Tuesday, June 11, 2013

PAS Perak fail 3 petisyen PRU13 pagi ini


 

IPOH: Tiga wakil calon PAS mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Panjang, Lubok Merbau dan Manjoi telah memfailkan petisyen pilihan raya pagi ini.


Petisyen tersebut difailkan menerusi Tetuan Amin Amirul & Partners yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Undang- Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak, Aminuddin Zulkipli di Mahkamah Tinggi, Ipoh.


Menurut sumber, tiga lagi petisyen akan dibuat oleh PAS untuk Dun Rungkup, Manong dan Selama petang ini.


"Setakat pagi ini tiga Dun telah difailkan dan insya Allah akan ada lagi beberapa Dun akan turut berbuat demikian pada petang ini atau esok," katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai memfailkan petisyen.


Hadir sama ialah pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat Perak yang hadir untuk memberikan sokongan.


Menurut beliau, pihaknya akan menunggu maklum balas oleh pihak mahkamah sebelum ditetapkan tarikh pengurusan kes tersebut.


Petisyen dibuat katanya adalah berdasarkan hujah serta asas kukuh tentang kepincangan, salah laku dan ketidakadilan dalam proses pilihanraya lalu.


"Perkembangan berikutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa dan kami berharap seluruh rakyat Malaysia khususnya di Perak agar dapat mendoakan kejayaan petisyen yang dijalankan ini seterusnya dapat mengangkat kembali hak rakyat Perak," katanya lagi.


Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, calon PAS di Dun Manjoi Asmuni Awi kalah kepada calon BN Mohamad Ziad Mohamed dengan majoriti tipis iaitu 132 undi manakala di Pasir Panjang, calon PAS Rohawati Abidin tewas dengan majoriti 304 undi kepada Rashidi Ibrahim.


Majoriti 53 undi memisahkan antara calon PAS di Lubok Merbau, Zainudin Mohd Yusof dengan calon BN, Siti Salmah Mat Jusak.

- HarakahDaily

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...