Monday, February 13, 2012

Laporan polis terhadap Datuk Bandar Ipoh

Kenyataan Media oleh YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 12/11/2012 di Ipoh.

Laporan Polis Terhadap Datuk Bandar Ipoh

Pada 19/10/2011 Datuk Bandar Ipoh telah menjanjikan tapak tanah seluas 3 ekar untuk membina bangunan baru untuk SJKT Gunung Rapat di Ampang. Selepas pengumuman itu, isu tanah untuk sekolah itu dianggap sudah selesai. Kemudian pada 27/10/2011, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhiddin Yassin yang melawat Pesta Deepavali di kawasan Little India Ipoh pula menjanjikan peruntukan sejumlah RM2.5 juta untuk bangunan baru SJKT Gunung Rapat di tapak yang dijanjikan.

Tetapi, baru-baru ini saya mendapat maklumat bahawa tapak tanah yang dijanjikan oleh Datuk Bandar Ipoh itu diberikan kepada organisasi lain. Pada mulanya saya kurang pasti dengan kebenaran perkara yang dibangkitkan kerana tidak mempunyai maklumat yang konkrit.

Walau bagaimanapun, saya telah memperolehi sepucuk surat bertarikh 30 Januari 2012 yang ditandatangani oleh Datuk Bandar sendiri. Surat itu di alamatkan kepada Dato S. Veerasingam, Penasihat kepada Menteri Besar Perak.  Dalam surat itu, Datuk Bandar menyatakan bahawa tapak tanah yang dijanjikan untuk SJKT Gunung Rapat itu telah diberi  hak milik kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Menurut beliau, tanah itu diberi milik kepada PAFA sebelum lawatan tapak yang dibuat oleh Datuk Bandar bersama-sama pemimpin-pemimpin MIC. Dalam surat itu, Datuk Bandar meminta Dato Veerasingam untuk berunding dengan Menteri Besar Perak untuk menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin.

Ini adalah satu alasan yang tidak munasabah. Jelas di sini bahawa Datuk Bandar Ipoh dan  pemimpin-pemimpin MIC Perak cuba memperbodohkan masyarakat India. Mereka telah menikam masyarakat India dari belakang kerana cuba menipu tanah yang telah dijanjikan untuk membina bangunan baru SJKT Gunung Rapat. MIC memang tidak boleh dipercayai bila-bila masa. Tetapi yang lebih menyedihkan ialah tindakan Datuk Bandar Ipoh yang juga turut terlibat dalam kontroversi ini.

Saya juga tahu bahawa tanah itu tidak diberikan hak milik  kepada PAFA sebelum lawatan tapak yang dibuat oleh Datuk Bandar. Ini adalah kerana saya telah membuat semakan sendiri di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Ipoh. Pada masa itu, tanah yang dipohon itu masih merupakan tanah kerajaan negeri yang diselenggarakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh. Adalah tidak masuk akal jika Datuk Bandar berkata tanah itu diberikan kepada pihak lain tanpa pengetahuan beliau. Tambahan pula, sudah pasti beliau juga telah membuat semakan status tanah sebelum membuat janji kepada SJKT Gunung Rapat.

Perkara ini menjadi lebih keruh lagi, apabila Presiden PAFA Datuk Zainol yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak membuat kenyataan yang bertentangan dengan fakta yang diberikan oleh Datuk Bandar. Menurut Datuk Zainol, PAFA tidak diberikan hak milik  bagi tanah yang menjadi  isu kontroversi ini. Kenyataan beliau yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini adalah berbercangah dengan maklumat  yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar. Siapa yang becakap benar dan siapa pula yang cuba menipu dalam hal ini?

Oleh kerana isu tanah ini telah menjadi semakin keruh dan terdapat unsur-unsur penipuan, maka satu laporan polis telah dibuat di IPD Ipoh pada pagi ini. Laporan polis ini dibuat oleh Valli a/p Bathumalai, Pengerusi Persatuan Dravidian Malaysia, cawangan Menglembu.

YB V.Sivakumar


No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...