Monday, June 3, 2013

Satu Rumah, Satu Harakah

Saya masih ingat lagi sewaktu kunjungan Saudara Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah dan juga Dato' Tarmizi Mohd Jam, Pengarah Berita Harakah ke Pejabat Perhubungan Pas Perak pada 23 Oktober 2011 untuk mengendalikan Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Harakah anjuran Lajnah Penerangan & Dakwah, Badan Perhubungan Pas Negeri Perak.

Walaupun agak berkepayahan akibat uzur (selepas menjalani pembedahan pintasan jantung) serta bertongkat, namun Sdr Ahmad Lutfi tetap memanjat anak-anak tangga pejabat itu untuk memberikan sumbangan beliau dalam mendidik penulis-penulis baru dalam membuat penulisan bersifat berita bagi penyampian melalui blog, facebook dan juga untuk dipanjangkan kepada pejabat Harakah.

Penyampaian beliau yang bertajuk 'Peranan Besar Wartawan dalam Politik' berjaya menyuntik semangat untuk menjadi wartawan yang berjaya dan amanah kepada 33 peserta kursus yang hadir.

Manakala, Dato' Tarmizi yang membentangkan kertas kerja berjudul 'Kursus Penulisan Berita' pada pagi itu, ada menyampaikan satu cadangan pada penghujung sesi soal jawab bersama peserta kursus.

Cadangan beliau agar akhbar Harakah diwajibkan untuk dibeli oleh setiap ahli agar jualan akhbar tersebut dapat memberi sumbangan kepada parti serta memberikan maklumat tepat kepada ahli-ahli secara langsung.

Kenapa saya terkenang kembali peristiwa ini yang berlaku setahun setengah yang lalu?

Baru-baru ini, dilaporkan akhbar-akhbar Harakah dan juga Suara Keadilan telah dirampas di kedai-kedai oleh Kementerian Dalam Negeri. Itu yang berlaku minggu lalu. Minggu ini lebih teruk lagi apabila Harakah dirampas sebelum dijual lagi.

Harakah kini bukan lagi menjadi bahan bacaan hanya ahli-ahli Pas sahaja tetapi telah menjadi ketagihan orang awam yang sentiasa menanti naskah-naskah Harakah dijual di kedai-kedai buku dan juga kedai-kedai runcit.

Fenomena ini begitu menakutkan pihak yang berkuasa, lalu syarat 'Untuk Ahli Pas Sahaja' yang dipahatkan kepada terma jualan akhbar Harakah diguna-pakai untuk menghalalkan tindakan rampasan mereka.

Ketakutan dan trauma mereka dengan laporan-laporan yang didedahkan Harakah bersifat benar kerana jika ianya dimuatkan dengan berita-berita fitnah dan laporan-laporan yang tidak betul, sudah tentu Harakah telah disaman. Tetapi sehingga ke saat ini, laporan Harakah tidak dicabar mana-mana pihak kerana ianya bersifat 'laporan', bukannya 'andaian'.

Sudah sampai masanya pihak Lajnah Penerangan di setiap kawasan memainkan peranan sebagai pengedar akhbar Harakah dikalangan ahli.

Setiap ahli diwajibkan untuk membeli Harakah, bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat tepat daripada kepimpinan parti tetapi juga untuk menyalurkan dana kepada parti secara tidak langsung.

'Satu Rumah, Satu Harakah' perlu dijadikan salah satu agenda gerak kerja buat Lajnah Penerangan kawasan-kawasan dalam memastikan ahli-ahli ditempat mereka sentiasa bermaklumat dan juga istiqamah dalam menyumbang dana kepada parti itu sendiri selain membantu tabung lajnah berkenaan.

Pada masa yang sama juga, Harakah dapat disampaikan kepada pembaca yang bukan ahli dengan mengedar terus kepada mereka sebagai salah satu cara kita memberi khidmat serta menarik perhatian mereka kepada kita.

Semoga dengan terlaksananya program 'Satu Rumah, Satu Harakah' ini, jumlah keluaran akhbar lidah rasmi PAS ini akan bertambah serta ahli-ahlinya akan lebih bermaklumat.

No comments:

Followers