Tuesday, June 11, 2013

PAS Perak fail 3 petisyen PRU13 pagi ini


 

IPOH: Tiga wakil calon PAS mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Panjang, Lubok Merbau dan Manjoi telah memfailkan petisyen pilihan raya pagi ini.


Petisyen tersebut difailkan menerusi Tetuan Amin Amirul & Partners yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Undang- Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak, Aminuddin Zulkipli di Mahkamah Tinggi, Ipoh.


Menurut sumber, tiga lagi petisyen akan dibuat oleh PAS untuk Dun Rungkup, Manong dan Selama petang ini.


"Setakat pagi ini tiga Dun telah difailkan dan insya Allah akan ada lagi beberapa Dun akan turut berbuat demikian pada petang ini atau esok," katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai memfailkan petisyen.


Hadir sama ialah pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat Perak yang hadir untuk memberikan sokongan.


Menurut beliau, pihaknya akan menunggu maklum balas oleh pihak mahkamah sebelum ditetapkan tarikh pengurusan kes tersebut.


Petisyen dibuat katanya adalah berdasarkan hujah serta asas kukuh tentang kepincangan, salah laku dan ketidakadilan dalam proses pilihanraya lalu.


"Perkembangan berikutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa dan kami berharap seluruh rakyat Malaysia khususnya di Perak agar dapat mendoakan kejayaan petisyen yang dijalankan ini seterusnya dapat mengangkat kembali hak rakyat Perak," katanya lagi.


Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, calon PAS di Dun Manjoi Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad Mohamed dengan majoriti tipis iaitu 132 undi manakala di Pasir Panjang, calon PAS Rohawati Abidin tewas dengan majoriti 304 undi kepada Rashidi Ibrahim.


Majoriti 53 undi memisahkan antara calon PAS di Lubok Merbau, Zainudin Mohd Yusof dengan calon BN, Siti Salmah Mat Jusak.

- HarakahDaily

Benarkah harga kereta telah turun?


Ramai yang teruja apabila membaca laporan daripada akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu mengenai  penurunan harga kereta. 10 buah model kereta keluaran tempatan dan antarabangsa diperagakan dengan harga beserta peratus penurunannya dipamerkan. Ramai juga yang terliur dibuatnya. Ada pula yang mula memasang angan-angan untuk menukar kereta baru.

Inilah usaha kerajaan BN dalam menunaikan janji pilihanraya untuk menurunkan harga kereta, menurut laporan tersebut.

Saya yang melihat gambar model-model kereta tersebut agak kurang selesa. Ini kerana saya sendiri memang mengikuti perkembangan harga kereta Perodua Alza (yang diangankan untuk membelinya) sebelum ini. 

Harga Alza yang dikatakan turun sebanyak RM2,000.00 itu setahu saya memang telahpun ditawarkan oleh Perodua sebagai rebate sebelum pilihanraya lagi. Begitu jugalah dengan model-model lain yang dipamerkan itu.

Untuk memastikan yang sangkaan saya itu benar, saya tanyakan kepada seorang jurujual Perodua dan beliau mengesahkan yang harga RM2,000.00 itu telah lama ditawarkan kepada pembeli.

Ini bermakna, harga yang dikatakan turun kerana janji BN sebenarnya adalah harga yang memang telah ditawarkan pengeluar.

Ramai yang tertawakan harga kereta Proton Saga dan juga Exora yang diturunkan sebanyak RM450 sahaja.

Jika beginilah rupanya penurunan harga kereta sepertimana yang dijanjikan BN, bermakna rakyat akan tetap terbeban dengan harga kereta yang mahal. 

Tidak sepertimana yang dijanjikan Pakatan Rakyat dimana penurunan harga kereta adalah daripada cukai eksais kerajaan yang begitu besar, bukannya bergantung kepada tawaran pengeluar kereta itu sendiri. 

Sungguhpun cukai eksais yang dikutip kerajaan akan berkurangan jika diturunkan bagi setiap model kereta, tetapi ianya tetap memberikan keuntungan kepada rakyat negara kita sendiri.

Ramailah warganegara kita yang akan berkemampuan untuk memiliki sebuah kereta yang lebih baik dan baru.

Bukan seperti saya yang masih terkial-kial untuk menjaga dan membaiki kereta lama. 

