ini terpaksa menggunakan podium Majlis Daerah Batu Gajah untuk mengadakan program sukan tahunan. Pada hari lain, langsung tidak ada aktiviti sukan untuk murid-murid sekolah ini. Perkara ini adalah bertentangan dengan dasar kerajaan 'satu sekolah, satu sukan'. Ungkapan-ungkapan seperti ini adalah retorik sahaja dalam amalan banyak sekolah-sekolah di negara kita. Saya tidak boleh menyalahkan pihak pentadbiran sekolah SJKT Changkat berhubung dengan perkara ini.

Saya difahamkan bahawa pihak pentadbiran sekolah dan PIBG telah memohon sebidang tanah di belakang sekolah tersebut untuk dijadikan padang permaian untuk sekolah itu. Pihak sekolah dan ibubapa sungguh mengharapkan kerajaan negeri untuk memberikan tanah yang dipohon itu. Tetapi, tidak ada sebarang maklum balas yang positif daripada pihak kerajaan. Walau bagaimanapun pihak sekolah dan ibubapa menunggu dengan sabar untuk sekian lama. Perkara ini telah dibawa kepada perhatian saya oleh beberapa orang ibubapa yang tinggal di Desa Changkat, Batu Gajah.

Sebagai usaha pertama saya telah membangkitkan isu tanah ini sebagai satu soalan bertulis dalam persidangan Dewan Negeri Perak pada bulan November yang lalu. Soalan yang telah saya kemukakan ialah seperti berikut:

"Adakah Kerajaan berhasrat untuk memberikan tanah yang dipohon oleh pihak pentadbiran SJKT Changkat , Batu Gajah untuk tujuan padang permainan? Jika ya, berapakah keluasan tanah yang akan diluluskan dan bilakah perkara ini akan dilaksanakan?"

Saya telah menerima satu jawapan yang sungguh memeranjatkan daripada pihak kerajaan. Dalam jawapan bertulis itu, kerajaan memberitahu bahawa tanah itu tidak akan diberikan kepada SJKT Changkat. Ini adalah kerana kerajan bercadang untuk memberikan tapak tanah tersebut untuk projek taska PERMATA. Kandungan jawapan itu juga menyebut bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada projek persekutuan PERMATA. Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sanggup menganak tirikan sekolah Tamil semata-mata untuk melaksanakan projek persekutuan itu.

Persoalannya, kenapakah kerajaan harus memberi tanah ini untuk projek taska PERMATA? Terdapat banyak lagi kawasan lain di sekitar Batu Gajah, Siputeh , Tronoh dan Bemban untuk membina bangunan taska PERMATA. Kerajaan tidak semestinya memilih tanah yang dipohon oleh SJKT Changkat untuk projek ini. Tindakan kerajaan ini seolah-olah mempunyai niat jahat untuk mencari jalan supaya tapak tanah itu tidak diberikan kepada sekolah Tamil itu. Memang benar pepatah Melayu, ' Habis minyak sepasu, ekor anjing takkan lurus". SJKT Changkat telah terjerat dalam muslihat kerajaan negeri yang tidak prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah itu. Ibubapa dan murid-murid SJKT Changkat berasa tertipu dengan tindakan kerajaan yang meluluskan tanah yang dipohon oleh sekolah itu kepada pihak lain.

Kalau tanah itu terlepas dari genggaman sekolah ini, maka sekolah ini tidak akan memiliki padang permainan untuk selama-lamanya. Kerajaan juga tidak boleh memberi tanah lain yang lebih jauh untuk tujuan padang permainan bagi sekolah itu. Oleh yang demikian, saya memohon supaya kerajaan negeri tidak meluluskan tanah 1.3 ekar itu kepada taska PERMATA. Tanah itu harus diberikan kepada SJKT Changkat dengan segera.

Saya telah mengadakan satu perjumpaan dengan ibubapa SJKT Changkat di hadapan sekolah itu pada 3/2/2012. Saya telah mengedarkan jawapan bertulis yang diberikan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Negeri Perak. Saya juga memberi penjelasan mengenai isu ini kepada ibubapa yang hadir.

Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa ad hoc untuk membantah tindakan kerajaan memberikan tanah itu kepada PERMATA. Tindakan susulan akan diambil setelah jawatankuasa itu ditubuhkan.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...