Wednesday, February 22, 2012

Kenyataan Mursyidul Am Pas: Datuk Seri Anwar, Palestin & Israel

Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk
Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk
menjelaskan maksud kenyataannya berhubung 'keselamatan Israel' yang
disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama'
PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall
Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama' juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan
secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan
agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal
bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato'
Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri
Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS
sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama' , iaitu PAS sekali-kali
tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong
perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada
Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel
merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat
Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan
penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat
Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah
haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf
negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh
kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala
bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap
sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah
airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa
bentuk hubungan sekalipun.


*
Nik Abdul Aziz Nik Mat.*
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.
------------------------------

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...