Monday, June 10, 2013

Pejuang Islam jangan dilabelkan

Pada beberapa malam yang lalu, seusai solat Isyak di surau, saya dan beberapa orang sahabat jemaah langsung ke kedai makan untuk minum-minum sambil bergebang.

Sebaik habis kopi Jantannya dihirup, seorang sahabat yang dipanggil Cikgu ini menanyakan soalan kepada saya. Soalan ini kerap benar singgah, bagaikan seorang Blogger boleh tahu apa saja cerita di dunia.

"Apa cerita terbaru la ni," tanyanya. "Blog hang pun dah lama tak update," tambahnya pagi.

"Saja menyepikan diri, berehat sekejap lepas PRU ni," jawab saya padanya. 

"Tambah pulak sekarang ni saya tengok dalam blog ke, facebook ke, whatsapp pun sama, semuanya tengah hangat bincang pasal apa yang dikatakan pertembungan antara golongan ulamak dan professional dalam PAS." jawab saya lagi.

"Tang situ la silapnya orang kita!" jerkah Cikgu, meluruskan badannya yang sedari tadi bersandar di bangku. 

"Bila kita semua ni masuk Pas, isi borang, maknanya kita declare yang diri kita ni pejuang Islam sebab kita nak ikut sama-sama dengan Pas untuk berjuang agama Islam.

Dan bila kita dah jadi pejuang Islam, kenapa kita nak terikut-ikut cakap musuh Islam yang nak pecahkan kita ni dengan labelkan kita ni golongan ulama, golongan professional." suara Cikgu semakin kuat dan badannya semakin rapat dengan saya. 

Sambungnya lagi, "Aku bagi hang contoh, Hasan Al Banna dengan Syed Qutb tu golongan ulamak ka professional? Depa dua-dua tu bukannya golongan ulamak tapi tetap dikenang sebagai pejuang Islam. Nak berjuang Islam ni bukan kira mesti ulamak saja, golongan apa sekalipun, berjuang tetap berjuang.

Musuh kita saja labelkan kita ni bagi kita sentiasa berpecah. Walaupun setelah Islam itu menang, tapi kita sampai penghujungnya takkan dapat bersatu sebab dah dipecahkan dengan label dan gelaran.

Sebab tu aku kata kita jangan sebut dah yang ni golongan ulamak, yang ni pulak golongan professional. Jangan terikut dengan cara musuh tu.

La ni, hang golongan mana pun, janji buat kerja untuk menegakkan Islam. Lantak la orang nak kata apa, pejuang Islam tetap pejuang Islam walau apa pun kerja depa.

Hang tulih dalam blog hang apa yang aku kata ni," Cikgu bersandar kembali ke bangku setelah selesai merenjiskan segala yang berkecamuk dikepalanya mengenai isu terkini dikalangan ahli Pas.

Dan kini giliran saya pula tersandar bila memikirkan tentang apa yang dihambur Cikgu sebentar tadi. 

Memang betul kata-katanya itu, kita tak perlu terikut-ikut dengan rentak musuh yang sentiasa mahu memecah-belahkan jemaah. Kembali bersatu, saling membantu dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Ustaz yang duduk disebelah saya hanya tersenyum sambil menghirup teh tariknya yang belum habis sedari tadi. 

Tuesday, June 4, 2013

Larang motosikal masuk bandar besar tidak relevan - Pesuruhjaya Pas Perak

Di Sediakan Oleh: Hafez Sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga merupakan ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan cadangan ketua polis negara supaya kerajaan melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar di seluruh negara bagi mengekang jenayah ragut di negara ini dilihat tidak relevan untuk dipraktikkan.

Menurut beliau tinjauan pihaknya mendapati, rata-rata rakyat yang ditemui memberikan reaksi kurang senang terhadap cadangan tersebut. Hal ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia dikhuatiri akan hanya mengundang kesulitan kepada orang ramai meskipun mempunyai pilihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Memetik ucapan beliau,

''Kerajaan tidak boleh mengehadkan penggunaan motosikal di bandar-bandar besar sedangkan pelbagai urusan termasuk kerja seharian dibuat di bandar.

''Ia akan menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sememangnya menaiki motosikal untuk melakukan tugas masing-masing,'' katanya.

