Sunday, July 14, 2013

Layakkah aku?

Beberapa orang yang soleh telah menziarahi gurunya. Ketika itu, gurunya sedang nazak dan hampir menemui ajal. Pertemuan mereka telah berlaku sebuah kisah yang boleh dijadikan peringatan buat mereka yang masih hidup dan akan menemui tuhannya suatu hari nanti. Mereka melihat gurunya menangis. Lalu murid-murid tersebut bertanya kepada guru itu: 'Mengapakah engkau menangis sedangkan Allah SWT telah memberikan taufiq kebaikan kepadamu? Lihat sahaja, berapa banyak ibadah solat yang telah engkau kerjakan? Begitu juga dengan puasa, haji dan umrah?'

Maka dijawab oleh guru tersebut: 'Adakah di antara kalian yang boleh memberitahu kepadaku mana-mana amalanku yang dijamin telah diterima oleh Allah SWT? Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud: 'Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal ibadah) daripada orang-orang yang bertaqwa.' (Al-Maidah: 27). Adakah aku dijamin tergolong daripada mereka?

Nota Tambahan:

Janji Allah SWT kepada mereka yang memiliki sifat taqwa. Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, Allah SWT akan kurniakan kepada mereka sifat taqwa.

Bermacam-macam kebaikan yang Allah SWT janjikan dalam Al-Quran kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini. Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia tidak terhingga nilainya dan tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini.

Riya', ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling sukar untuk dihindari kerana gerakannya terlalu halus.

Para Salafussoleh (orang-orang yang soleh terdahulu), apabila mengenangkan hal-hal begini, mereka selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi (syirik yang tersembunyi). Mereka khuatir ibadah mereka tidak ada harga di sisi Allah SWT.

Mereka takut mereka akan muflis di akhirat sedangkan untuk mendapatkan ikhlas terlalu susah.

Ikhlas hanya milik Allah SWT. Ia adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu.

No comments:

Followers