Thursday, April 14, 2011

Kelahiran puteri idaman


13 April 2011, satu lagi tarikh keramat buat kami sekeluarga apabila seorang puteri yang diidam-idamkan selama ini muncul membawa bahagia.

Setelah memperoleh 3 orang anak, dengan yang sulungnya perempuan diikuti dengan dua lagi lelaki, sudah pasti kami mengidamkan seorang lagi anak perempuan sebagai penyeri rumah kami. Walaupun kehadirannya sedikit lewat daripada yang dirancang, 5 tahun bagikan satu jarak yang lama untuk ditempuh sekali lagi pengalaman menyambut kelahiran bayi.

Alhamdulillah, disubuh hari Rabu itu, jam 5.04 pagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, saya menyaksikan kelahiran seorang puteri seberat 3.1kg yang muncul kedunia ini secara normal. Dengan badan yang penuh kebiruan dan suara tangisnya yang halus lembut serentak dengan ucapan syukur yang memenuhi dada ini tatkala itu. Linangan air mata di hujung pandangan isteri, saya balas dengan senyuman dan bisikan tahniah serta ucapan terima kasih. Terima kasih kerana telah berjaya mengharungi lautan kesakitan dan kepayahan dalam membawa puteri kami kealam ini.

Melihatkan wajah kedua-dua insan tersayang ini, hilang segala rasa resah gelisah dan pening menahan mengantuk.

Berakhir sudah penantian resah sejak sampai ke hospital jam 1.20 tengahari Selasa (12.4.11) itu. Hanya kesyukuran yang teramat sangat dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana anugerah ini serta mempermudahkannya tanpa sebarang komplikasi. Inilah 'harta' yang akan 'dilaburkan' didunia ini untuk kehidupan yang panjang diSANA nanti.

Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah untuk kelahiran puteri idaman kami ini.

Dakapan erat yang pertama setelah dilahirkan

Selamat datang kedunia baru

Lena tidur

Sayaaaang anak ayah........

Followers