Beliau juga menyatakan larangan kemasukan motosikal di bandar-bandar besar tidak boleh diterima pakai kerana ia dilihat tidak bersesuaian dengan faktor persekitaran dan sistem pembangunan di negara ini.

Sebagai contoh, di Kuala Lumpur sendiri, jarak dari satu tempat ke satu tempat lain dalam bandar agak jauh, tak kan hendak suruh orang jalan kaki pula, katanya. 

Menurut beliau lagi, beliau yakin jenayah ragut masih akan terus berlaku meskipun langkah melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar dilaksanakan.

Peragut tidak semestinya menggunakan motosikal untuk melakukan jenayah, bahkan kemungkinan menggunakan pelbagai cara yang disifatkan sebagai 'kreatif' dan tidak masuk akal untuk mencari mangsanya, jelas beliau.

Jenayah berlaku di mana-mana, kadang-kadang penjenayah juga sanggup melakukan apa sahaja untuk berbuat jahat.

Beliau juga mempersoalkan apakah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal membanteras kegiatan jenayah sehingga mereka perlu melarang kemasukan motosikal ke dalam kawasan Bandar?

Justeru beliau menyatakan, terdapat pelbagai cara lain lagi yang boleh dipraktikkan kerajaan bagi membendung jenayah ragut.

Tambah beliau lagi, pengunaan motosikal dilihat relevan di bandar-bandar besar terutama dalam mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas selain menjimatkan penggunaan bahan bakar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan dan pihak polis mempertimbangkan semula cadangan tersebut dengan mengambil kira semua aspek termasuk masalah yang akan timbul kelak.

Monday, June 3, 2013

Satu Rumah, Satu Harakah

Saya masih ingat lagi sewaktu kunjungan Saudara Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah dan juga Dato' Tarmizi Mohd Jam, Pengarah Berita Harakah ke Pejabat Perhubungan Pas Perak pada 23 Oktober 2011 untuk mengendalikan Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Harakah anjuran Lajnah Penerangan & Dakwah, Badan Perhubungan Pas Negeri Perak.

Walaupun agak berkepayahan akibat uzur (selepas menjalani pembedahan pintasan jantung) serta bertongkat, namun Sdr Ahmad Lutfi tetap memanjat anak-anak tangga pejabat itu untuk memberikan sumbangan beliau dalam mendidik penulis-penulis baru dalam membuat penulisan bersifat berita bagi penyampian melalui blog, facebook dan juga untuk dipanjangkan kepada pejabat Harakah.

Penyampaian beliau yang bertajuk 'Peranan Besar Wartawan dalam Politik' berjaya menyuntik semangat untuk menjadi wartawan yang berjaya dan amanah kepada 33 peserta kursus yang hadir.

Manakala, Dato' Tarmizi yang membentangkan kertas kerja berjudul 'Kursus Penulisan Berita' pada pagi itu, ada menyampaikan satu cadangan pada penghujung sesi soal jawab bersama peserta kursus.

Cadangan beliau agar akhbar Harakah diwajibkan untuk dibeli oleh setiap ahli agar jualan akhbar tersebut dapat memberi sumbangan kepada parti serta memberikan maklumat tepat kepada ahli-ahli secara langsung.

Kenapa saya terkenang kembali peristiwa ini yang berlaku setahun setengah yang lalu?

Baru-baru ini, dilaporkan akhbar-akhbar Harakah dan juga Suara Keadilan telah dirampas di kedai-kedai oleh Kementerian Dalam Negeri. Itu yang berlaku minggu lalu. Minggu ini lebih teruk lagi apabila Harakah dirampas sebelum dijual lagi.

Harakah kini bukan lagi menjadi bahan bacaan hanya ahli-ahli Pas sahaja tetapi telah menjadi ketagihan orang awam yang sentiasa menanti naskah-naskah Harakah dijual di kedai-kedai buku dan juga kedai-kedai runcit.

Fenomena ini begitu menakutkan pihak yang berkuasa, lalu syarat 'Untuk Ahli Pas Sahaja' yang dipahatkan kepada terma jualan akhbar Harakah diguna-pakai untuk menghalalkan tindakan rampasan mereka.

