Thursday, July 10, 2014

Perang Iraq/Syria: PAS tegas pilih demokrasi dan pilihanraya - Presiden PAS


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

PERKEMBANGAN TERKINI DI IRAQ/SYRIA
10 Julai 2014/ 12 Ramadhan 1435H

Parti Islam SeMalaysia (PAS) meneliti dengan penuh berhati-hati terhadap perkembangan terkini yang berlaku di Iraq dan Syria dan meminta kepada ahli, penyokong dan seluruh rakyat supaya dapat memahami segala bentuk percaturan yang sedang berlaku dengan proksi - proksinya.

Adalah ditegaskan bahawa PAS adalah tetap mengambil pendekatan demokrasi menerusi pilihanraya dan inilah pendekatan yang kita perkenalkan kepada semua rakan – rakan dalam gerakan Islam di seluruh dunia. Ini jugalah yang saya tekankan dalam ucapan saya kepada kepimpinan parti – parti berteraskan Islam di negara lain dalam persidangan anjuran Economic and Social Researches Center di Turki pada bulan lepas. Pendekatan ini adalah yang terbaik pada masa ini bagi menghadapi masalah dalaman negeri umat Islam sendiri dengan menekankan prosesnya secara damai dan demokrasi.

Sebab itu PAS tidak bersetuju dengan pendekatan yang berlaku di Syria dan Iraq yang mengambil cara perang untuk menyelesaikan masalah dalaman negara umat Islam. Ianya juga bercanggah dengan konsep jihad dalam al-Quran dan Sunnah yang diamalkan oleh para Khulafa' di sepanjang zaman. Para Khulafa' ar-Rasyidin, Zaman Amawiyah, Zaman Abbasiyah dan Zaman Uthmaniyyah, kesemua mereka menyelesaikan masalah dalaman umat, dan pendekatan perang adalah terakhir dan sangat berhemat. Sehingga Saidina Ali bin Abi Talib R.A hanya bertindak kepada golongan Khawarij apabila mereka mengangkat senjata. Apabila mereka tidak mengangkat senjata, maka dihadapinya dengan sabar.

Begitulah kaedah kita menghadapi kerajaan-kerajaan yang zalim sepanjang zaman dalam krisis dalaman umat Islam. Bahkan kerajaan Uthmaniyyah sendiri semasa pemerintahan mereka telah meletakkan kumpulan Druze yang dianggap kumpulan serpihan umat di luar daripada Islam ke satu kawasan di Lubnan, dan kumpulan Yazidiyah diletakkan di Iraq tanpa pendekatan secara bersenjata. Pendekatan ini juga adalah metode yang berasalkan dari pendekatan kajian ulama -ulama di masa itu, untuk mengelakkan diri dari orang –orang dan kelompok yang jahil dalam masalah agama sehingga merosakkan umat sendiri dan menghukum tanpa hati-hati.

Dengan sebab itu, PAS dengan tegas tidak mengizinkan mana-mana ahli PAS terlibat dengan kumpulan-kumpulan radikal samada di luar negeri ataupun di dalam negeri. Sekiranya didapati ada, maka kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan dengan memecat mereka daripada keahlian PAS.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

No comments:

Followers