Ketakutan dan trauma mereka dengan laporan-laporan yang didedahkan Harakah bersifat benar kerana jika ianya dimuatkan dengan berita-berita fitnah dan laporan-laporan yang tidak betul, sudah tentu Harakah telah disaman. Tetapi sehingga ke saat ini, laporan Harakah tidak dicabar mana-mana pihak kerana ianya bersifat 'laporan', bukannya 'andaian'.

Sudah sampai masanya pihak Lajnah Penerangan di setiap kawasan memainkan peranan sebagai pengedar akhbar Harakah dikalangan ahli.

Setiap ahli diwajibkan untuk membeli Harakah, bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat tepat daripada kepimpinan parti tetapi juga untuk menyalurkan dana kepada parti secara tidak langsung.

'Satu Rumah, Satu Harakah' perlu dijadikan salah satu agenda gerak kerja buat Lajnah Penerangan kawasan-kawasan dalam memastikan ahli-ahli ditempat mereka sentiasa bermaklumat dan juga istiqamah dalam menyumbang dana kepada parti itu sendiri selain membantu tabung lajnah berkenaan.

Pada masa yang sama juga, Harakah dapat disampaikan kepada pembaca yang bukan ahli dengan mengedar terus kepada mereka sebagai salah satu cara kita memberi khidmat serta menarik perhatian mereka kepada kita.

Semoga dengan terlaksananya program 'Satu Rumah, Satu Harakah' ini, jumlah keluaran akhbar lidah rasmi PAS ini akan bertambah serta ahli-ahlinya akan lebih bermaklumat.

Thursday, May 30, 2013

Jangan disambut lompatan itu

Gegar berdesus khabar angin mengatakan beberapa Adun Umno di Perak ini yang mahu melompat gara-gara tidak berpuas hati.

Maka, jika lompatan itu benar-benar berlaku, boleh tumbang kerajaan Umno pimpinan Zambry di Perak ini.

Walau ke parti mana sekalipun di dalam Pakatan Rakyat ini yang mahu dilompat  mereka, saya amat berharap sangat agar tidak disambut lompatan mereka itu. 

Biarkan mereka jatuh terkangkang sekalipun, biarkan saja.

Dimana maruah PR dimata rakyat Perak jika lompatan Adun BN itu disambut mereka dengan penuh gembira, bakal memerintah semula setelah beralih kerusi sedemikian rupa.

Jika dahulu, PR Perak mengadakan pelbagai bantahan dan reaksi di atas kejatuhan kerajaan pimpinan mereka hanya kerana beberapa Adun mereka melompat ke parti lawan, takkan sekarang mereka mahu menubuhkan sebuah kerajaan daripada cara yang mereka keras menentang dahulu. 

Petisyen pilihanraya lalu bakal diketahui dalam masa 6 bulan, eloklah jika PR Perak bersabar sedikit. Jika menang petisyen, kerajaan akan bertukar tangan, dengan lebih bermaruah daripada kerajaan yang ditubuhkan daripada hasil lompatan Adun-adunnya. 

Semoga parti-parti dalam PR Perak tetap memegang prinsip mereka menentang tertubuhnya sebuah kerajaan melalui lompatan sang Adun. 

Biarkan mereka melompat ke mana saja, asalkan kita LAWAN TETAP LAWAN.

Saturday, May 25, 2013

AMK jangan biadap dengan Presiden PAS

Merujuk kepada laporan media Malaysian Insider yang bertajuk "AMK Selar Presiden PAS kerana mencerca calon PKR semasa kempen PRU13", kami menyelar sikap Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin memburuk-burukkan Presiden PAS di hadapan media.

Jika seminggu dua lalu Timbalan Presiden PKR mengkritik Presiden PAS rentetan ketidakpuasan hati prestasi PKR Selangor yang ada kena mengena dengan jawatan MB Selangor, hari ini Ketua AMKnya pula mencontohi sikap tersebut.

Kami tidak kisah untuk AMK mengkritik mana-mana pimpinan PAS, tapi kita ada saluran dalaman yang menjadi amalan kita selama ini. Jika tidak, media Umno/BN akan melaga-lagakannya.

Jika ia datang dari macai dan media Umno/BN, kami langsung tidak hiraukan namun kali ini AMK pula menjadi penyambung lidah macai Umno/BN yang menghentam Presiden PAS secara terbuka.

Sahabat Pemuda AMK! AMK patut mencelikkan mata untuk membuat penilain terhadap sebahagian calon-calon pilihanraya dan YB-YB PKR supaya tragedi Perak tidak berulang lagi.

Inilah perkara yang ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS kepada semua rakan-rakan PR sepanjang perundingan kerusi PRU. Namun, PKR sambil lewa sahaja mengambil nasihat ini di beberapa kerusi. Presiden PAS tidak mencerca secara spesifik mana-mana calon walapun mempunyai maklumat.

Sebagai ingatan, mungkin AMK lupa, sejarah telah menyaksikan sebahagian YB-YB PKR yang diambil secara serkap jarang semata-mata untuk menghadapi pilihanraya sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PR Perak pada 2008.

Bukan itu sahaja, malah sejak PRU 2008 PR dimalukan dengan insiden-insiden YB-YB PKR keluar parti seperti spt di Parlimen Bayan Baru, Parlimen Nibong Tebal, Parlimen Wangsa Maju, Parlimen Bagan Serai dan Parlimen Kulim-Bandar Baru.

Ini bukan sahaja pengkhianatan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat, malah pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat.

Perkara ini disentuh dan ditegur oleh pimpinan PAS dalam pertemuan tertutup tanpa melibatkan media seperti yang dilakukan oleh Ketua AMK kali ini.

Puncanya tidak lain tidak bukan kerana PKR mengambil sebahagian calon tangkap muat dan berpotensi untuk lompat parti jika menang PRU dengan hanya diumpan dengan wang ringgit. Inilah pengkhianatan yang teramat besar iaitu mereka gagal memilih dan menapis calon yang berwibawa dan berkredibliti untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Inilah yang PAS dan DAP tidak mahu, kemenangan yang separuh jalan sebagaimana berlaku di Perak tempohhari.

Tidak cukup dengan itu, PKR bermain kayu tiga membuat rundingan dengan PSM yang tidak pernah menjadi rakan sekutu PR dan perkara ini didedahkan sendiri oleh Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan yg juga calon PSM di Semenyih.

Ini satu lagi bentuk pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat.

Sahabat Pemuda AMK! AMK sepatutnya sedar dan insaf tentang kekangan serta ketandusan petugas pilihanraya mereka. Ini bukan kata-kata angkuh tetapi sekadar peringatan bersama serta realiti yang berlaku.

Buktinya, lihatlah di mana-mana sebahagian besar kawasan pilihanraya, petugas-petugas AMK dan PKR hanya pandai bercakap dan tidak cukup untuk menghadapi pilihanraya dan akhirnya ia dibantu oleh jentera Pemuda PAS. Ini suatu hakikat.

Ia dilihat oleh rakyat, yang akhirnya menyaksikan ada beberapa calon PKR ditolak di peringkat parlimen sedangkan calon PAS di peringkat DUN menang besar.

PAS berusaha melahirkan jentera dan petugas yang istiqamah,namun kami bukan macai calon-calon PKR yang hanya nampak muka sehari dua dalam keadaan tiada petugas sendiri.

Buat sahabat AMK dan ketuanya, jika ada sebarang ketidakpuasan hati, eloklah dibawa ke perbincangan dalaman PR bukan di media.

Jika di media, tambahan pula menghentam Presiden kami maka kami selaku Pemuda Pas sukar menerima kenyataan tersebut dan tidak akan berdiam diri.

Sedang kami Pemuda Pas boleh menghormati DSAI selaku Ketua PKR sekalipun ada banyak perkara yg mungkin kami tidak bersetuju, jadi molek kiranya AMK pun belajar beradab sebelum kemungkinan ada pula pimpinan yang lain mencerca DSAI di khalayak ramai disebabkan perbuatan tidak beradab itu.

Sahabat Pemuda AMK! Ini adalah teguran dan peringatan pada semua sebagai pemuda PR yang ada akhlak dan adabnya.

Syarhan Humaizi Abdul Halim,
Ketua Pemuda PAS Gombak.

Himpunan Blackout 505 peringkat Pas Negeri Perak di Tapah bersama Mat Sabu

PR dapat tubuh kerajaan di Perak jika tiada penipuan!


PAS Perak akan menganjurkan Himpunan Blackout 505 peringkat negeri pada 26 Mei ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, himpunan tersebut adalah bertujuan untuk menyatakan kebersamaan PAS dengan rakyat menolak serta mengutuk penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Perhimpunan tersebut katanya dijadualkan berlangsung di Kompleks PAS Kawasan Tapah, Jalan Bidor jam 9.00 malam.

Jelas Ustaz Abu Bakar, himpunan tersebut akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, AJK PAS Pusat, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhd Nur Manuty dan kepimpinan serta Adun Pakatan Rakyat Perak.

“Saya menyeru seluruh rakyat Perak khususnya ahli PAS turun beramai-ramai ke program ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati akan sistem pilihanraya di Negara ini yang tidak benar-benar adil serta bersih,” katanya.

Mengulas lanjut, Adun Titi Serong itu menjelaskan, PAS melahirkan keyakinan perhimpunan tersebut akan berlangsung dengan aman dan ianya adalah satu hak rakyat melalui sistem demokrasi.


Kata beliau, Pakatan Rakyat gagal untuk membentuk kembali kerajaan apabila kurang 3 kerusi walaupun kita mendapat undi popular dengan memperoleh 54.79 peratus sokongan daripada rakyat di negeri ini.

“Perjalanan pilihanraya lalu ternyata tidak bersih dan adil dengan pelbagai perkara yang berlaku antaranya pengundian dua kali, dakwat kekal yang tidak kekal dan sebagainya.

“Jika (pilihanraya) berjalan dengan adil sudah pasti Pakatan Rakyat akan berjaya mengambil alih kembali kerajaan Perak dan PAS akan menang lebih banyak kerusi di negeri Perak,” jelas beliau.

- PerakiteDaily

Thursday, May 23, 2013

Tian, Haris, Tamrin pula ditahan


Polis hari ini menahan MP Batu Tian Chua, akvtivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS Tamrin Ghafar dalam operasi berasingan, dipercayai berhubung perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini.
Tian Chua dalam tulisannya di Twitter hari ini menyebut, beliau ditahan sejurus sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang LCCT kira-kira tengahari.
"Sekarang saya dibawa dalam kenderaan polis (menuju) Balai Polis Jinjang," katanya.
NONEMenurutnya lagi, polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Sementara itu, pemimpin NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, beliau juga sedang dicari polis.

"Di KL, baru dihubungi isteri, maklumkan sekumpulan polis datang mencari saya di rumah ibu di Seremban, saya mohon masa tiga minggu berunding macam (dengan penceroboh) Sulu," tulisnya di Twitter.
Sementara itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan dalam satu tulisan di Facebook pula berkata Haris, yang mengetuai NGO Asalkan Bukan Umno, ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Haris pagi ini muncul di bangunan kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan ke atas aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim yang dituduh mengikut Akta Hasutan hari ini.
Beliau turut berucap dalam forum mengenai dakwaan penipuan pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu.
Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar ketika dihubungi berkata Haris turut disiasat mengikut Akta Hasutan.
NONEBeliau juga berkata, aktivis PAS, Tamrin Ghafar yang turut berucap di forum sama, juga ditahan pada hari ini dalam satu operasi polis di Bangsar.
Katanya, Tamrin juga dibawa ke balai sama yang kini menempatkan Haris dan Tian.
Operasi berkenaan berlangsung walau jurucakap bagi penganjur perhimpunan, Badrul Hisham Shaharin telahpun menafikan bahawa ia bertujuan untukmenumbangkan kerajaan seperti 'Arab Spring' seperti yang didakwa pihak berkuasa.
Sebaliknya, perhimpuan di Petaling Jaya pada Sabtu ini adalah 'Festival Rakyat' untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat, katanya.
Gabungan 50 NGO yang menjadi penganjur acara berkenaan dijangka menampilkan bukti dan saksi mengenai dakwaan penipuan pilihan raya dijangka akan ditampilkan ladam perhimpunan berkenaan di padang berhampiran Amcorp Mall.
Antara yang dijangka mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut adalah NGO Suaram, Solidariti Anak Muda Malaysia, Asalkan Bukan Umno, Tindak Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia.

- Malaysiakini

Saturday, May 18, 2013

Air mata di wad ICU

Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.


Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30.  Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.

Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.


"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid,  Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.

TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini... "Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.

Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.

"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakan.

TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.

Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana  Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.

- HarajahDaily

Followers